Utusan Online - Rencana |
Tragedi: Jangan salahkan takdir Posted: Tragedi: Jangan salahkan takdirDATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR SAMBUTAN hari raya di kampung menjadi tradisi setiap tahun para perantau untuk pulang. Dalam keghairahan untuk pulang itu, persiapan mental dan fizikal menjadi sandaran agar perjalanan menjadi sesuatu yang tenang dan selamat. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan para perantau yang bakal memenuhi jalan raya menuju ke kampung halaman supaya berhati-hati kerana potensi berlaku kemalangan adalah besar apabila terlalu banyak kenderaan. Bahkan, pada hemat Perdana Menteri setiap pengguna hendaklah tidak menjadikan jalan raya itu sebagai pusara tanpa tanda. Sikap gopoh, hilang sabar dan pertimbangan fikiran yang goyah dikenal pasti sebagai punca kemalangan yang terbesar berbanding faktor mekanikal dan fizikal. Saban tahun insiden kemalangan tidak banyak memberikan kita kesedaran, kerana ia terus meningkat terutamanya menjelang musim-musim perayaan. Kita juga kadangkala menerima kemalangan hanyalah sebagai takdir walhal sebahagian besarnya dapat kita elakkan jika merupakan pemandu yang sabar, disiplin, tidak mementingkan diri dan mengambil langkah berhati-hati. Maklumlah dalam keadaan tertekan kerana jarak perjalanan yang jauh dan kesesakan kenderaan, kita akan menjadi lebih cepat marah. Kita marahkan sesiapa sahaja tetapi jarang pula kita menilai diri sendiri apakah corak pemanduan kita itu tidak mendatangkan keburukan atau bahaya kepada orang lain. Dapatan kajian memberikan kesimpulan bahawa 80 peratus adalah disebabkan oleh faktor kecuaian manusia sendiri manakala 10 peratus adalah faktor fizikal dan selebihnya oleh faktor-faktor seperti jarak penglihatan yang rendah (disebabkan hujan) ataupun masalah kenderaan yang tidak diselenggarakan secara berkala. Dari sudut pandangan Islam, berdasarkan keyakinan dan akidah sebenar, takdir bukan boleh disalahkan secara total. Sikap pesimis itu sebenarnya merupakan orang yang gagal menguruskan diri sendiri. Turut menjadi kegagalan ialah kerana tidak menggunakan kecerdikan akal membuat pilihan sedangkan kita sentiasa diminta agar bertindak secara bijaksana. Atas kegagalan membuat pilihan secara bijaksana, kita sendiri sebenarnya telah memilih untuk mengundang tragedi atas kecuaian. Kita lebih banyak membuat kesimpulan, kalau sudah ditakdirkan kita mati secara begitu, walaupun telah melakukan tindakan pencegahan dengan begitu teliti, ia tetap juga berlaku kerana ia adalah kehendak Illahi. Jika segala langkah pencegahan telah kita mulakan dengan bersungguh-sungguh, maka konsep takdir boleh kita terima sebagai faktor tunggal. Tetapi, kalau bukan menerusi langkah berhati-hati dan sentiasa beringat sebelum kena, maka menyalahkan takdir adalah sesuatu yang bertentangan dengan keyakinan agama. Kita telah membawa masuk nilai-nilai buruk dalam kehidupan kita sedangkan Islam sentiasa memberikan petunjuk, jauhkan sikap buruk kerana ia adalah sesuatu yang keji, jelek dan boleh memudaratkan nyawa kita sendiri. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berlaku baiklah sesungguhnya Allah SWT sukakan orang yang melakukan kebaikan" (Surah al-Baqarah ayat 195). Tabiat manusia lebih cepat berubah. Perubahan itu biasanya menjuruskan kepada perkara-perkara yang buruk kerana tarikannya adalah lebih kuat berbanding dengan tabiat yang lebih baik. Nilai ego telah menguasai diri, dan keegoan itulah menjadikan manusia sering lupa diri, sombong, riak dan bertindak membabi buta sehingga tidak dapat memikirkan keselamatan orang lain. Sebagai seorang Muslim yang beriman, kita diberikan petunjuk dan panduan agar lebih berhati-hati dalam hidup, sentiasa beringat kerana malang itu tidak berbau. Kita mesti memandu dalam suasana yang tenang, tidak mengikut perasaan. Cara itu boleh membantu kita mengambil tindakan bila sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Kita boleh mengawal kenderaan kita. Kita boleh menyelamatkan nyawa kita sendiri dan orang yang berada di sekeliling kita. Mereka juga memerlukan sokongan dan dokongan kita untuk hidup, kerana mereka adalah sebahagian dari diri kita. Takdir adalah ketentuan terhadap sesuatu berdasarkan sistem yang ditetapkan-Nya. Siapa bersandar di tembok yang rapuh akan ditimpa runtuhannya, dan siapa yang menjauhi tembok itu akan terselamat. Kedua-dua ini adalah takdir-Nya, namun demikian manusia berpotensi untuk memilih dan berusaha menghindarinya. Salah satu usaha tersebut adalah doa. Justeru kita dapat berkata bahawa ada ketetapan-Nya yang telah pasti dan ada pula yang bersyarat. Siapa tahu salah satu syarat itu adalah doa, sehingga apa yang diperolehi mereka yang berdoa, sudah tentu berbeza dengan apa yang dialami oleh mereka yang tidak berdoa. Islam sentiasa menyuruh kita berhati-hati dan sentiasa mendoakan keselamatan. Antara doa lazim yang diajarkan kepada kita ialah "Innnallazi farada alaikal qurana laraduka ila ma'ad" (al-Quran surah Al qasas ayat 85). Menurut sesetengah riwayat sesiapa yang membaca ayat ini insya-Allah dirinya akan kembali ke tempat asal dengan selamat. Demikian juga perjalanan tersebut hendaklah dimulakan dengan doa yang selalu diajar antara lain ialah "subhana llazi sakhara lana haza wama kunna lahu muqrinin wainna ila rabbina lamunqalibun". Menurut kata setengah ulama sesiapa yang membaca doa ini ketika hendak berlepas dari satu tempat, dia pasti akan dikembalikan ke tempat itu dengan selamat. Insya-Allah. Memandu dengan laju tanpa menghiraukan peraturan jalan raya sekiranya berlaku kematian, maka kematian itu adalah sebagai mati katak bukan syahid kemalangan. Di sini kita perlu memahami konsep takdir yang sebenar kerana banyak salah faham berlaku di kalangan masyarakat yang menganggap takdir itu adalah kerja Allah SWT yang maha Esa tanpa sekutu dengan yang lain-lain. Memang pada hakikatnya semua yang berlaku ini sama ada baik atau jahat sudah dalam pengetahuan ilmu Allah sejak dari azali lagi, sedangkan kita tahu ilmu-Nya tersebut bukan tugasnya menentukan berlaku sesuatu (baik atau buruk) kepada hamba-Nya. Sesungguhnya manusia tidak boleh lari dari suatu ketetapan Allah kerana manusia tidak mampu keluar daripada keputusan dan takdir Allah selaras dengan ilmu pengetahuan-Nya yang meliputi sekalian makhluk ciptaannya. Tetapi manusia diberi daya usaha dan pilihan yang akan menentukan secara juzie. Justeru untuk memahami persoalan takdir ini sebenarnya ia amat sukar hendak diperjelaskan melainkan orang yang mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT. Manakala orang yang tidak mendapat hidayah daripada Allah SWT dia akan mengikut fahaman Mazhab Jabariah. |
Posted: Misi getir di SomaliaOleh ZULKIFLI JALIL SIAPA pun kalau boleh tidak mahu ke Somalia. Apatah lagi di saat-saat begini berada jauh di negara Tanduk Afrika itu yang diancam kebuluran maha dahsyat. Di negara ini, meskipun ada segelintir kumpulan mendakwa mereka memperjuangkan istilah 'berkebajikan', namun kalau disebut ke Somalia, pastinya pengikut mereka menggeleng-gelengkan kepala atau setidak-tidaknya tunduk membisu. Lebih rela pula kumpulan itu 'mempromosikan diri' dengan tidak tahu malu mengatur 'hubungan diplomatik' antara kerajaan dengan kerajaan meskipun mandat majoriti di tangan pihak lain. Namun, bagi Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, misi kemanusiaan terbaru yang digerakkan pihaknya bukan bermotifkan politik. Tidak sekali-sekali kerana Somalia pun bukanlah tapak baru misi kemanusiaannya. Siri bantuan kemanusiaan oleh Kelab Putera 1Malaysia sebelum ini merata. Termasuk Somalia, 15 semuanya. Antaranya, di bumi Australia (dilanda banjir besar dan kebakaran), New Zealand (gempa bumi), Genting Gaza (misi bantuan kepada penduduk Palestin), Mesir (membawa pulang warga Malaysia, sebahagian besar pelajar pulang ke tanah air akibat konflik politik), Jepun (gempa bumi, tsunami dan kebocoran radiasi nuklear) dan beberapa lagi. Di Somalia, konflik bersenjata selama dua dekad menjadikannya seolah-olah tanah tak bertuan. Beberapa ketika awal tahun ini, kegiatan perlanunan terutama di Teluk Aden yang dikuasai warga Somalia mengisi slot berita antarabangsa. 'Nilai ekonomi' daripada pelanunannya amat tinggi mencapai AS$7 juta hingga AS$12 juta setahun. Slot pelanunan Somalia bagaimanapun 'hambar' seketika yang akhir-akhir ini diisi oleh wajah sebenar Somalia - kebuluran. Kebuluran di Somalia sebenarnya merujuk kepada kemarau berpanjangan di seluruh rantau Timur Afrika hingga menyebabkan mati kebuluran. Kemarau paling teruk dalam tempoh 60 tahun menyebabkan krisis makanan di seluruh Somalia, Ethiopia dan Kenya dan mengancam kehidupan lebih 12 juta orang . Sebilangan penduduk selatan Somalia melarikan diri ke Kenya dan Ethiopia. Negara-negara lain di Tanduk Afrika termasuk Djibouti, Sudan, Sudan Selatan dan sebahagian Uganda juga terjejas oleh krisis makanan. Abdul Azeez yang ditemui Utusan Malaysia di Putrajaya semalam mengakui faktor keselamatan dalam menghadapi konflik dan pergolakan yang ganas di Somalia antara cabaran besar Kelab Putera 1Malaysia dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke negara itu mulai 28 Ogos hingga 8 September ini. Perkara itu telah pun dikaji dan difahami risikonya, justeru pelbagai persediaan teknikal dilakukan seperti melalui kawasan perjalanan yang selamat dan tidak berbahaya untuk ke kem penempatan sementara. "Somalia kawasan paling berbahaya di dunia, cabaran ini amat luar biasa dan kami optimis untuk menghadapinya berbekalkan semangat juang yang tinggi daripada semua anggota misi yang turut terdiri pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM). "Kesemua langkah keselamatan telah pun kami maklumkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri (Datin Seri Rosmah Mansor). Dan kehadiran Malaysia di sana sangat dialu-alukan negara Somalia. "Mereka (penduduk) tidak mahu negara Barat datang termasuk Turki sekali pun, tapi mahukan negara kita," katanya. Menurut Abdul Azeez, selain faktor keselamatan, cabaran lain adalah cara pengagihan bantuan makanan memandangkan setiap kem penempatan terletak lebih 200 kilometer antara satu sama lain dan berdepan dengan iklim muka bumi yang sedang kemarau. Sebanyak 15 tan bahan makanan termasuk bahan perubatan akan dibawa ke Somalia. Hakikatnya, misi Kelab Putera 1Malaysia yang terdiri daripada pasukan sukarelawan serta 30 doktor pakar pelbagai bidang dipercayai bakal menempuh jalan penuh berliku. Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), lebih 300,000 kanak-kanak di negara 'Tanduk Afrika' itu mengalami kekurangan zat makanan dan berdepan risiko kematian disebabkan kemarau dan kebuluran. Krisis ini diburukkan lagi oleh kegiatan pemberontakan di sekitar selatan Somalia oleh kumpulan Al-Shabaab. Kebuluran di Somalia diisytiharkan secara rasmi buat pertama kali oleh PBB pada 20 Julai lalu dalam tempoh 30 tahun. Berpuluh-puluh ribu orang dipercayai sudah mati di selatan Somalia sebelum kebuluran itu diisytiharkan. Pada 3 Ogos, PBB mengisytiharkan kebuluran di tiga kawasan lain di selatan Somalia. Kebuluran merebak merentasi semua wilayah selatan dalam tempoh enam minggu kemudian. Ketiadaan hujan di Somalia membawa kepada kegagalan tanaman dan kerugian meluas ternakan, setinggi 40-60 peratus. Hasil tuaian semakin kurang. Hujan dijangka tidak berlaku sehingga September 2011. Bulan lalu, Program Makanan Dunia PBB merekodkan 10 juta rakyat di seluruh Tanduk Afrika (meliputi Kenya dan Ethiopia) memerlukan bantuan makanan. Seramai 12 juta berhadapan dengan krisis makanan termasuk 2.8 juta di selatan Somalia. The Economist melaporkan bahawa keadaan kebuluran ini tidak pernah dilihat dalam tempoh 25 tahun lalu. Harga barang naik 68 peratus sejak lima tahun lalu.Kenaikan harga sehingga 240 peratus di selatan Somalia, 117 peratus di selatan-timur Ethiopia dan 58 peratus di utara Kenya. Pada 3 Ogos 2011, lebih daripada 860,000 pelarian dari Somalia telah melarikan diri ke negara-negara jiran, di Kenya dan Ethiopia. Menurut UNHCR, Kenya kini menjadi tuan rumah sekurang-kurangnya 440,000 orang di tiga kem pelarian. Kem Dadaab menempatkan 90,000 pelarian. Seramai 1,500 pelarian terus tiba setiap hari dari selatan Somalia, dengan 80 peratus daripada mereka wanita dan kanak-kanak. Ramai yang meninggal dunia semasa dalam perjalanan. Di dalam kem, kematian bayi telah meningkat tiga kali ganda dalam beberapa bulan lepas. Keseluruhan kadar kematian adalah 7.4 daripada 10,000 orang setiap hari. Lebih daripada tujuh kali lebih tinggi kadar "kecemasan" 1 daripada 10,000. Abdul Azeez memberitahu, 67 sukarelawan yang menyertai misi itu termasuk 40 doktor lelaki dan wanita, anggota kelab berkenaan serta wakil media. Kata beliau, kawasan utama yang akan dikunjungi dan dibantu adalah berhampiran ibu negara Somalia, Mogadishu dengan tumpuan pada khemah bantuan dan kem pelarian. "Kumpulan sukarelawan pertama berlepas ke Dubai sebelum ke Mogadishu hari ini (semalam 25 Ogos) dan mereka akan membuat persiapan untuk kumpulan sukarelawan selebihnya yang dijadualkan tiba tiga hari selepas itu bagi menyalurkan pelbagai bantuan di beberapa kawasan di negara itu. "Bekalan makanan akan dibeli di Dubai dan Mogadishu sebelum dibawa menggunakan lori ke beberapa kawasan berkenaan. "Bantuan akan disalurkan ke kawasan 100 kilometer dari Mogadishu iaitu Lower Shabelle, Middle Shabelle, Oddur dan Merca," katanya. Bagi Abdul Azeez, bencana kebuluran di Somalia boleh dicegah dan ada penyelesaiannya. "Ahli-ahli politik dan pembuat dasar di negara-negara kaya sering ragu-ragu mengenai mengambil tindakan pencegahan. Beberapa kerajaan di Eropah 'sengaja cuai' terhadap krisis. "Tanda-tanda amaran telah dilihat selama berbulan-bulan tapi malangnya dunia lambat bertindak," kata beliau. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan