Utusan Online - Utara |
Posted: Bapa 14 anak rayu bantuanOleh ABDUL RAZAK DIN ASIAH Manan bersama empat anaknya di rumah mereka di Kampung Makmor, Sungai Siput, baru-baru ini. SUNGAI SIPUT 24 Ogos - Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini hambar buat sekeluarga 16 orang apabila bakal kehilangan tempat berteduh untuk meneruskan penghidupan. Ini kerana tuan tanah tempat Mohd. Razi Mat, 62, menetap bersama isteri, Asiah Manan, 61, dan 14 anaknya di Kampung Makmor di sini sejak 1983 berhasrat mengambil kembali tanah yang disewakan itu. Kata Mohd. Razi, perasaannya untuk menyambut Aidilfitri kali ini berkecamuk memikirkan nasib keluarganya selepas ini. "Tak tahulah apa nasib kami selepas ini. Hidup kami ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' kerana kemiskinan yang tidak berkesudahan. ''Kini masalah tempat tinggal menghantuinya dan oleh itu saya memohon Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Lintang membantunya menyelesaikan masalah yang dihadapainya," katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini. Menurut Mohd. Razi, empat anaknya sudah mendirikan rumahtangga manakala 10 lagi masih dalam tanggungannya dengan dua lagi masih bersekolah. Katanya, anak sulungnya, Mohd. Fuzilan, 31, kini dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) setelah kehilangan sebahagian kaki dan tangan akibat kemalangan. "Saya mohon bantuan kerajaan negeri untuk memberikan rumah di bawah Program Perumahan Mesra Rakyat bagi membolehkan 10 anak saya berteduh termasuk memohon bantuan dari Yayasan Bina Upaya Perak, sehingga kini masih belum mendapat jawapan," katanya. Difahamkan, sebidang tanah telah disediakan di kawasan berhampiran namun Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput belum meluluskannya. Menurutnya, dengan hanya bekerja kampung dia terpaksa menyara kehidupan mereka sekeluarga. "Saya membuat kerja-kerja kampung seperti meracun dengan pendapatan RM40 sehari. Sepanjang Ramadhan ini kami makan sekadar termampu sahaja," katanya. Jelasnya, akibat pendapatan yang tidak mencukupi, rumah yang didudukinya sekarang terlalu uzur dan terlalu sempit untuk diduduki walaupun sebelum ini pernah mendapat bantuan pembinaan rumah. "Akibat rumah yang sempit juga anak-anak terpaksa tidur berhimpit- himpit dan kadang-kadang mereka yang sudah besar terpaksa menumpang tidur di rumah jiran," katanya. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sebahagian besar daripada dapur rumah Mohd. Razi sudah berlubang akibat dimakan anai-anai manakala atapnya hanya ditutupi dengan plastik untuk mengelak ditimpa hujan. Akibat kemiskinan juga, dia terpaksa mendapatkan bekalan air dari rumah jiran. Sementara itu, Mohd. Fuzilan turut merayu kepada pihak berkuasa supaya memberikannya bantuan kaki dan tangan palsu supaya boleh berdikari. "Kaki palsu yang digunakannya sekarang sudah rosak. Saya merayu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal memberi bantuan untuk mendapatkan kaki dan tangan palsu bagi meneruskan kehidupan," katanya yang kini menjadi pembantu kedai. Kepada sesiapa yang berhasrat membantu keluarga Mohd. Razi boleh mengunjungi mereka di No. 10D, Kampung Makmor, Sungai Siput Utara, Perak atau menghulurkan bantuan ke akaun Maybank 166010044077 atau boleh menghubunginya di talian 013-4140170. |
ADUN meriahkan Aidilfitri anak yatim Posted: ADUN meriahkan Aidilfitri anak yatimALOR SETAR 24 Ogos – Seorang ibu tunggal yang memelihara enam anak dan tiga cucu dalam keadaan serba kekurangan berasa hiba apabila mengenangkan persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Ini kerana, Fatimah Abdullah, 48, berkata, persiapan menyambut perayaan itu disambut secara ala kadar sahaja ekoran kesempitan hidup. "Perasaan saya bertambah sebak bila teringatkan anak keempat, Mohd. Lutfi Mohd. Nazri, 18, yang meninggal dunia pada 27 Julai lalu akibat kemalangan jalan raya," katanya kepada pemberita ketika dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Suraya Yaacob untuk membeli baju raya anak-anaknya di gedung beli-belah Kamdar di sini semalam. Seramai 14 anak yatim dari Pendang dan Sungai Tiang turut dibawa membeli baju raya oleh Suraya di gedung berkenaan. Fatimah berkata, sejak kematian suaminya, Mohd. Nazri Manaf, 45, pada Ogos 2008, anak sulung mereka, Mohd. Aziz, 28, yang bekerja sebagai juruteknik menjadi tempat bergantung untuk menyara keluarga. Menurut Fatimah, anak-anaknya yang tinggal bersamanya di rumahnya di Kampung Baru Pendang, adalah Saifullah, 24, Mohd. Taufik, 20, Shuhada, 16, Sofi, 11, dan Nor Zaida. Selain itu, dia turut memelihara tiga cucu berusia dua hingga lima tahun selepas anak sulungnya itu berpisah dengan isterinya. "Saya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan selain dibantu oleh anak sulung tetapi persiapan hari raya memang ala kadar sahaja," katanya. Sementara itu, lima beradik berusia lapan hingga 16 tahun yang kehilangan bapa pada 4 Ramadan lalu pula berasa sebak ketika hendak membuat persiapan Syawal kali ini bersama ibunya, Normadiah Mahmud. Ini kerana Fakhrul Radzi Ismail, 16, berkata, dia bersama adiknya, Mohd. Tajul Arifin, 14, Umi Barokah, 12, Fathul Daulah, 10, dan Mursyidah, 8, kali pertama menyambut perayaan itu tanpa bapa tersayang, Ismail Eating, 51, yang meninggal dunia akibat penyakit bengkak hati. "Kami rasa sedih kerana ayah meninggal dunia secara mengejut. "Cuma pesan ayah yang terus segar dalam ingatan iaitu arwah mahu kami menjadi orang yang soleh dan solehah," katanya yang menambah bapanya adalah seorang guru Pendidikan Islam di sebuah sekolah kebangsaan dekat sini. |
Posted: PPDNKK pantau harga ayamOleh MARZITA ABDULLAH Khairul Amin Talib melihat ayam yang dijual di pasar ketika operasi tanda harga menjelang musim perayaan di Pasar Awam Sena, Kangar, kelmarin. KANGAR 24 Ogos - Pejabat Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perlis berpuas hati dengan sikap peniaga yang mematuhi arahan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2011 yang bermula semalam. Namun, kata Pengarahnya, Khairul Amin Talib, pihaknya akan memantau harga di pihak pemborong ayam yang dikatakan menjual bahan mentah itu melebihi daripada harga yang ditetapkan. "Kita menerima aduan daripada para peruncit mengenai sikap pemborong yang tidak mematuhi harga yang ditetapkan dan di Perlis hanya ada tiga pemborong ayam," katanya kepada para pemberita selepas mengadakan tinjauan harga barang di Pasar Awam Sena di sini semalam. Menurut beliau, harga jualan bagi ayam hidup adalah RM6.10 dan RM7.20 bagi ayam standard di pihak peruncit manakala harga yang ditetapkan di pihak pemborong adalah RM5.40 bagi ayam hidup dan RM6.35 bagi harga ayam standard. Mengenai isu kekurangan minyak masak, beliau berkata, isu itu tidak timbul di negeri ini namun, yang berlaku adalah pembelian luar biasa dalam kalangan pengguna menjelang musim perayaan. "Stok di pihak pemborong dan peruncit memang ada namun, bahan mentah ini habis dibeli oleh pengguna dalam tempoh singkat justeru, ada peniaga yang mengehadkan pembelian bahan mentah ini kepada para pengguna," katanya. Beliau berkata, pihaknya tidak menghalang tindakan peniaga itu kerana ia dapat membantu daripada berlakunya penyelewengan bahan mentah bersubsidi itu dalam kalangan pengguna. Dalam pada itu, Khairul Amin berkata, semua bekalan bahan mentah di negeri ini mencukupi untuk para pengguna menjelang Aidilfitri ini. "Begitupun anggota PPDNKK akan menjalankan pemantauan setiap hari ke semua premis perniagaan bagi memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan," katanya. Sementara itu, beliau berkata, melalui Ops Raya yang bermula 1 Ogos lalu sehingga hari ini, pihaknya telah memeriksa sebanyak 7,968 premis perniagaan. Menurut beliau, daripada pemeriksaan itu sebanyak lima kes dikesan melakukan kesalahan iaitu tiga kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dengan nilai rampasan sebanyak RM1,756 dan dua kes di bawah Akta Perihal Dagangan dengan nilai rampasan RM3,500. Katanya, bermula Januari sehingga Ogos tahun ini pihaknya telah merampas pelbagai barangan bernilai RM883,572 yang membabitkan pelbagai akta. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan