Sabtu, 27 Ogos 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Tiada lagi nasi buluh ibu

Posted:

Tiada lagi nasi buluh ibu

Tiada lagi nasi buluh ibu

Oleh SYALMIZI HAMID

TRAGEDI tanah runtuh di Kampung Sungai Ruil, Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang pada 7 Ogos lalu masih jelas terbayang di mata Azhar Jaafar, 26.

Menurut Azhar, bayangan itu seakan-akan klip video yang ditayang berulang-ulang terutamanya menjelang waktu berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.

"Pada masa kejadian, bapa, ibu dan adik saya sedang menyiapkan juadah berbuka puasa di dapur," imbas Azhar, anak kedua daripada lima beradik.

Seramai enam ahli keluarga Azhar terkorban dalam tragedi itu. Mereka ialah bapanya, Jaafar Balad, 48; ibunya, Normah Gunung, 51; adiknya, Mohd. Ikbal, 15; adik iparnya, Yusniza Yusof, 22; ibu saudaranya, Sara Gunung, 37; dan neneknya, Normadiah Lasik, 69.


FIFA, Azhar dan Zulkarnain berbuka puasa tanpa ahli keluarga yang lain.


Turut terkorban dalam tragedi pukul 5.45 petang di perkampungan yang telah diduduki selama lebih lima dekad lalu itu ialah jiran mereka, Mat Ali Ah San, 50.

Kata Azhar, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata tetapi amat menakutkan. Ada penduduk menceritakan bunyi runtuhan tanah itu seperti petir yang menggegar rumah-rumah di lereng bukit itu.

'Air besar' dilihat turun bergulung-gulung dari atas bukit, membawa batang pokok dan menyambar enam buah rumah yang berada di sepanjang lereng itu.

Salah seorang saksi kejadian ialah Pembantu Pembangunan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Mohd. Yusuf Ngasri, 54. Kata Yusuf, kejadian yang disaksikannya dari balkoni rumahnya itu merupakan yang pertama kali berlaku dalam sejarah 54 tahun perkampungan Orang Asli itu.

Yusuf terkejut melihat rumah keluarga Azhar tiba-tiba lenyap daripada pandangannya.

Azhar dan semua ahli keluarganya memeluk Islam sejak tiga tahun lalu. Tahun ini merupakan kali keempat mereka berpuasa pada bulan Ramadan.

Secara kebetulan, inilah kali pertama neneknya, Normadiah datang ke rumahnya untuk berbuka puasa bersama-sama.

"Nenek saya baru sahaja tiba dari kampungnya yang terletak tidak jauh dari sini. Kami sangat gembira kerana berpeluang berbuka puasa bersamanya.

Nasi buluh


TRAGEDI tanah runtuh pada petang 7 Ogos lalu meragut nyawa tujuh penduduk Kampung Sungai Ruil.


"Kebetulan pada sebelah pagi dia pergi ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata untuk menjalani pemeriksaan rutin penyakit darah tingginya, jadi dia singgah ke rumah kami," ujar Azhar yang bekerja di sebuah hotel di pusat peranginan tanah tinggi itu.

Semasa kejadian tempoh hari, Azhar sedang bertugas di hotel yang terletak di pekan Brinchang itu.

Satu-satunya anak perempuan tunggal dalam keluarga itu, Nor Fifa Jaafar, 20, terkilan kerana dia tidak lagi dapat merasai bubur kacang hijau masakan ibunya.

Menurut Fifa, menu tersebut merupakan hidangan wajib ibunya ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri selain rendang dan kuih-muih.

"Sepanjang tiga tahun menyambut hari raya, bubur kacang hijau ibu adalah makanan kegemaran saya," katanya ketika ditemui Jurnal di pusat pemindahan sementara mangsa tanah runtuh Kampung Sungai Ruil di Dewan Serbaguna, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Brinchang.

Kenang Fifa lagi, selain daripada masakan biasa pada hari raya seperti rendang ayam dan lemang, ibunya turut menyediakan hidangan tradisi iaitu nasi buluh.

Dalam bahasa suku Semai, nasi tersebut dipanggil po'ol, merujuk kepada nasi yang dimasak di dalam buluh.

Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut Selasa ini pasti terasa sayu.

"Perkara pertama yang akan kami lakukan pada pagi raya ialah menziarahi kubur ahli keluarga kami.

"Selalunya sebelum ini, selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Brinchang, kami akan berkumpul di rumah tetapi kali ini berlainan pula.

Homestay


PETUGAS Jabatan Kerja Raya memeriksa keadaan tanah berikutan kejadian tanah runtuh baru-baru ini.


"Saya sedih kerana tidak dapat bermaaf-maafan dengan ibu dan ayah pada pagi Syawal nanti," kata Zulkarnain, anak keempat Jaafar. Zulkarnain merupakan pelajar tahun satu diploma kesihatan di Institut Assyifa' dan Sains Kesihatan Bersekutu, Taiping, Perak.

Di sebalik tragedi yang menimpa, Azhar, Fifa, Zulkarnain dan abang sulung mereka, Riduan Jaafar, 31, memutuskan untuk terus tinggal di kampung itu dan membina sebuah rumah lain demi kecintaan mereka kepada ahli keluarga.

Menurut Tok Batin kampung berkenaan, Kadir Asan, 42, kira-kira 20 peratus daripada 1,000 penduduk perkampungan itu beragama Islam.

Kawasan penempatan itu merupakan sebahagian daripada 27 kampung Orang Asli yang terdapat di daerah Cameron Highlands.

Mengikut bancian yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), negeri Pahang mencatatkan jumlah penduduk Orang Asli paling ramai dengan 50,792 orang diikuti oleh Perak dengan 42,841 orang.

Perjalanan dari Tapah ke Tanah Rata sahaja sudah menemukan pengunjung dengan beberapa penempatan Orang Asli di sepanjang laluan berbukit dan berliku itu.

Mereka juga mendirikan gerai menjual hasil hutan seperti orkid liar, rebung, petai, akar kayu dan madu lebah.

Ada juga hasil kraf yang dijual, antaranya sumpit, tudung saji dan bakul mengkuang.


NASI buluh merupakan makanan tradisi Orang Asli Cameron Highlands.


Jika bernasib baik, pengunjung berpeluang melihat Orang Asli yang masih memakai cawat menggalas bakul mencari hasil hutan.

Sesuai dengan reputasinya sebagai pusat pelancongan tanah tinggi terkenal di negara ini, beberapa perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands telah dipilih mengikuti program homestay. Ini termasuk Kampung Sungai Ruil, yang terletak dua kilometer dari Jalan Brinchang-Tanah Rata.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen yang melancarkan Pakej Pelancongan Orang Asli di perkampungan berkenaan pada tahun 2009 berkata, produk terbaru itu berpotensi menarik pelancong yang berminat untuk mendalami budaya serta kehidupan masyarakat Orang Asli.

Secara keseluruhannya, pakej itu mengetengahkan konsep percutian seperti inap desa di perkampungan orang asli.

Menerusinya, para pelancong akan dibawa mendekati keindahan alam semula jadi selain didedahkan dengan keunikan kehidupan masyarakat Orang Asli seperti kraf tangan, persenjataan, makanan, kebudayaan, tarian, lagu dan alat muzik.

Bazar Ramadan Orang Asli

Posted:

Bazar Ramadan Orang Asli

Bazar Ramadan Orang Asli


BAZAR Ramadan pekan Brinchang tempat utama penduduk Cameron Highlands membeli juadah berbuka puasa.


TERLETAK tidak jauh dari pekan Brinchang, Cameron Highlands, Kampung Sungai Ruil didiami oleh hampir 190 penduduk Islam Orang Asli.

Seperti Muslim lain di Malaysia, masyarakat Orang Asli yang beragama Islam turut mengamalkan cara hidup dan makan makanan yang halal.

Menurut Tok Batin kampung itu, Kadir Asan, sambutan Aidilfitri di kampung itu cukup meriah biarpun hanya sebahagian kecil penduduknya beragama Islam.

"Sambutan hari raya di sini seperti biasa. Umat Islam akan bersama-sama bersembahyang hari raya dan terdapat amalan kunjung-mengunjung.

"Bagi yang tidak beragama Islam pula mereka akan turut meraikan hari kemenangan umat Islam itu kerana masing-masing mempunyai pertalian darah," katanya.

Tambah kadir, masyarakat Orang Asli di kampung itu saban hari turut mempraktikkan cara moden termasuklah ketika Aidilfitri.

"Kalau dahulu kami memasak menggunakan buluh, kini peralatan moden seperti dapur gas banyak membantu. Justeru makanan yang dimasak menggunakan buluh sudah berkurangan tetapi tetap dihidangkan ketika hari raya," katanya.

Sementara itu, bazar Ramadan pekan Brinchang kerap dikunjungi Orang Asli dari Kampung Sungai Ruil. Seorang peniaga bazar Ramadan di situ yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 35, menjelaskan bazar Ramadan tersebut merupakan satu-satunya lokasi membeli juadah berbuka puasa terbesar di Cameron Highlands.

"Hanya terdapat dua lokasi bazar Ramadan di kawasan Cameron Highlands iaitu di Brinchang dan Tanah Rata.

"Bazar di sini lebih meriah kerana beberapa peniaga sahaja yang menjalankan perniagaan di Tanah Rata," katanya yang berasal dari Gua Musang, Kelantan.

Tinjauan Jurnal mendapati pelbagai juadah dijual di bazar Ramadan itu, yang kebanyakannya terdiri daripada hidangan dari Negeri Pantai Timur. Bagaimanapun, tiada peniaga makanan Orang Asli yang berniaga di bazar itu.

Impian Datin Linda

Posted:

Impian Datin Linda

Impian Datin Linda

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN


DALAM masa tiga tahun penubuhannya, Casa Impian Living kini sudah ada 18 cawangan di seluruh Malaysia.


BERTEMU dengan pemilik empayar Casa Impian ini, pemilik mudah menyusun bicara. Orangnya peramah dan mudah mesra dan kami berbual seperti sudah lama mengenali satu sama lain, hinggakan penulis terlupa ada gelaran datin dipangkal namanya.

Datin Noorlinda Abd. Taib, 40-an merupakan usahawan hiasan dalaman Bumiputera yang berjaya di negara ini.

Melihatkan jenama Casa Impian sahaja, hasil air tangan ibu kepada empat anak ini memang sudah cukup terkenal di mana-mana.

"Alhamdulillah, walaupun semakin hari semakin banyak saingan, Casa Impian masih berdiri teguh di dalam hati peminat produk kami," ujar Linda.

Dia yang meminati seni menghias kediaman ini asalnya bukanlah suka menghias rumah.

"Masa zaman anak dara dulu, memang kena paksa dengan emak baru saya mengemas rumah.

"Bila asyik disuruh, lama-kelamaan minat itu datang dan saya kembangkannya hingga menjadi satu perniagaan pada hari ini," ujar Linda yang lebih gemar menghias landskap pada awal pembabitannya dalam kerja menghias rumah.

Tambahnya, bagaikan satu kepuasan apabila setiap pokok yang ditanamnya menjadi, lebih-lebih lagi pokok kesidang yang lebat berbuah di rumahnya.

Pilih sendiri

"Pernah juga keluarga dan rakan-rakan beritahu yang tangan saya ini tangan emas kerana apa yang saya tanam, semuanya menjadi," selorohnya.

Enggan bertapak dalam satu bidang sahaja, Pengarah Urusan Casa Impian Holding yang menawarkan pakej perunding hiasan dalaman berani mempertaruhkan jenama sama untuk anak syarikatnya, Casa Impian Living, yang menjual pelbagai aksesori dan hiasan rumah.

"Pada 2008, atas minat dan rasa percaya diri, saya tekad menubuhkan Casa Impian Living.

"Alhamdulillah, dari hari pertama, hingga kini, sayap baru Casa Impian ini berjaya menarik minat ramai rakyat Malaysia malah ia mempunyai kumpulan peminatnya tersendiri," katanya.

Apa yang membanggakannya, butik Casa Impian Living sudah ada di 18 cawangan pasar raya AEON Jusco terpilih di seluruh negara.

Menganggap perniagaan sebagai nadi hidupnya, Linda akui, dia lebih senang bekerja sendiri daripada bekerja di bawah orang lain.

"Sebelum ini saya sering bekerja di bawah bos yang suka marah-marah. Lama-lama, tertekan juga kita dibuatnya.

"Memandangkan saya memang graduan aliran perniagaan, saya ambil keputusan untuk cuba berniaga, syukur ia menjadi," kata Linda yang menganggap pekerja-pekerjanya sebagai rakan.

"Saya mahu mereka rapat dengan saya. Pengalaman yang lalu mengajar saya untuk tidak terlalu bertegas dengan pekerja sebaliknya saya akan menggunakan diplomasi sekiranya wujud masalah komunikasi antara kami.

"Dengan cara ini, walaupun kami sering bergelak ketawa bersama, mereka masih menghormati dan patuh dengan ketegasan saya sebagai ketua.

"Saya juga sering mengingatkan diri saya sendiri supaya tidak sesekali menindas orang lain untuk berada di atas," katanya.

Sebagai peniaga yang juga ketua kepada puluhan kakitangannya, Linda amalkan sikap turun padang dari dulu lagi.

Tidak kira sama ada melihat setiap ruang kediaman hinggalah memilih aksesori di Bali atapun China, semuanya mahu dilakukan sendiri.

"Saya tak kisah masuk kilang yang penuh dengan debu atau berjalan di bawah panas terik dari satu kedai ke kedai lain untuk mencari barang yang saya mahukan.


BARANGAN hiasan dalaman dari Bali menjadi pilihan Linda.


"Bagi saya, keunikan dan kualiti adalah kunci kejayaan Casa Impian," katanya yang gemar memilih eksesori yang dihasilkan daripada alam semula jadi untuk dijual di kedainya.

Tidak hairanlah upih, mayang dan lidi kelapa digunakan untuk membentuk aksesori seperti bekas kuih, bekas majalah, bakul kuih, dulang cawan dan sebagainya.

"Bagi yang mahu kediaman kelihatan rustik, gaya aksesori seperti ini memang sesuai, apatah lagi harganya berpatutan," kata Linda yang turut gemar membaca buku motivasi dan perniagaan.

Jelasnya, dalam sebulan dia mendisplinkan dirinya untuk menghabiskan dua buah buku dan jadual kerja yang padat tidak pernah menghalangnya untuk dia memenuhi hobinya itu.

Selain membaca, Linda turut menetapkan pada dirinya sendiri bahawa hujung minggu adalah waktu untuknya berehat selain bersantai bersama suami dan anak-anak.

"Anak-anak masih membesar, jadi masa hujung minggu memang masa yang saya khususkan untuk bersama mereka.

"Biasanya kami akan makan bersama, menonton dan membeli-belah. Sesekali, saya akan bawa dua anak perempuan saya ke spa untuk terapi tubuh," ujarnya yang akan bercuti bersama keluarganya ke Phuket sempena cuti raya tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan