Jumaat, 26 Ogos 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Percik air kotor ke muka sendiri

Posted:

Percik air kotor ke muka sendiri

Percik air kotor ke muka sendiri

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

GELAGAT Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan pembelaan kes liwatnya Isnin lalu apabila 'menyerang' Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah secara terang-terangan tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara.

Mahkamah seperti mana dilihat pada hari itu digunakan oleh Anwar sebagai plaftorm untuk memberi ceramah politik, mengulingkan nilai-nilai kewibawaan dan kesederhanaan. Juga, tidak pernah selama ini kes di Malaysia diheret sepanjang itu. Ia paling lama dalam sejarah.

"Saya berkhidmat di bawah lima kepimpinan Perdana Menteri, jadi pengalaman saya boleh dikatakan tidak pernah berlaku seperti peristiwa yang diperkenalkan oleh Anwar Ibrahim di mahkamah.

"Yang kedua tidak pernah seseorang yang dituduh dibawah kanun keseksaan ataupun liwat mengeluarkan kata-kata atau hujah dalam satu pentas politik," kata Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika ditemui Utusan Malaysia di Putrajaya.

Pada 22 Ogos lalu, Anwar dalam keterangan selama kira-kira satu jam 45 minit menegaskan bahawa Mohamad Zabidin menindas hak beliau untuk mendapat perbicaraan adil sungguhpun hakim berkenaan telah berpuluh kali membenarkan penangguhan demi menghormati Ahli Permatang Pauh itu sebagai tertuduh.

Anwar yang memilih untuk memberi pernyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh dilihat cuba 'menyelamatkan' dirinya daripada disoal balas oleh pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin.

Gelagat dan sikap yang ditunjukkan Anwar itu mendapat respons daripada peguam terkemuka, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang menurutnya, selain memburukkan imej Mohamad Zabidin, Anwar juga dilihat cuba menjatuhkan reputasi institusi mahkamah di negara ini apabila mendakwa beliau ditindas daripada mendapat perbicaraan yang adil.

Kata Muhammad Shafee: "Dalam kenyataan pembelaan Anwar setebal 32 muka surat semalam, beliau secara terang-terangan telah memburukkan institusi mahkamah serta para pegawai seperti hakim di hadapan para pemerhati dan orang awam.

"Kenyataan (pembelaan) Anwar semalam bukan bersifat membela diri tetapi lebih daripada kenyataan politik yang memburukkan mahkamah serta mengutarakan perkara-perkara tidak relevan."

Rais yang juga pakar perundangan menegaskan, jika tujuan Anwar untuk menarik media luar, motif itu sama sekali tidak dicapai dalam pada dia sendiri memercikkan air kotor ke mukanya sendiri.

Ini kerana hujah-hujahnya tidak dapat dipertahankan dengan lunas-lunas mahkamah dan juga menggunakan hakim seperti mana yang dia buat yang hanya boleh ditimbulkan oleh seseorang yang sudah kehilangan kewajaran.

"Dalam keadaan sedemikian, keadilan yang dia (Anwar) nak tuntut mungkin dia berpendapat dengan memberikan ucapan itu boleh menarik perhatian. Tetapi dia jangan lupa bahawa dia memberi satu ucapan dalam kandang orang bersalah dengan sendirinya dia sudah mengaku dia sudah bersalah," kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu.

Dalam aspek ini, Rais menarik perhatian jika sebenarnya Anwar mempunyai kewibawaan dan pemikiran yang mendapati dia seharusnya memberi peluang kepada pendakwa untuk menyoal timbal balik kepada keadaan-keadaannya dan sekiranya dia berpendapat bahawa dengan memberi ucapan seperti itu di kandang orang bersalah akan membolehkannya dilepas, ia sebenarnya suatu pandangan yang salah sama sekali.

Ini kerana proses perundangan akan membolehkan pendakwa menyoal balik beliau tentang beberapa pandangan dan pendapat yang dihemburkan semasa memberi ucapan berkenaan.

"Dengan lain perkataan dia tidak mengiktiraf keadilan melalui sistem perundangan sedia ada. Namun dia juga tidak akan dapat lari daripada keadaan sebenar iaitu undang-undang negara tetap perlu kita semua hormati walau siapa pun kita.

"Dalam sejarah undang-undang negara tidak pernah berlaku walaupun sepatutnya hakim ada kuasa untuk menghentikan prosiding itu. Namun hakim tidak berbuat demikian. Ini menunjukkan hakim kita pada ketika itu orang yang lebih berwibawa," kata Rais.

Menurut Rais, di bawah Akta Kehakiman dan juga di bawah prosedur mahkamah, hakim boleh menghentikan ucapan jika mendapati seseorang itu menghina mahkamah atau membuat ungkapan yang tidak sewajarnya sesuai bagi mahkamah.

"Tetapi tuan hakim kita membiarkan sahaja dan menunjukkan lunas dan peringkat kewibawaan beliau cukup tinggi.

"Sekiranya benda ini berlaku di Singapura, saya fikir polis akan membawa keluar Anwar. Tetapi di sini dibiarkan oleh hakim kita, apa lagi kita mahu.

"Sebenarnya, saya fikir hakim kita pada hari itu agak terkejut dan langsung membiarkan sahaja dan ramai pihak yang beranggapan begitu. Namun saya lebih suka mengatakan hakim kita yang mempengerusikan prosiding ini, orang yang kebal imannya dan sangat tinggi hebatnya sehingga membenarkan Anwar mencacinya dan memperolok-olokkan sistem perundangan negara," kata beliau.

Ditanya apakah yang beliau jangkakan daripada pandangan rakyat terhadap kelakuan Anwar tersebut, Rais berkata, gelagat sebegitu menunjukkan Anwar menyalahgunakan mahkamah sebagai platform syarahan, bukan 30 minit tetapi dua jam.

Dia sudah menjadikan mahkamah sebagai platform Dewan Rakyat. Dan juga platform untuk memperkecilkan sistem perundangan dan kehakiman, apatah lagi keadilan. Pada Anwar, hanya dia yang betul di atas dunia ni.

"Dia sendiri hendak menegakkan keadilan - mana boleh, jadi tentu sekali pendakwa boleh menyoal Mohd. Saiful (Bukhari Azlan), Anwar juga boleh disoal balik dan dia tiada hak sama sekali untuk terus masuk ke dalam kandang pesalah.

"Dan mahkamah boleh mengarahkan Anwar - "Anda boleh disoal siasat, 'sila masuk ke dalam kandang saksi." Dia (Anwar) tidak fikir ini boleh berlaku tetapi kuasa hakim ada sedemikian walaupun Karpal Singh yang menjadi peguamnya," kata beliau.

Kata Rais: "Saya juga sebagai seorang yang agak memahami sistem di mahkamah itu, mereka harus terfikir perkara ini tidak terhenti di situ.

"Dan sekiranya bukti-bukti DNA atau bukti-bukti dari Mohd. Saiful dan sekian ramai yang memberi bukti, kemudian kes ini akan melihat satu pertembungan nilai.

"Namun saya yakin keadilan akan dapat ditimbulkan nanti."

Menutup rumusannya, beliau menegaskan, pandangannya dalam memperkatakan gelagat terbaru yang ditunjukkan Anwar bukan hendak mencelah atau ingin mencaci mahkamah. Cuma, yang sebenarnya Anwarlah yang menghina dan mencaci mahkamah.

Dan selepas ini barangkali rakyat bebas mengatakan apa sahaja.

Jangan benarkan penjualan Esso Malaysia

Posted:

Jangan benarkan penjualan Esso Malaysia

Jangan benarkan penjualan Esso Malaysia

Oleh Saranan Salleh

BERITA yang paling hangat masa kini ialah penjualan kepentingan Exxon International dalam Esso Malaysia kepada syarikat San Miguel, sebuah syarikat Filipina dengan harga yang lebih rendah daripada apa yang ditawarkan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Kita tertanya-tanya kenapa Exxon berbuat demikian sedangkan mereka telah beropeasi di negara ini bertahun-tahun dan telah meraih keuntungan yang lumayan dengan operasi mereka di sini.

Jelas, kata orang macam dia tak suka dengan kita, sampai sanggup menerima bidaan yang jauh lebih rendah dengan apa yang kita tawarkan.

Kita juga ingin tahu apakah orang kita di peringkat kepimpinan tidak tahu menahu tentang hasrat syarikat ini jauh lebih awal sebelum keputusan mempelawa pembida dilakukan?

Dalam perniagaan, banyak perkara yang boleh dirundingkan untuk mengelakkan sesuatu keputusan yang tidak diingini berlaku.

Mungkin wajar bagi seseorang berpangkat tinggi berbincang dengan pihak Exxon sebelum mereka membuat keputusan menjual. Mungkin wakil-wakil Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia boleh membantu membincangkan hasrat sekiranya mereka ingin menjual kepentingan Esso mereka, menjualnya kepada syarikat kita.

Kalau perjanjian dengan San Miguel sudah ditandatangani, tidak banyak yang boleh kita lakukan yang tidak akan ditakrifkan sebagai campur tangan dalam sistem ekonomi bebas yang kita amalkan.

Bagaimana pun mereka masih perlu kebenaran daripada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industr (MITI), di sinilah letaknya suatu keputusan di pihak kerajaan yang agak rumit.

Jika dibenarkan dijual maka kita melepas. Jika dibatalkan pula, apakah implikasinya kepada pelabur asing yang melihat kita mengamalkan sesuatu yang bertentangan dengan amalan urus niaga komersil.

Walau apa pun saya rasa pihak MITI perlu mendapatkan jawapan yang jelas daripada syarikat ini tentang mengapa masih menjual kepada syarikat Filipina sedangkan kita menawarkan harga yang lebih tinggi.

Kalau kita ingin membeli balik daripada pihak San Miguel, saya rasa satu kemungkinannya pertama, mereka tidak mahu jual balik dan kedua, mereka mungkin akan meletakkan harga yang bukan-bukan.

Kepentingan ini adalah terdiri daripada sesuatu industri yang penting dan sesiapa yang memilikinya tidak mudah akan melepaskannya.

Exxon menjualnya kerana ingin menumpukan usaha mereka dalam eksplorasi minyak atau aktiviti huluan.

Kadang-kadang kita perlu memberitahu pelabur kita ini siapa yang duduk dikerusi pemandu. Kalau keputusan yang dibuat tidak boleh diterima sekalipun, kita ada sebab jelas yang boleh kita terangkan kepada dunia.

Misalnya, sejak mereka beroperasi di negara ini berapa banyak keuntungan yang telah dikaut dan pelbagai faedah yang telah mereka nikmati.

Kita wajar melindungi apa yang kita ada, dan walau pun kadang kala keputusan kita tidak popular, itu tidak mengapa. Kerajaan mesti tegas dan tidak boleh dipermainkan sesuka hati oleh mereka yang menggunakan sistem ekonomi bebas untuk mengambil kesempatan.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas

Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur

(kini Bursa Malaysia)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan