Utusan Online - Rencana |
Posted: Hari keluarga besar MalaysiaAllahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd. Pertamanya, segala ucapan tahmid dipanjatkan ke hadrat Allah SWT justeru selesai sebulan kita melaksanakan ibadah puasa dalam satu perjalanan spiritual mentarbiyyah rohani dan menguji fizikal. Maka, dengan tibanya fajar Syawal yang mulia, umat Islam hari ini dengan penuh rasa kesyukuran menyambut satu kemenangan mujahadah yang tertinggi pengertiannya seperti disifatkan oleh Rasulullah SAW yakni jihad bagi melawan nafsu. Pada tahun ini, ditakdirkan sesuatu yang bitara dan unik, sebagai rakyat Malaysia kita bertuah dapat menyambut gema Aidilfitri berselang sehari dengan ulangtahun sambutan kemerdekaan negara yang ke-54. Kedua-dua perayaan ini mempunyai signifikan begitu besar kepada negara yang mempunyai kemajmukan amat kompleks seperti Malaysia di mana bukan sahaja wujud perbezaan daripada segi etnik tetapi juga teranyam indah dengan kepelbagaian agama, budaya, bahasa dan taraf sosioekonomi. Pucuk pangkalnya, rakyat Malaysia yang berlainan agama, anutan dan kepercayaan mempunyai banyak sebab untuk bersyukur dan berterima kasih. Hakikat bahawa, Malaysia telah dan sedang dirahmati nikmat keamanan juga kemakmuran tidak mampu disangkal oleh mana-mana pihak. Jelas sekali, kita ibarat sebuah oasis di tengah-tengah dunia berkecamuk sedang dilanda badai politik dan kegoncangan ekonomi yang bertali arus. Hari ini, seperti yang kita maklum, ketika gergasi ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat dan beberapa negara anggota Kesatuan Eropah yang dikelompokkan sebagai ekonomi maju sedang bergelut dengan krisis kewangan serius sehingga memerlukan penyelamatan atau "bailout", sebaliknya, Malaysia hasil pengurusan yang berhemah serta cekap, masih mampu bukan sahaja untuk mengembangkan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baru tetapi juga untuk memberikan setengah bulan bonus kepada 1.4 juta kakitangan awam yang menelan belanja RM2 bilion menjelang sambutan istimewa perayaan Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan. Sungguhpun demikian, kita tidak boleh sekali-kali terbuai dan berpuas hati dengan ehwal kejayaan tersebut. Untuk itu, sepanjang tempoh dua tahun yang lepas, pancang-pancang telah dipasak oleh kerajaan bagi memastikan penciptaan kekayaan baru, pertumbuhan ekonomi berterusan dan penciptaan pekerjaan berganjaran tinggi selaras dengan kemahiran yang semakin meningkat. Apa yang diimpikan adalah sebuah negara yang makmur dan sejahtera di mana setiap individu sanggup bekerja keras, meningkatkan kemahiran secara istiqomah dan beriltizam menggunakan segala peluang dengan bijak agar dapat mencorak sebuah kehidupan bahagia berkelangsungan hingga cucu cicit kita kelak. Peri pentingnya, setiap seorang daripada kita hendaklah mengetahui bahawa, matlamat tertinggi kerajaan adalah untuk mendahulukan kebajikan seluruh rakyat, sebagai suatu urutan keutamaan yang telah menjadi wawasan nasional semenjak negara mencapai kemerdekaan. Dari itu, sebagai kerajaan yang merasai denyut nadi rakyat, lagi prihatin terhadap kegundahan serta resah gelisah warganya dan memahami kebimbangan mereka, kita sedar tentang fenomena kos kehidupan semakin meningkat sekali gus kita maklum terhadap harga bahan makanan yang semakin naik. Lantaran itu, kerajaan telah dan akan terus mengambil tindakan memperbaiki dan memperelok keadaan ini secara berperingkat serta menyeluruh demi kepentingan rakyat. Pokoknya di sini, sekalipun fenomena kenaikan harga bahan makanan bersifat global, namun sebagai kerajaan bertanggungjawab kita tidak akan berpaling daripada menghadapi sebarang cabaran. Misalannya, sebagai langkah awal kita telah menjadikan matlamat menangani kos kehidupan yang semakin meningkat sebagai satu lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA yang terbaru. Satu Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga Barang juga telah ditubuhkan dengan dipengerusikan sendiri Timbalan Perdana Menteri. Sememangnya, langkah-langkah ini membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan program yang bakal digubal serta dilaksanakan akan benar-benar mampu membantu rakyat. Selain itu, kerajaan akan meneruskan dasar memberi subsidi secara langsung atau tidak langsung. Ini terutamanya, subsidi bahan makanan yang terpilih seperti beras, minyak masak, tepung gandum dan gula. Begitu juga bahan bakar seperti Petrol RON95, Diesel dan LPG serta perkhidmatan kesihatan dan pendidikan. Akan tetapi, kita berhasrat melakukannya dengan lebih cermat dan bijaksana tanpa menjejaskan kesihatan fiskal negara dengan mendukung prinsip bahawa mereka yang lebih memerlukan dan berkelayakan akan didahului serta diutamakan. Sehubungan itu, baru-baru ini saya telah mengumumkan beberapa inisiatif awal bagi membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung. Antaranya, Kedai Rakyat 1Malaysia di mana barang-barang keperluan berjenama 1Malaysia mampu dibeli dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran. Di klinik-klinik 1Malaysia pula rawatan asas boleh diperolehi dengan bayaran seringgit dan yang mutakhir melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau singkatannya Kar1sma sejumlah RM1.4 bilion akan diperuntukan kepada 500,000 warga emas, orang kelainan upaya, ibu tunggal serta balu polis atau tentera yang berkelayakan. Sesungguhnya, usaha kerajaan tidak terhenti sekadar itu sahaja. Selanjutnya, insya-Allah melalui Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada awal Oktober nanti, saya akan mengumumkan pula langkah-langkah susulan bersifat lebih komprehensif bagi menangani masalah yang memberi kesan kepada isi keluarga yang berpendapatan rendah dan pertengahan. Dalam syiar meriahnya perayaan dan besarnya jiwa kemerdekaan, saya menyeru kepada semua agar tidak sekali-kali melupakan pengorbanan, darah, keringat dan air mata bapa-bapa kita para pejuang kemerdekaan negara serta anggota pasukan keselamatan negara dari dahulu hingga sekarang. Beringatlah yakni semuanya tidak terjelma dengan berwenang-wenang ataupun kekal lestari jika bahtera keramat kemerdekaan Malaysia tercinta ini terbiar hanyut tidak dikemudi dengan tulus, tidak dihargai dan musnah tanpa dipelihara. Oleh yang demikian, kita dengan ini menolak dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang pernyataan dan usaha oleh mana-mana pihak yang ingin mempersenda atau memperlekeh pengorbanan mulia para wirawan dan wirawati negara serta keluarga mereka. Kita berasa kesal kerana mereka sebaliknya pula memperagungkan Parti Komunis Malaya yang anti Tuhan, anti agama dan anti Nasional. Jadi, di atas segala-galanya, bagi memastikan apa yang terlimpah dan tercurah ke atas kita dan bumi Malaysia kekal berkesinambungan, maka perpaduan nasional perlu terus dibajai dan diperkukuhkan. Mudah-mudahan jua atas keinsafan ini makin tersepuh dan menebal semangat patriotisme dan kecintaan yang kukuh kepada pertiwi di setiap nubari kita. Bertolak dari situ, pada hemah saya, dua sambutan yang bersesekali ini sewajarnya membawa makna dan pengertian yang mendalam tentang betapa besarnya kurniaan Ilahi kepada Malaysia yang makmur, bebas dari sebarang ketakutan dan kebimbangan terhadap keselamatan sama ada keselamatan diri kita mahupun keluarga di samping dapat meraikan hari-hari kebesaran sebegini dalam keadaan kecukupan dan kelimpahan. Kata orang dulu-dulu, sempena hari baik bulan baik ditambah pula hembusan Merdeka, kita buanglah yang keruh, kita ambil yang jernih. Di musim perayaan ini, marilah kita bersatu sebagai sebuah keluarga besar Malaysia supaya dapat menjadi contoh kerukunan hidup kepada seantero dunia. Lantas, sempena bulan yang mulia dan semangat sambutan Hari Kebangsaan ini, ayuhlah kita terus menyemarakkan tradisi murni kunjung mengunjung dan mengadakan rumah terbuka. Seperti yang sering dinyatakan, bukalah pintu rumah dan pintu hati seluasnya dengan menjemput rakan-rakan berlainan kaum, kepercayaan dan agama ke rumah masing-masing. Di sinilah tergubah dan terlukisnya sebuah citra Malaysia yang kita damba-dambakan. Akhir kata, saya dengan rasa kerendahan hati bagi pihak diri, isteri, anak-anak dan seisi keluarga mengambil kesempatan ini menyusun jari nan sepuluh memohon kemaafan zahir dan batin atas apa jua kesalahan mahupun kekhilafan yang dilakukan. Turut dihulurkan salam istimewa Hari Kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia dimana jua tuan-tuan dan puan-puan berada. Semoga Tuhan sentiasa merahmati kita semua. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah hil Hamd. Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Hari Kemerdekaan. |
Posted: Aidilfitri dan MerdekaTAN SRI ROZALI ISMAIL ialah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad BAGI rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, 31 Ogos tahun ini merupakan tarikh yang amat signifikan dan istimewa kerana berlakunya tiga peristiwa penting iaitu berakhirnya Ramadan, ketibaan 1 Syawal dan sambutan Hari Kemerdekaan negara. Ramadan amat ditunggu oleh umat Islam dengan rasa kesyukuran kerana bulan ini penuh dengan keberkatan manakala berakhirnya Ramadan meninggalkan rasa sedih kerana tempoh kurniaan dan ganjaran besar daripada Allah SWT telah sampai penghujungnya dan mungkin Ramadan kali ini merupakan yang terakhir bagi mereka. Kedatangan 1 Syawal pula sememangnya dinanti-nantikan umat Islam di seluruh dunia sebagai menandakan hari kemenangan setelah sebulan melawan hawa-nafsu dan godaan. Ketibaan bulan ini turut mengingatkan tentang sejarah kebangkitan Islam pada tahun 624 Masihi di mana buat pertama kalinya Nabi Muhammad SAW. bersama sahabat dan pengikut baginda meraikan Aidilfitri selepas mencapai kemenangan dalam Perang Badar. Peperangan tersebut amat bermakna dalam sejarah awal Islam sebagai titik permulaan perjuangan umat Islam menentang kafir Quraish di Mekah. Bagi kita umat Islam di Malaysia, Aidilfitri memberi makna lebih mendalam. 1 Syawal yang jatuh pada 31 Ogos juga memberi erti besar bukan sahaja kepada umat Islam tetapi rakyat keseluruhannya di mana ia turut dinanti bagi mengingati ulang tahun kemerdekaan negara. Dari sudut sejarah, kemerdekaan boleh dikaitkan dengan sistem perhambaan dan memerdekakan hamba yang menjadi fenomena zaman purba. Sistem hamba wujud dalam pelbagai budaya dan tamadun, seperti di Mesir, Yunani, Rom, Afrika dan negara- negara selatan Amerika di mana hamba tidak diberi sebarang hak kemanusiaan dan boleh diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh pemiliknya. Kedatangan Islam telah membantah sebarang penindasan terhadap hamba. Malah Islam menyamaratakan status manusia sama ada dari kalangan atasan, hamba, bangsa atau kaum. Islam menghapuskan sistem perhambaan dan menjadikan hamba itu merdeka sebagai insan di bumi Allah. Yang membezakan mereka adalah keimanan dan ketaqwaan mereka terhadap Yang Maha Esa. Bagi umat Islam di Malaysia, tiga peristiwa penting yang berlaku pada tarikh 31 Ogos tahun ini seharusnya memberi iktibar dan kesedaran untuk bermuhasabah semasa memperingati dan menyambut ketiga-tiga peristiwa tersebut. Adakah Ramadan tahun ini lebih baik daripada tahun lalu? Kita dituntut melakukan ibadah berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keikhlasan dan keimanan. Pada bulan ini setiap hela nafas menjadi tasbih, tidur menjadi ibadah, amalan diterima dan doa-doa diperkenankan tetapi persoalannya apakah kita telah mengambil kesempatan ini sebaik- baiknya dan menunaikan ibadah dengan penuh ketaqwaan dan keikhlasan. Dan adakah sambutan Aidilfitri tahun ini membawa apa-apa erti kepada rakyat dan negara - Tibanya 1 Syawal, seluruh umat Islam di dunia menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Aidilfitri melambangkan satu kejayaan. Ia melambangkan satu amanah dan mengajar kita supaya bersatu. Dengan kata lain, Aidilfitri memberi seribu erti kepada umat Islam. Umat Islam di negara ini dituntut untuk memupuk perpaduan sesama mereka sewaktu merayakan hari kemenangan ini dengan menziarahi bukan hanya saudara-mara tetapi sahabat handai sambil bermaaf-maafan. Sudah menjadi kelaziman dan budaya kita Aidilfitri turut disambut oleh kaum lain di negara ini sebagai tanda muhibbah dan rasa hormat terhadap rakan yang beragama Islam. Semangat setiakawan inilah yang menjadi asas kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara yang kita kecapi sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Asas kukuh ini menjadi paksi dan jaminan bukan sahaja kepada kesejahteraan dan keselamatan negara tetapi kemajuan serta dan pertumbuhan ekonomi sejak 1957. Pelbagai program dan rancangan diperkenalkan oleh kerajaan sejak pemerintahan Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, bagi memajukan negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat sehinggalah ke hari ini dimana pelan tindakan ekonomi seperti Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Kerajaan dan Ekonomi dilaksanakan bagi tujuan tersebut. Tidak ketinggalan, program dan rancangan menyatupadukan rakyat negara ini seperti Konsep 1Malaysia. Apakah erti kemerdekaan sebenarnya? Bermula dengan era Dol Said, Datuk Maharajela Lela hinggalah sampai ke tangan Tunku Abdul Rahman, akhirnya, dengan rahmat Allah, Tanah Melayu dimerdekakan dalam suasana penuh aman tanpa sedikit pertumpahan darah berlaku. Sudah 54 tahun negara kita mengecapi kemerdekaan, namun persoalannya, adakah kita sudah benar-benar merdeka? Dalam erti kata lain, merdekakah kita? Kemerdekaan sebuah negara adalah nikmat terbesar kurniaan Allah yang bukan semua manusia dapat merasainya. Berapa ramai umat dan bangsa yang mendiami dunia ini sejak dari dulu hingga sekarang, tidak berhenti-henti berjuang hanyalah untuk mencapai sesuatu yang dinamakan kemerdekaan. Tetapi hingga kini, masih ramai di kalangan bangsa yang masih belum kenal erti kemerdekaan. Kehidupan mereka zahir dan batin terbelenggu dalam penjajahan. Segala-galanya disekat dan dijajah termasuklah kehidupan untuk beragama. Adalah menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Kemerdekaan adalah sebuah perjalanan yang panjang, berliku dan tak berpenghujung. Akan tetapi, sesuatu bangsa akan berjaya jika ia gigih menempuh ranjau, bijak menawan selekoh, tahan meredah cuaca dan matang menerjang lumpur. Kita perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah, kita telah sama-sama melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar kita saling menikmati erti kemerdekaan, aidilfitri dan semangat persaudaraan. Kita sudah melangkah ke era pembangunan yang pesat. Disebabkan oleh industrialisasi, globalisasi dan peluang-peluang pekerjaan, ramai antara kita yang berhijrah ke bandar besar untuk mencari rezeki. Akibatnya, tidak ramai yang masih tinggal di kampung untuk meneruskan tradisi ibu bapa dan datuk nenek kita. Hubungan persaudaraan antara kita semakin jauh dan renggang disebabkan oleh perbezaan pendapat, prinsip dan status. Kurangnya interaksi menyebabkan sikap kita turut berubah dan kurangnya perasaan hormat-menghormati serta semangat kekeluargaan di zaman yang serba moden ini. Akan tetapi saya percaya, kita masih ada harapan mengubah keadaan ini kepada ikatan persaudaraan dan perpaduan lebih erat di kalangan kita. Di Malaysia, penduduk bumiputera mencapai pembangunan yang pesat daripada Dasar Ekonomi Baru. Taraf hidup dan tahap pendapatan kita telah meningkat. Anak-anak kita ramai yang menjadi ahli-ahli professional dan usahawan berjaya. Bagaimanapun, saya bimbang dengan tren perubahan sekarang ini. Orang Melayu dan bumiputera semakin sibuk dan kurang berinteraksi. Kita tidak bersatu, malah kita semakin mementingkan kebendaan dan diri sendiri. Jika kita imbau era pra-merdeka, kita menginsafi keperitan hidup nenek-moyang kita semasa penjajahan. Perjuangan dalam 'controlled economy' yang ditadbir oleh penjajah, kita menjadi hamba kepada orang lain di tanah air kita sendiri. Mereka maju dan makmur dengan menjalankan perniagaan dan mengaut kekayaan melalui sumber-sumber asli di negara ini tetapi orang Melayu tetap menjadi penghuni yang miskin. Perdagangan di pelabuhan Tanah Melayu berkembang maju tetapi kita hanyalah kuli dan petani miskin. Kehidupan ketika itu sangat daif dan masyarakat hidup dalam kemiskinan dan kepayahan. Selepas perjuangan dan pengorbanan yang lama, akhirnya kita mengecapi kemerdekaan dan bebas daripada 'diperhambakan' oleh penjajah. Tetapi kedaulatan bukan hanya setakat dibebaskan. Ia bermakna bebas berfikir dan bertindak dan keadilan without fear and favor. Walaupun kita maju dan moden tetapi ancaman perhambaan masih wujud. Globalisasi merupakan perhambaan bentuk baru bagi negara-negara membangun yang ingin keluar daripada 'perangkap ekonomi berpendapatan sederhana'. Malaysia tidak terkecuali. Dengan menjadikan ekonomi kita bergantung kepada perdagangan dan pelaburan negara maju, kita sebenarnya dipaksa tunduk kepada kuasa lain. Misalnya, negara maju boleh mengenakan sekatan tarif dan bukan- tarif ke atas barangan eksport kita. Mereka juga boleh bertindak memindah keluar pelaburan mereka di negara ini ke negara lain. Akibatnya, ekonomi negara kita akan terjejas dan rakyat menjadi miskin. Ketika Malaysia sedang berada di persimpangan transformasi ekonomi, kita perlu sensitif kepada cabaran yang bakal melanda ekonomi kita dan merangka dasar-dasar bagi mengimbangi kesan globalisasi, liberalisasi, regionalisasi dan dunia digital. Kita tidak boleh bertindak bersendirian tetapi secara kolektif. Namun usaha perlu dilakukan, kalau tidak saya khuatir kita akan kembali kepada keadaan di mana kita akan tunduk kepada kuasa lain! Marilah kita mulakan 1 Syawal ini dengan satu tekad untuk bersatu dan mengeratkan tali persaudaraan kita sebagai satu ummah sebagaimana dituntut Islam. Salam Aidil Fitri dan Selamat Hari Merdeka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan