Rabu, 31 Ogos 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Semangat anak merdeka

Posted: 30 Aug 2011 08:45 AM PDT

ALOR GAJAH: Dalam keadaan masyarakat kini kurang ghairah menyambut Hari Kemerdekaan, seorang pembantu klinik swasta sanggup menggunakan wang saku bagi menghias kenderaan bagi meraikan tarikh keramat itu.

Rosli Othman, 43, berkata langkah memasang 54 Jalur Gemilang itu antara usaha bagi menyemai semangat cintakan negara di kalangan generasi muda.


"Setiap tahun saya akan lakukan aktiviti ini (memasang bendera) di kereta dan ia membuatkan membuatkan saya lebih bersemangat untuk meraikan sambutan Hari Kemerdekaan," katanya.

Rosli dari Kampung Pangkalan Balak, Masjid Tanah berkata minat memasang bendera wujud sejak beberapa tahun lalu selepas melihat keruntuhan sikap patriotik di kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini.


Katanya, setiap bendera dijaga rapi bagi memastikan ia kekal lama dan tidak rosak serta boleh digunakan semula pada tahun berikutnya.


"Saya akan basuh bendera ini dan simpan di tempat yang sempurna supaya warnanya tidak pudar dan akan membeli bendera baru jika ada bendera sedia ada yang sudah pudar.

"Jika zaman perang Jepun dulu orang ramai mampu memikul senjata, kenapa sekarang nak jaga satu bendera pun tak boleh dan dari situ timbulnya minat mendalam cintakan negara biarpun dengan hanya membawa bendera Jalur Gemilang ke merata tempat," katanya.


Menurutnya, dia lebih yakin memandu apabila melihat Jalur Gemilang berkibar kemas di bumbung dan hadapan cermin kereta apatah lagi ramai pelancong berminat untuk bergambar dengannya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Abdul Karim Sulaiman, berkata semangat patriotik dimiliki Rosli sepatutnya tersemai di jiwa masyarakat.


"Kita sepatutnya bersyukur dengan semangat dimiliki Rosli dan ia perlu ada pada setiap individu lain bagi membentuk satu kelompok masyarakat berjenama 1Malaysia," katanya, semalam.

Laporan isu gereja hujung September

Posted: 30 Aug 2011 08:44 AM PDT

SHAH ALAM: Laporan berhubung polemik membabitkan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir September depan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam berkata, Jais meminta tempoh sebulan bagi menyiapkan laporan lengkap berhubung isu itu dalam pertemuan Jawatankuasa Pendengaran pada 25 Ogos antara beliau bersama Jais serta penganjur program di gereja itu, Harapan Komuniti.


Pada 3 Ogos itu penganjur berkenaan menganjurkan majlis makan malam Thanksgiving di DUMC yang mencetuskan kontroversi seluruh negara apabila turut dihadiri 12 individu bergama Islam.

Abdul Khalid berkata laporan itu hanya akan disediakan selepas Jawatankuasa Pendengaran bertemu dengan pegawai Jais dan wakil daripada penganjur majlis makan malam Harapan Komuniti sekurang-kurangnya dua kali lagi.


"Ketika mesyuarat (25 Ogos) itu, Jais memberitahu mereka belum menyelesaikan laporan berkenaan dan kami membuat keputusan untuk memberikan mereka lebih masa untuk menyelesaikan laporan dan tindakan lain.


"Jais tidak boleh dihukum tanpa alasan yang sah," katanya yang enggan mengulas lanjut berkenaan mesyuarat Jawatankuasa Pendengaran itu.

Bagaimanapun, beliau ditemui selepas majlis rumah terbuka Menteri Besar Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam memberitahu dalam mesyuarat minggu lalu, Jawatankuasa Pendengaran sudah mengesahkan fakta daripada kedua-dua pihak.


Abdul Khalid berkata, sebanyak dua lagi pertemuan akan diadakan dalam tempoh terdekat untuk mengenal pasti proses berkenaan (pemeriksaan) iaitu membabitkan bidang kuasa apa yang diguna pakai jabatan itu ketika pemeriksaan itu dilakukan.

Beliau berkata, Jais memaklumkan mereka percaya ada kes prima facie, manakala Harapan Komuniti memaklumkan majlis itu sekadar perjumpaan.


Sementara itu, pada majlis rumah terbuka yang ditaja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dihadiri lebih 20,000 jemputan termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Exco kerajaan negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan