Isnin, 29 Ogos 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Mantapkan perpaduan ummah

Posted: 29 Aug 2011 03:22 PM PDT

Nasional

Umat Islam perlu saling mengunjungi sempena Aidilfitri: Muhyidddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa umat Islam di negara ini mengambil kesempatan daripada perayaan Aidilfitri tahun ini untuk menyemarakkan amalan saling mengunjungi, bermaaf-maafan dan bantu-membantu bagi memperkukuh ukhuwah serta memantapkan perpaduan ummah.

Timbalan Perdana Menteri percaya dengan semangat perpaduan kental, umat Islam di Malaysia akan berjaya mengatasi segala cabaran mendatang kerana perpaduan adalah kunci utama membolehkan mereka bangkit sebagai umat terbaik dan mencipta tamadun 'khaira ummah' seperti dijanjikan dalam al-Quran. "Marilah kita ziarahi sanak-saudara dan rakan untuk mempertautkan jalinan persaudaraan. Kita lupakan sengketa lama dengan bermaaf-maafan. Kita pamerkan keprihatinan terhadap golongan miskin dan kurang bernasib baik dengan menunaikan zakat fitrah.

"Jadikanlah Aidilfitri ini sebagai hari yang mana kita memantapkan jalinan persaudaraan sesama umat Islam dan bersatu dalam keimanan yang teguh kepada Allah SWT. Saya mendoakan semoga umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia sentiasa dikurniakan kesejahteraan, keamanan dan kedamaian oleh Allah SWT," katanya dalam perutusan sempena sambutan Aidilfitri 1432H sambil bersama keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Sementara itu, dalam perutusannya sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54 esok pula, Muhyiddin menggesa rakyat memperteguhkan azam dan membulatkan tekad untuk berganding bahu menjayakan agenda transformasi negara.

"Marilah kita memberi sokongan padu kepada agenda transformasi negara sedang kita jayakan," katanya yang turut menekankan perpaduan kental rakyat ialah kunci kejayaan kepada pelaksanaan agenda itu serta menyifatkan 31 Ogos setiap tahun sebagai hari rakyat menyelami jiwa kewarganegaraan.
Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata rakyat perlu menolak kumpulan yang cuba mewujudkan kekecohan sebaliknya menyokong mereka yang sentiasa memperjuangkan keamanan.

Presiden MIC, Datuk G Palanivel, berkata rakyat di negara ini harus bersatu-padu dan menyambut Aidilfitri serta Merdeka dalam suasana meriah dan dan penuh kesyukuran.


Rumah terbuka PM, menteri hari raya pertama

Posted: 29 Aug 2011 03:21 PM PDT

Nasional

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan jemaah menteri akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya pertama di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana di sini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, majlis rumah terbuka itu akan bermula jam 1 tengah hari hingga 6 petang.

Orang ramai diminta menggunakan perkhidmatan bas Nadi Putra yang disediakan secara percuma. Sebanyak 12 bas Nadi Putra akan beroperasi dari jam 11 pagi hingga jam 7.30 malam dari empat lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Park & Ride di Presint 1, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan akan mengadakan rumah terbuka di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang pada 18 September ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan