Utusan Online - Kota |
Posted: 7,307 kompaun dalam sebulanRaja Nong Chik Raja Zainal Abidin (depan, tengah) diiringi Ahmad Fuad Ismail melakukan lawatan ke bazar Ramadan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India, kelmarin. KUALA LUMPUR 24 Ogos - Sebanyak 7,307 kompaun dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas kenderaan yang melakukan kesalahan trafik di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Masjid India sepanjang bulan Ramadan ini. Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kompaun itu yang membabitkan pelbagai kesalahan itu bernilai antara RM100 dan RM300. Beliau berkata, selain saman, DBKL juga telah menunda sebanyak 114 kenderaan kerana menganggu lalu-lintas manakala 10 gerai disita kerana melanggar syarat. Menurutnya, dari sudut yang positif, jumlah kompaun yang besar itu menunjukkan perniagaan di sekitar Jalan TAR dan Masjid India semakin mendapat sambutan. "Dari maklum balas yang diterima, sambutan bazar Ramadan pada tahun ini bagi semua kawasan di ibu negara mendapat sambutan yang baik dengan jumlah pengunjung yang semakin bertambah. "Kebanjiran pengunjung ini menunjukkan ekonomi kita sudah mulai pulih dan orang ramai memang suka berkunjung ke bazar untuk membeli barang pada bulan Ramadan ini," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan ke Bazar Ramadan Jalan TAR dan Jalan Masjid India di sini, semalam. Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz. Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, sistem zoning yang diperkenalkan oleh DBKL di bazar tersebut pada tahun ini dilihat tidak membawa sebarang masalah kepada pengunjung, malah ia lebih memudahkan mereka. "Sistem ini diperkenalkan untuk memberi suasana yang lebih baik di bazar ini tetapi atas permintaan peniaga yang masih tidak biasa dengan sistem itu, kelonggaran telah diberikan kepada mereka sejak dua minggu lalu," jelasnya. Mengikut sistem zoning itu, kawasan perniagaan di bazar itu dibahagikan mengikut jenis perniagaan bagi memudahkan orang ramai terutama untuk membuat perbandingan. |
Gabungan NGO kukuhkan semangat 1Malaysia Posted: Gabungan NGO kukuhkan semangat 1MalaysiaAMPANG 24 Ogos - Penubuhan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (GPBKSWPKL) bertujuan menjadi pemangkin bagi memperkukuhkan lagi semangat 1Malaysia. Yang Dipertuanya, Datuk Mad Aris Mad Yusuf berkata, penubuhan GPBKSWPKL memang tepat dengan masa dalam usaha untuk memastikan perpaduan rakyat berbilang kaum terus kukuh di bawah satu payung induk persatuan sedemikian. "Sesuai dengan pepatah bersatu teguh, maka pelbagai aktiviti kemasyarakatan dapat digerakkan secara bersepadu dalam suasana aman dan harmoni menerusi GPBKSWPKL. "Usaha persatuan ini juga adalah satu langkah yang lebih praktikal untuk menterjemah konsep 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka itu pada sidang akhbar Mesyuarat Agung Pertama GPBKSWPKL di Taman Ampang Utama, di sini baru-baru ini. Hadir sama, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat selaku Penaung GPBKSWPKL. Mad Aris berkata, keahlian daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terus dibuka untuk menganggotai GPBKSWPKL. Menurutnya, setakat ini, terdapat sembilan pertubuhan bernaung di bawah GPBKSWPKL yang baharu mendapat kelulusan pendaftaran pertubuhan secara sah dengan keahlian seramai 2,340 orang. Sementara itu, Tee Keat pada sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut mengumumkan pihaknya menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM5,000 kepada GPBKSWPKL untuk diagih-agihkan kepada keluarga yang baru menerima kelahiran bayi. Ditanya mengenai potensi gabungan itu, beliau berkata, penubuhannya sangat releven dengan situasi semasa supaya masyarakat dapat bergerak secara bersepadu dan berkesan sekali gus mengukuhkan integrasi kaum. |
Posted: Dua sindiket ah long dikesanOleh ZAINAL AZHAR MOHAMED PETALING JAYA 24 Ogos – Polis daerah ini berjaya mengesan dua sindiket pemberi pinjaman wang yang beroperasi secara haram atau ah long yang turut aktif menampal pelbagai jenis iklan di bandar raya ini. Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah, Deputi Supritendan Mazelan Paijan berkata, kedua-dua sindiket itu dikesan selepas polis menyiasat 77 nombor telefon yang tertera pada iklan itu. Menurut beliau, nombor-nombor telefon itu dikenal pasti oleh polis ketika menjalankan operasi menurunkan iklan-iklan haram di bandar raya ini sejak awal tahun ini. "Hasilnya, dua sindiket ah long yang beroperasi di Pandan Indah, Ampang Jaya dan Klang telah dikesan sebagai pihak yang bertanggungjawab melekat iklan berkenaan," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjalankan operasi menurunkan iklan haram ah long yang diadakan secara bersepadu bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sekitar Sungai Way di sini hari ini. Mazelan menambah, ketika ini, pihak polis masih melakukan siasatan terperinci tentang aktiviti pinjaman wang yang dijalankan dua sindiket itu. "Kita akan menjejaki sindiket itu sehingga dapat menangkap ketua mereka atau pihak yang bertanggungjawab menyalurkan wang," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Mazelan berkata, operasi menurunkan iklan haram ah long adalah operasi mingguan yang dijalankan polis mengikut kawasan. Menurutnya, penduduk sekitar Petaling Jaya juga dialu-alukan untuk membantu menanggalkan iklan haram tersebut jika menemuinya sebagai usaha mewujudkan bandar raya selamat dan bersih. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan