Utusan Online - Timur |
Posted: Derita miskin tegarOleh RAHANA MOHD DAHARI
KOTA BHARU 27 Ogos - Khatijah Omar dilahirkan lima tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Dia bukan tokoh negarawan, dia juga bukan pejuang negara, dia bukan siapa-siapa yang dapat dibanggakan dengan tarikh keramat itu. Namun, masih ada pertalian antara Khatijah dengan tarikh 31 Ogos 1957. Selepas 49 tahun dilahirkan, wanita dengan tujuh anak ini belum menikmati erti merdeka seperti yang sepatutnya. 'Dipenjara kemiskinan', dunia Khatijah hanya di rumah (jika boleh digelar begitu) di Kampung Pondok Permatang Pusu, Melor di sini. "Tidak ingat bila kali terakhir saya melalui bandar (Ketereh), rasanya tujuh tahun dulu dalam perjalanan ke hospital, melahirkan anak bongsu," katanya. Bersahaja jawapannya, tetapi pasti dia tidak berbohong, anak-anak juga begitu katanya, tidak pernah ke mana-mana. Kedaifan yang diwarisi oleh Khatijah sukar diterima jika cerita terluncur daripada mulutnya. Namun, tinjauan Mingguan Malaysia ke rumah pusaka milik keluarga suami, Hassan Yacob, 66, membenarkan kata-katanya. Rumah kayu tanpa tangga beratap zink karat dan berlubang-lubang itu, sebenarnya tidak lebih daripada sebuah rumah usang, sewajarnya telah lama ditinggalkan oleh pemiliknya. Tetapi di rumah tanpa bilik itulah sembilan anak beranak itu tinggal. Tidak tepat dikatakan berlindung daripada panas dan hujan kerana Khatijah mengakui jika hujan, seisi penghuninya basah kuyup. Apabila ribut pula, rumah tersebut bergoncang kuat dan semuanya sekadar mencangkung sambil menutup muka, berserah. "Usah dikatakan tikar, lantai yang mula mereput dan berlubang-lubang ini pun memadai. Pernah anak-anak yang kecil, kurang berhati-hati jerlus ke bawah," Khatijah mahu bergurau, namun terkesan pilu di hujungnya. Menurut Khatijah, pernikahannya dengan suami diatur keluarga walaupun lelaki tersebut tergolong Orang Kelainan Upaya (OKU-lembam) yang dahulu mengambil upah mencangkul parit, kini semakin uzur dan tidak bekerja. Dikurniakan tujuh anak yang diharap mengubah nasibnya di hari tua, nampaknya belum kesampaian. Anaknya yang sulung, Nor Asmah, 28, tinggal dengan neneknya yang uzur di kampung sebelah, manakala anak kedua, Mohd. Nasir, 24, menjadi tukang sapu di sekolah, namun dialah harapan keluarga walaupun gajinya cuma RM450 sebulan. Dua daripada anaknya menyalin genetik sebelah bapa, Norfazrini, 21 dan Mohd Naim, 18 dan mereka juga sekadar berlegar di kawasan rumah dan bersekolah sehingga tingkatan tiga. Sesekali membasuh kain atau menyapu daun gugur di halaman. Tiga yang masih bersekolah ialah Mohd. Najmi, 12, Mohd. Najib, 9, dan Nornazirah Ayuni, 7. Namun dengan kemiskinan yang diwarisi dan tinggal dalam rumah yang sama, Khatijah berharap pada keajaiban. Meninjau ke dalam rumah, yang ada lantai berlumut tanpa tikar, kain baju berselerak dan bertimbun di setiap sudut, bantal dan tilam berkepam mengeluarkan bau, mungkin puluhan tahun tidak berganti. Kebersihan langsung tidak berjaga, mereka mandi dan mendapat sumber air dari telaga lama, namun tidak ada tandas di sini. Tersentuh dengan kedaifan keluarga ini yang sekadar makan nasi bercicah budu, bertubi-tubi soalan terpacul, namun Khatijah tetap bersahaja walaupun matanya mula basah. "Hendak buat macam mana, kena hadapi sebab mahu terus hidup. Mujur Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi RM400 sebulan, dengan duit itulah kami berjimat. Beli keperluan utama beras, baki itulah untuk makan dan menyekolahkan anak-anak. "Pernah terputus beras, saya cabut ubi kayu di belakang, rebus dan cicah budu. Macam zaman Jepun pula. Hendak buat macam mana, perut kena diisi," tuturnya mengajak bergurau lagi. Lusa, Syawal bakal disambut, jika ibu bapa lain kalut membeli pakaian dan kasut serba baharu untuk anak-anak, namun apa pun tidak dilakukan oleh Khatijah, Mujurlah kalau-kalau berbuka nanti dapat makan nasi lagi. "Tahun-tahun sebelum ini, sempat juga belikan baju seorang sehelai, tahun ini entahlah," katanya. Teringat hidangan ketupat rendang, lemang dan beraneka kuih-muih penuh di meja menjelang Syawal, kata Khatijah bertahun dia tidak membuatnya di rumah kerana tidak berduit. Biasa dengan kesusahan yang diwarisi sejak kecil, Khatijah bersyukur anak-anak tidak pernah meminta. Makan apa yang ada dan kepayahan mereka telan bersama. Ketika dilawati Skuad Sayang Pergerakan Wanita UMNO Ketereh yang diketua oleh Fauziah Mohamad dan Penyelia Kemas kawasan yang sama, Sabariah Hamzah dan beberapa kaki tangan untuk menyerahkan sumbangan makanan kering, Khatijah menyambutnya dengan senyuman paling manis. Sebelum rombongan pulang, sempat dia berbisik meluahkan yang terbuku dalam hatinya. Katanya, minggu lepas amil datang ke rumah meminta zakat fitrah. Dalam keadaan 'tidak tahu' dan didesak dia menyerahkan RM50 (hasil sedekah). "Kalau duit itu masih ada boleh juga belikan selipar Jepun untuk anak-anak yang masih kecil, kuranglah juga rasa malu mereka jika berjalan ke rumah kawan di hari raya, itu pun kalau adalah," ucapnya dengan mata berkaca. | ||
Sumbangan duit raya ceriakan 68 pengayuh beca Posted: Sumbangan duit raya ceriakan 68 pengayuh becaAhmad Said menyampaikan duit raya kepada pengusaha beca di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, semalam. KUALA TERENGGANU 27 Ogos - Seramai 68 pengayuh beca di sekitar bandar ini ceria apabila menerima sumbangan wang tunai sempena Aidilfitri daripada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di sini, hari ini. Menurut Ahmad, pemberian sumbangan sejak tiga tahun lalu adalah sebagai menghargai jasa serta membantu meringankan beban pengayuh beca yang rata-ratanya merupakan warga emas. "Golongan pengayuh beca di bandar Kuala Terengganu merupakan nadi pelancongan yang sangat penting kepada negeri ini dan mereka seharusnya dihargai memandangkan ramai yang sudah berusia. "Kita harap dengan bantuan RM300 ini dapat meringankan beban mereka untuk membuat persiapan Aidilfitri," ujarnya ketika ditemui pada majlis pemberian sumbangan itu di Dataran Shahbandar di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Azmi Razik. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan