Utusan Online - Rencana |
Pasca Gaddafi jadi tanda tanya Posted: Pasca Gaddafi jadi tanda tanyaKu Seman Ku Hussain MENUMBANGKAN Gaddafi bukanlah kejayaan kecuali mewujudkan persefahaman antara puak-puak di Libya. RAKYAT Libya bersorak riang selepas pemberontak berjaya menawan Tripoli beberapa hari lalu. Tripoli adalah benteng terakhir Presiden Muammar Gaddafi dan ini bermakna Libya telah jatuh ke tangan pemberontak yang menuntut demokrasi. Tetapi, jangan gembira dulu. Kejatuhan Gaddafi bukanlah kunci mutlak demokrasi akan bertunas dan subur di Libya. Kalau rakyat bermimpi akan wujud demokrasi, mereka sebenarnya terperangkap dalam permainan Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) bersama sekutunya Perancis dan Britain yang mengemudi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Demokrasi masih jauh di Libya. Pemberontak yang terdiri daripada pelbagai puak dan fahaman hanya bersatu untuk menumbangkan Gaddafi. Mereka semua dendam kepada sifat diktator Gaddafi yang mengaut kekayaan hasil bumi untuk keluarga. Tetapi dendam sahaja tidak cukup untuk menzahirkan seorang pemimpin di negara yang mempunyai banyak puak. Mereka tidak ada wibawa bersatu untuk memimpin Libya. Menumbangkan Gaddafi dengan memacu Libya sebagai negara maju dari hasil minyak adalah dua perkara berbeza. Maka kejayaan pemberontak hanya melepasi fasa pertama. Tetapi fasa seterusnya untuk menyuburkan kembali demokrasi adalah sangat sukar. Maka dalam isu Libya, pasca Gaddafi adalah bab paling penting sekaligus penuh tanya tanya. Kejatuhan Gaddafi bukan lagi menjadi isu kerana dia sewajarnya sudah lama jatuh. Malah kebangkitan rakyat juga memang kena pada masanya dengan menumpang semangat kebangkitan dari Mesir, Syria, Yemen dan Tunisia. Tetapi kenyataannya rakyat berdepan era pasca Gaddafi yang semua orang tahu kejayaan pemberontak itu hasil bantuan AS menerusi NATO dan Majlis Keselamatan PBB. Gaddafi mungkin belum tumbang kalau tanpa sokongan Barat yang kononnya mahu mengembalikan kuasa ke tangan rakyat. AS mempunyai kepentingan tersendiri dalam isu Libya. Bagi AS, Gaddafi adalah "budak nakal" yang menganggu kelicinan campur tangan mereka terhadap negara-negara lain yang merdeka dan berdaulat. Dua dekad pertama kepimpinannya, Gaddafi disanjungi kerana jasa besar kepada Libya. Rakyat tidak boleh melupakan jasa Gaddafi menutup pangkalan tentera udara AS tahun 1970 yang kemudiannya menebus maruah selepas menjadi negara berpengaruh dan bangun menguasai sendiri minyak di perut buminya. Gaddafi juga menjadi pemain utama yang mengubah dasar Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) sekaligus mencabar Barat yang menguasai industri minyak. Penghalang Pasca Gaddafi adalah saat yang sangat mencabar kerana kalangan pemberontak tidak mempunyai pemimpin yang berwibawa. Konflik antara puak ini menjadi penghalang utama kestabilan politik Libya pasca Gaddafi. Semua ini membuka pintu kepada pertelagahan sesama sendiri seperti yang berlaku di Iraq pasca Saddam Hussein. Ketika ini Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) bertindak sebagai kerajaan sementara. Majlis ini dianggotai oleh 33 ahli terdiri daripada wakil puak-puak yang memberontak menumbangkan Gaddafi. Kerajaan sementara ini adalah mainan AS dan sekutunya. Negara-negara ini awal-awal lagi sudah mengiktiraf NTC sebagai kerajaan sementara padahal Libya masih mempunyai Presiden dan masih belum tumpas sepenuhnya. Tetapi inilah kerajaan yang mendapat sokongan Barat. Kebebasan, ketelusan serta demokratiknya NTC boleh dipersoalkan apabila dikaitkan dengan agenda Barat. NTC berpangkalan di Benghazi, tempat tercetusnya pemberontakan menentang Gaddafi. Benghazi menjadi satu mercu tanda. Puak di Benghazi tidak sama dengan puak yang menguasai Tripoli dan sekiranya pemimpin dari Benghazi dipilih mengetuai NTC, puak lain pasti akan menentang. Penganalisis politik Afrika Selatan di Universiti Cambridge, George Joffe percaya pemberontak dari barat Libya yang menawan Tripoli tidak akan menerima pemimpin dari Benghazi. Pertelagahan antara puak akan mengisi pasca Gaddafi dan demokrasi yang mimpikan bertukar menjadi gelanggang meruntuhkan sesama sendiri. Sementara itu campur tangan AS yang membawa kepada kejayaan pemberontak adalah pendekatan Barat era neokolonialisme. Hal yang sama berlaku di Iraq ketika kononnya kejatuhan Saddam akan mengembalikan demokrasi. Tetapi lihatlah sejak 2003 hingga sekarang, Iraq menjadi lebih sengsara berbanding era Saddam. Kegagalan AS memberi demokrasi seharusnya menjadi pengajaran kepada pemberontak yang bersekongkol dengan tentera NATO menumbangkan Gaddafi. Kerana itu tumpasnya Gaddafi membuka era baru yang menjerumuskan Libya, negara yang kaya dengan hasil minyak ke kancah perebutan kuasa. Setakat ini hanya 60 peratus sahaja hasil minyak Libya yang diterokai. Walaupun AS bukan berada di barisan depan seperti di Iraq tetapi tetap mahu menguasai kekayaan negara itu. Barack Obama mengambil pendekatan berhati-hati setelah Bush membuat banyak kesilapan semasa menyerang Iraq. Buktinya kali ini AS berselindung di sebalik NATO tetapi AS secara tidak langsung menyediakan khidmat sokongan untuk menjatuhkan Gaddafi. Maka yang kelihatan di depan dalam serangan atas Libya adalah Perancis dan Britain. Percaturan Melihat kepada percaturan dan pertembungan antara puak-puak dan juga sekutu AS di Libya, harapan rakyat untuk melihat perubahan pasca Gaddafi tidak mungkin berlaku. Perebutan kuasa antara puak dijangka berlaku dan pertempuran akan berterusan. NTC bukanlah sebuah kerajaan sementara yang mantap dan tentunya tidak mampu meredakan babak kedua; bertempur sesama sendiri kerana berebut kuasa. Apabila ini berlaku, demokrasi menjadi suatu yang sangat abstrak untuk dizahirkan. Semua ini kerana rakyat telah membuat kesilapan menukar pemimpin dengan bantuan kuasa asing. Gaddafi pula yang seharusnya berkorban dengan mengadakan peralihan kuasa secara aman tidak berbuat demikian. Kedegilan Gaddafi membuka pintu kepada campur tangan kuasa yang memang mengidam hasil bumi negara itu. Akhirnya apabila semua penat lelah, darah dan nyawa dipertaruhkan untuk menumbangkan Gaddafi dibalas dengan kekacauan yang lebih besar, apakah ini boleh dianggap kejayaan? Maka pasca Gaddafi menjadi kayu pengukur berjaya atau tidak kerajaan sementara mengadakan pilihan raya dan mendapat pemimpin yang diterima oleh semua puak. Kalau ini tidak berlaku, Libya menjadi medan kedua sesi ujian senjata moden tentera NATO yang mengorbankan orang awam dan harta benda. Siapa yang dipilih memimpin Libya akan menjadi penanggung hutang kerana belanja mengorban orang awam dan harta benda itu perlu dibayar dengan minyak di perut bumi Libya. |
Posted: Anwar dan sejarahBisik-Bisik Mingguan SETIAP detik, pasti ada sahaja sejarah tercipta. Manusialah yang mengukir malah mencorakkan sejarah itu. Hitam, putih, baik mahupun buruk, kitalah yang menentukan. Baru-baru ini, di tanah air kita, sejarah tercipta lagi. Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim memilih memberi kenyataan tanpa bersumpah dari kandang tertuduh dalam kes liwat terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Dengan berbuat demikian, Anwar mengelakkan daripada soal balas oleh pasukan pendakwaan. Prosiding soal balas itulah sebenarnya inti dalam perundangan pembelaan tertuduh. Tiada sebab untuk sesiapa sahaja mengelak melalui proses itu melainkan jika tertuduh menghadapi ketidakcelaruan minda sebagaimana kes terpencil seperti perajurit Adam tidak lama dulu. Sedangkan Anwar masih siuman apatah lagi berstatus tinggi, mengetuai pembangkang serta selalu mendabik dada sebagai pejuang keadilan dan kebebasan. Bukan itu sahaja, dalam pembelaan diri, Anwar menyerang institusi kehakiman. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menjadi sasaran walaupun dilihat begitu fleksibel kepada tertuduh termasuk telah berpuluh kali membenarkan penangguhan perbicaraan. Mencerca hakim sudah menjadi mainan Anwar sebagai mengalih fokus daripada isu pokok - tuduhan terhadap kesalahan liwat yang mempunyai bukti kukuh. Ternyata Anwar sengaja menghina mahkamah untuk strategi pre -emtif lalu mahkamah dijadikan medan politik. Pada Awang, ia merupakan mesej yang jelas dan menyerlahlah lagi siapa sebenarnya Anwar. Ramai di kalangan pengamal undang-undang juga tidak menjangka sampai begitu sekali tindakan beliau. Peri laku di mahkamah boleh menjadi ukuran menentukan nilai diri seseorang. Awang dapat tahu, ramai pemimpin pembangkang secara tertutup mengkritik beliau. Ada yang kecewa pemimpin utama mereka takut untuk diadili sedangkan rakyat kecil ada keberanian moral menghadapi prosiding pembelaan. Jika Awang menjadi pengikut Anwar, Awang juga pasti dipukul rasa malu. Beliau bukan sahaja kelihatan menghina mahkamah malah menghina diri sendiri dan pembangkang. Ketua pembangkang di negara lain tidak begitu, melainkan di Malaysia, cukup luar biasa. Bahkan, kisah Anwar semakin menjadi bahan sinikal. ``Dia elergi bersumpah kecuali angkat sumpah jawatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen,'' demikian antara SMS yang Awang terima daripada seorang pemimpin Pas. Hari itu, rating pembangkang di kaca mata rakyat makin jatuh - lagi tamparan kepada gerakan pembangkang negara ini. Tidak habis-habis Anwar menjadi liabiliti dan meninggalkan najis yang mereka terpaksa cuci. Apakah ini pemimpin bersih yang diperlukan oleh negara? Hari itu, Anwar mencipta sejarah tetapi malangnya sejarah yang mengotori peradaban. Sama ada sejarah yang seburuk itu mahu terus mewarnai negara, jawapannya tentu tidak. Awang dapat tahu, ada usaha terbaru di kalangan pemimpin tertentu DAP dan Pas mahu Anwar berundur. Selagi beliau mengetuai pembangkang, Pakatan Rakyat tidak akan ke mana. Anwar sendiri tahu hakikat itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan