Sabtu, 27 Ogos 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Malaysia komited pertahan sistem demokrasi

Posted:

Malaysia komited pertahan sistem demokrasi

Malaysia komited pertahan sistem demokrasi


NAJIB Tun Razak bersalaman dengan sebahagian diplomat asing diiringi Anifah Aman semasa menghadiri majlis berbuka puasa bersama kakitangan Kementerian Luar di Wisma Putra, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 26 Ogos - Datuk Seri Tun Najib Razak berkata, Malaysia komited dengan sistem demokrasi yang diamalkannya dan tidak akan bertolak ansur terhadap tindakan anarki, rusuhan dan gangguan ketenteraman awam.

Perdana Menteri berkata, asas kepada demokrasi di Malaysia adalah demokrasi berparlimen yang dipertahankan sejak Malaysia ditubuhkan.

"Kita komited dengan demokrasi berparlimen kerana itulah landasan yang kita akan terus pertahan dan perjuangkan," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama diplomat asing dan kakitangan Kementerian Luar di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Sehubungan itu, Najib meminta masyarakat antarabangsa tidak salah faham terhadap pendirian kerajaan tersebut.

Beliau berkata, di Malaysia, kepatuhan kepada undang-undang adalah penting demi menjaga keharmonian dalam masyarakat pelbagai kaum.

"Kita tidak boleh mengambil ringan undang-undang kerana masyarakat akan berpecah-belah terutamanya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum," katanya.

Tegas beliau, rakyat Malaysia berpegang kepada konsep wasatiyah yang juga teras kepada ajaran Islam.

"Bagi memperluaskan Gerakan Kesederhanaan Baru, masyarakat Islam perlu mendekati pelbagai kumpulan secara inklusif dan saling memahami kerana ia adalah kunci kepada kejayaan kita," katanya.

Yang di-Pertuan Agong rasmi Masjid Asy-Syakirin KLCC

Posted:

Yang di-Pertuan Agong rasmi Masjid Asy-Syakirin KLCC

Yang di-Pertuan Agong rasmi Masjid Asy-Syakirin KLCC


TUANKU Mizan Zainal Abidin memasuki ruang masjid diiringi Jamil Khir Baharom selepas baginda berkenan merasmikan Masjid Asy Syarkirin Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Jalan Pinang, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA


KUALA LUMPUR 26 Ogos - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Masjid Asy-Syakirin, Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Jalan Pinang di sini hari ini.

Seri Paduka turut menunaikan solat Jumaat bersama 12,000 jemaah di masjid yang lebih dikenali sebagai 'Permata di Dalam Taman' itu kerana kedudukannya yang strategik dan mempamerkan ciri-ciri bina Islam yang indah termasuk mendapat sentuhan pengukir dari Uzbekistan.

Ketibaan Yang di-Pertuan Agong kira-kira pukul 12.45 tengah hari disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali.

Jamil Khir berkata, Masjid Asy-Syakirin dibina bagi memberi kemudahan kepada komuniti setempat serta keprihatinan kerajaan melalui Jawi dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai penggerak dan ejen utama dalam pembangunan serta pengurusan hal ehwal Islam.

Katanya, Masjid Asy-Syakirin kini dijadikan pusat sehenti bagi komuniti setempat untuk menyemarakkan lagi aktiviti keagamaan selaras dengan peranan masjid meningkatkan syiar Islam.

''Justeru, barisan kepimpinan dan pengurusan masjid adalah diharapkan dapat memainkan peranan lebih proaktif dalam menggerakkan aktiviti masjid yang dapat menterjemahkan semangat ukhuwah untuk membina masyarakat madani yang lebih komprehensif.

''Semoga dengan pengisian program-program seperti keagamaan, ia dapat meningkatkan kegiatan pengimarahan masjid supaya ia dihayati oleh setiap individu," katanya ketika berucap pada majlis perasmian.

Masjid Asy-Syakirin pada mulanya didaftarkan sebagai sebuah surau pada 12 Julai 1999 untuk kegunaan petugas Petronas, sebelum dinaik taraf sebagai masjid yang ditadbir oleh MAIWP.

Sementara itu, Tuanku Mizan berkenan mencemar duli bersalaman dengan jemaah yang hadir sebelum meninggalkan majlis kira-kira pukul 2.10 petang.

3A 2B layak ke asrama penuh

Posted:

3A 2B layak ke asrama penuh

3A 2B layak ke asrama penuh

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan syarat kemasukan baru untuk murid miskin dan luar bandar ke tingkatan satu Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi pengambilan 2012.

Kata Timbalan Perdana Menteri, bagi murid daripada keluarga miskin, kelayakan minimum untuk ke SBP di bawah syarat kemasukan baru itu adalah 3A 2B.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menambah, bagi murid dari luar bandar pula, kelayakan minimum untuk ke SBP di bawah syarat kemasukan baru itu adalah 4A 1B.

''Sehubungan dengan itu, murid daripada keluarga miskin dan murid dari luar bandar yang memperoleh keputusan seperti yang disebut akan diberi pertimbangan untuk kemasukan ke SBP.

''Syarat kemasukan ini efektif untuk kemasukan ke SBP bagi tahun 2012," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhyiddin menambah, Kementerian Pelajaran menyedari ramai murid daripada keluarga miskin dan murid dari sekolah luar bandar yang ketinggalan dan kurang mampu untuk mendapatkan bantuan seperti kelas tambahan berbayar.

Malah katanya, ada juga antara mereka yang tidak dapat menumpukan pada masa pembelajaran yang sempurna kerana hidup keluarga yang susah.

''Kementerian Pelajaran juga mendapati pendedahan kelompok ini kepada pengetahuan am dan dunia luar amat terhad disebabkan oleh kedudukan rumah, sekolah dan keluarga mereka yang kurang mampu," katanya.

Justeru kata Muhyiddin, perubahan syarat kemasukan kepada golongan murid itu diyakini akan membantu murid tersebut mendapat pembelajaran yang lebih sempurna dan memberi peluang kepada mereka untuk ke SBP.

Matlamat utama tambah beliau, supaya murid-murid itu mendapat kelulusan pada peringkat tertinggi dan mampu merubah taraf hidup.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan