Utusan Online - Mahkamah |
Saksi terus pertikai ujian DNA Posted: Saksi terus pertikai ujian DNAOleh SUWARNI MOKHTAR Anwar Ibrahim dan isterinya, Wan Azizah Wan Ismail hadir dalam perbicaraan kes tuduhan meliwat di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 26 Ogos - Sejak semalam, saksi pembelaan keempat, Dr. Brian Mcdonald yang dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini berhubung hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dua ahli kimia tempatan, tidak putus-putus mempertikaikan laporan dan ujian yang dilakukan oleh kedua-dua pakar tersebut. Pada prosiding hari ini, beliau yang merupakan perunding Molecular Genetic System, Australia terus mempertikaikan ujian-ujian yang dilakukan oleh Dr. Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon dengan memberi gambaran bahawa ujian dan laporan yang dibuat oleh mereka tidak sempurna, tidak lengkap dan tidak mengikut aturan yang sepatutnya. Bagaimanapun, apabila diminta oleh peguam bela, Ramkarpal Singh untuk menunjukkan satu contoh hasil ujian DNA yang boleh dianggap elok dan bersih tanpa dipengaruhi oleh sebarang bakteria atau unsur-unsur lain, pakar asing itu memberikan tiga contoh. Contoh-contoh elektroferograf tersebut membabitkan ujian yang dibuat pada calitan putik kapas bertanda B7 dan B8 yang diambil pada bahagian atas rektum Mohd. Saiful Bukhari Azlan serta calitan putik kapas B9 yang diambil dari bahagian bawah rektum mangsa. Pada perbicaraan peringkat pendakwaan sebelum ini, Lay Hong mengesahkan terdapat kehadiran air mani yang mana Lelaki Y merupakan penyumbang utama pada bahagian-bahagian tersebut manakala Nor Aidora dalam keterangannya sebelum ini menyatakan, penyumbang DNA tersebut adalah serupa dengan DNA Anwar. Namun begitu, 'kebersihan' ujian DNA ini, didakwa Ramkarpal sebagai tidak konsisten dengan keterangan-keterangan sebelum ini yang sepatutnya menunjukkan tanda-tanda degradasi disebabkan sampel-sampel tersebut tidak disejuk beku sebelum dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia. Barisan pembelaan dalam siri soalan yang diajukan kepada saksi tersebut turut cuba menunjukkan bahawa ujian-ujian yang dibuat oleh Lay Hong adalah berdasarkan anggapan (assumption) bahawa calitan-calitan itu adalah sampel air mani yang mengandungi sperma Anwar sedangkan ujian awal bagi menentukan bahawa sampel tersebut benar-benar air mani tidak dilakukan. Ramkarpal dalam soalannya yang turut dipersetujui oleh Mcdonald turut menyatakan ekoran proses pengasingan antara sel sperma dan sel-sel badan yang lain tidak dilakukan dengan betul, berkemungkinan DNA Mohd. Saiful Bukhari yang ditemui dalam rektumnya boleh berasal dari air mani mangsa itu sendiri. Anwar, 64, dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. Sementara itu, pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira dipanggil semula oleh pihak pembelaan bagi mengesahkan mengenai dokumen 'Rekod Pemeriksaan Jabatan Kecemasan Pusrawi' yang dirampas oleh pihak polis pada 6 Ogos 2008. Rekod tersebut diisi oleh bekas doktor hospital terbabit, Dr. Mohamad Osman Abd. Hamid sewaktu membuat pemeriksaan ke atas Mohd. Saiful Bukhari sebelum meminta mangsa ke hospital kerajaan untuk pemeriksaan lanjut dan membuat laporan polis selepas dimaklumkan bahawa dia telah diliwat oleh orang kenamaan (VIP). Dokumen tersebut kemudian diterima masuk oleh mahkamah sebagai bukti. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah bersambung 19 hingga 23 September ini. |
Tiga didakwa bunuh dua beranak, lupus mayat Posted: Tiga didakwa bunuh dua beranak, lupus mayatAbd. Razak Tofazzal Hossain (dua dari kiri) dan Mmd. Ripon Mandal (kiri) didakwa membunuh seorang wanita dan anaknya di Mahkamah Majistret Ampang, semalam. KUALA LUMPUR 26 Ogos - Tiga lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini hari ini atas tuduhan membunuh dan melupuskan mayat seorang wanita Indonesia yang anggota badannya dikerat-kerat serta anak lelakinya di sebuah pangsapuri di Taman Kosas, bulan lalu. Abd. Razak Tofazzal Hossain, 29, Mmd. Ripon Mandal, 26, dan Mosharof Hossain, 23, bagaimanapun tidak memahami pertuduhan masing-masing yang dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Melayu. Berikutan itu, Majistret Wan Karimah Wan Md. Abd. Ghani menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan khidmat jurubahasa Bangladesh. Dalam kes tersebut, Abd. Razak didakwa membunuh Siti Sando, 35, di No. 40, Tingkat 5, Blok Chrysaa, Pangsapuri Astaria, Taman Kosas di sini antara pukul 11 pagi dan 5 petang, 29 Julai lalu. Abd. Razak turut didakwa bersama-sama Mmd. Ripon atas tuduhan membunuh anak Siti yang hanya dikenali sebagai Mohd. Shukri yang berusia dua tahun pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Bagi kedua-dua kesalahan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum mengemukakan dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. Mosharof pula menghadapi dua pertuduhan iaitu didakwa melupuskan mayat kedua-dua beranak tersebut antara pukul 11.20 pagi, 29 Julai lalu dan pukul 11 pagi, 3 Ogos lalu di tempat yang sama. Dakwaan terhadap Mosharof dikemukakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda. Menurut laporan akhbar sebelum ini, 11 lelaki warga asing ditahan polis berhubung kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya dikerat-kerat dan seorang kanak-kanak lelaki. Kejadian tersebut terbongkar apabila pengurus bangunan di Pangsapuri Astaria, Taman Kosas menemui sebelah kaki kiri manusia di dalam mangkuk tandas di sebuah rumah yang tidak berpenghuni di pangsapuri tersebut. Hasil pemeriksaan polis, akhirnya menemui beberapa lagi bahagian anggota badan mangsa yang dibungkus dalam plastik di merata tempat termasuk di bahagian siling rumah tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan