Selasa, 30 Ogos 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Tidak serik kena tahan

Posted: 29 Aug 2011 10:28 AM PDT

NILAI: Aktiviti perjudian Internet terus berleluasa di sekitar daerah ini hingga membuatkan pelbagai pihak terutama ibu bapa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak senang hati kerana ia menjadi tempat tumpuan terutama golongan remaja.

Menyedari hakikat itu, Majlis Perbandaran Nilai (MPN) memperhebatkan operasinya membanteras kegiatan itu untuk memastikan kegiatan haram berkenaan dapat disekat.


Dalam operasi terbaru agensi itu, sebuah premis judi Internet di Taman Semarak, diserbu dan 20 set peralatan komputer digunakan sebagai mesin judi dirampas, baru-baru ini.

Pengarah Undang-Undang dan Penguat Kuasa MPN, Syamsul Amri Ismail, berkata berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati pengusaha pusat berkenaan pernah ditahan sebelum ini dan dikenakan denda kerana kesalahan sama.


"Pengusaha terbabit didapati tidak serik kerana masih meneruskan kegiatan itu walaupun pernah dikenakan hukuman denda, oleh itu kita bercadang untuk mengenakan hukuman yang lebih berat pengusaha yang didapati bersalah," katanya di lokasi operasi.


Menurutnya, mereka yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 di mana jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman sehingga RM50,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya.

Katanya, enakmen itu juga membabitkan pemilik premis yang bersubahat kerana membenarkan perniagaan seperti itu berlangsung di premis miliknya.


"Pemilik premis perlu lebih berhati-hati sebelum beri sewa kepada pengusaha kerana aktiviti perniagaan ini nyata bertentangan undang-undang negara," katanya.

Katanya, semua barangan dirampas disita dan tidak akan dilepaskan sehingga kes berkenaan dibicarakan.


"Kami akan terus memperhebatkan lagi operasi bagi memerangi aktiviti haram itu habis-habisan," katanya.

‘Terima kasih semua’

Posted: 29 Aug 2011 10:26 AM PDT

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan penghargaan kepada rakyat Britain yang membantu pelajar Malaysia, Mohamad Asyraf Haziq Rossli yang dipukul dan dirompak samseng yang pada awalnya berpura-pura membantunya ketika rusuhan di London awal bulan ini.

"Terima kasih kerana membantu pemuda Malaysia yang ketika itu memerlukan bantuan dan terima kasih kerana sekali lagi membuktikan London sebuah bandar raya yang mengalu-alukan orang luar, tetapi bukan kepada golongan ekstremis," katanya dalam artikel yang disiarkan dalam The Times.


Najib berkata, di Malaysia, kejadian itu disifatkan sebagai tidak berhati perut, tidak berbelas kasihan dan zalim yang mengejutkan rakyat Malaysia.

"Ramai daripada kami pernah menghabiskan masa di bandar raya anda dan amat menyayanginya, tetapi peristiwa hitam di London itu tidak pernah kami saksikan sebelum ini dan kami mula tertanya-tanya jika ia sudah berubah, jika kenangan kami sudah diwarnai nostalgia atau malahan kami sudah tersilap sebelum ini," katanya.


Namun, katanya, pada hari-hari kemudiannya Britain menunjukkan wajah sebenarnya kepada dunia apabila ribuan rakyat Britain melalui Internet mengutuk perbuatan itu.


"Gelombang kemarahan itu disusuli rasa keprihatinan, bantuan dan sokongan. Dalam zaman dengan sesetengah pihak masih cuba meletakkan jurang antara bangsa dan agama, rakyat biasa Britain tidak teragak-agak untuk membuka pintu hati mereka kepada pemuda Islam Malaysia," katanya.

Najib berkata, Asyraf sendiri menjelaskan perasaan itu semula jadi, enggan membuat penghakiman seperti katanya kepada dunia beliau menyayangi London, tiada apa yang dapat memujuknya untuk meninggalkan kota itu lebih awal dan malahan beliau berasa kasihan kepada penyerangnya.


Perdana Menteri berkata, di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun lalu, beliau sudah menggesa pemimpin dunia supaya memerangi semua bentuk ekstremisme dengan menubuhkan 'Movement of the Moderates' di peringkat global-rakyat biasa daripada semua bangsa, agama dan fahaman politik memerangi golongan ekstremis dan mempertahankan nilai-nilai pegangan dan kepercayaan mereka.

"Nilai-nilai itulah, penerimaan oleh pihak lain, tahu membezakan apa yang salah dan betul dan lebih penting menolak perbuatan ekstremis dan keganasan yang sudah dipertahankan rakyat Britain dalam beberapa minggu lalu.


"Apa yang kita lihat mencerminkan contoh suara kesederhanaan yang sebenar dan hanya satu perkataan yang ingin saya katakan iaitu terima kasih," katanya.


Asyraf Haziq, 20, menjadi tumpuan global dalam kejadian rusuhan yang menggegarkan kota London dan Britain apabila jutaan orang menyaksikan dengan penuh rasa terkejut dan marah apabila YouTube memaparkan kejadian malang yang menimpa pelajar Malaysia itu ketika dirompak dan ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan berdarah selepas mematahkan rahangnya dan mencuri basikalnya. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan