Utusan Online - Pahang |
- Penyakit kuning 'serang' murid
- Empat rumah perlindungan diberi bantuan
- Ibu tunggal terlantar sakit kekejangan otot
Penyakit kuning 'serang' murid Posted: Penyakit kuning 'serang' muridOleh M. RIZAL NOR NORAZIMAH Abdullah Sidek (kanan) menemani Noratieqah Mohd. Ali Saifudin yang dirawat di Hospital Jerantut, baru-baru ini. JERANTUT 26 Ogos - Lebih lima murid dari sebuah sekolah rendah dekat sini disyaki menghidap penyakit kuning dan ia dipercayai ada kaitan dengan sejenis wabak ekoran melibatkan lebih seorang pesakit serentak. Ibu kepada seorang pesakit, Norazimah Abdullah Sidek, 34, berkata, anaknya, Norafieqah Mohd. Ali Saifudin, 12, dimasukkan ke Hospital Jerantut Ahad lalu setelah mengalami demam dan mengalami kekuningan di bahagian mata. Menurutnya, sebelum dimasukkan ke hospital, anak sulung daripada empat beradik itu mengalami demam panas selama empat hari. "Anak saya kembali sihat selepas sembuh daripada demam tanpa sebarang tanda penyakit namun, terkejut apabila mendapati mata Norafieqah menjadi kekuningan. "Saya terus membawa anak saya (Norafieqah) ke Hospital Jerantut kerana seorang anak jiran turut dipercayai demam kuning dengan tanda awal sama seperti anak saya alami," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, kelmarin. Menurutnya, dia tidak mengetahui penyakit yang menimpa Noratieqah dan kes itu dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan lanjut. Katanya, Norafieqah yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan bagi mengenal pasti penyakit sebenar anaknya. Dalam pada itu, Pengarah Hospital Jerantut, Dr. Devaraj Salam ketika dihubungi berkata, penyakit kuning yang menimpa Norafieqah dan murid lain itu tidak ada kaitan dengan sebarang wabak termasuk kencing tikus sebaliknya ia mungkin hepatitis. Jelasnya, ia mungkin disebabkan oleh penggunaan air yang tercemar atau kotor dan keadaan Noratieqah kini beransur pulih namun masih menunggu laporan keputusan darahnya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak meminta semua pihak tidak membuat andaian melulu berkaitan penyakit yang dihidapi oleh murid terbabit. Menurutnya, pihak hospital di sini sedang melakukan siasatan bagi mencari punca sebenar penyakit itu supaya masalah tersebut dapat ditangani dengan segera. |
Empat rumah perlindungan diberi bantuan Posted: Empat rumah perlindungan diberi bantuanKUANTAN 26 Ogos - Sebanyak empat rumah perlindungan di daerah ini menerima sumbangan wang tunai daripada warga Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuantan sempena Ramadan ini. Antara rumah perlindungan tersebut ialah Baitul Husna, Taman Pengasih Sultan Haji Ahmad Shah, Rumah Hembusan Kasih Sayang dan Permata Camar. Pengerusi program berkenaan, Fauziah Ayob berkata, program tahunan itu merupakan usaha murni pendidik dan warga PPD selain membantu golongan kurang berkemampuan seperti anak- anak yatim. "Sumbangan bernilai kira-kira RM10,000 itu hasil derma para guru sekitar daerah ini dan warga PPD pada program sambutan Hari Guru baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini. Sumbangan tersebut disampaikan pada majlis berbuka puasa di bangunan baru PPD di sini dan disertai Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pahang, Wan Abdul Hamid Wan Mohamad dan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD), Karim Man. Dalam pada itu, Pengetua Taman Kasih, Rubiah Sidin berkata, dia bersyukur dan menghargai keprihatinan warga PPD terhadap rumah perlindungan itu. Menurutnya, sumbangan itu akan digunakan sebaik mungkin terutamanya dalam aspek pendidikan yang menjadi fokus utama buat 22 penghuninya yang berusia 10 hingga 12 tahun. Pengurus Rumah Amal Hembusan Kasih Sayang, Norzahilah Wahida Abd. Aziz berkata, sumbangan itu sedikit sebanyak membantu penghuni dan pengurusan menjalankan aktiviti sepanjang bulan itu. Menurutnya, rumah yang terletak di Taman Guru dibuka pada 25 Mac tahun lalu kini menempatkan 31 penghuni seperti anak yatim, fakir miskin, golongan asnaf, ibu tunggal dan tiga orang kurang upaya (OKU). |
Ibu tunggal terlantar sakit kekejangan otot Posted: Ibu tunggal terlantar sakit kekejangan ototJURIAH Mat Saman (kanan) sentiasa menjaga anaknya, Normah sambil dibantu cucu, Mohd. Afiq Shahmi dan Mohd. Afiq Zuhairi (kiri) di Jalan Bukit Palas, Kampung Cherating, baru-baru ini. KUANTAN 26 Ogos - Setelah mengalami demam panas Disember tahun lalu, seorang ibu tunggal, Normah Idris, 42, hanya mampu terlantar sakit akibat kekejangan otot di rumah ibu bapanya di Jalan Bukit Palas, Kampung Cherating di sini. Menurut ibunya, Juriah Mat Saman, 75, Normah yang kematian suami, Abdul Aziz Abdul Rahman sejak tiga tahun lalu akibat barah otak sebelum ini bekerja di sebuah pusat anyaman. Katanya, anaknya itu bekerja bagi menampung perbelanjaan seharian tiga anak lelakinya, Mohd. Afiq Nuruldin, 15, Mohd. Afiq Shahmi, 12 dan Mohd. Afiq Zuhairi, 9. Katanya, sejak terlantar sakit, dia yang mengusahakan kedai makan bersama suaminya, Idris Abdul Rahman, 75, terpaksa menghentikan perniagaannya semata-mata memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak ketiga dari lapan beradik itu. ''Saya sedih mengenangkan Normah dan anak-anaknya kerana sebelum ini dia seorang peramah dan periang. Kini dia tidak mampu bercakap dan hanya memandang sekeliling sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di sini baru-baru ini. Juriah berkata, selain mendapatkan rawatan di hospital dan klinik, mereka turut berikhtiar secara tradisional sebagai usaha untuk melihat Normah kembali sihat seperti dahulu. Jelasnya, setakat ini, anaknya itu belum menerima bantuan daripada mana-mana pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kecuali menerima sumbangan daripada anak- anak, saudara mara dan pihak tertentu yang simpati dengannya. Mengenai kos rawatan katanya, Normah memerlukan kira-kira RM800 setiap bulan bagi membeli keperluan seperti susu tepung khas, lampin dewasa serta ubat-ubatan. Dia kini buntu memikirkan nasib anak dan cucu-cucunya pada masa depan sekiranya tiada sesiapa yang dapat menguruskan mereka. ''Setiap hari saya berdoa mengharapkan anak saya kembali pulih seperti sedia kala kerana tidak sanggup melihatnya menderita dan kadang-kala mengerang seperti menahan kesakitan," jelasnya. Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, boleh menghubungi Murni Amat Daud, 44, di talian 014-2126099. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan