Kosmo Online - Rencana Utama |
Pelancong asing sertai ziarah kampung Posted: Pelancong asing sertai ziarah kampungOleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
KESYAHDUAN takbir raya memecah keheningan pagi Syawal di sebuah kampung terpencil di perairan Pahang. Ternyata alunan itu adalah petanda bagi umat Islam di situ meraikan kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa. Sebagai hentian paling utara di Pulau Tioman, Kampung Salang sangat dekat di hati para pelancong luar negara dan tempatan. Kewujudannya menyingkap pelbagai elemen percutian tropika dan penghayatan khazanah alam semula jadi. Ditambah dengan kemeriahan restoran barbeku malam di pantainya dan kemesraan penduduk tempatan, tidak hairanlah Kampung Salang menjadi antara destinasi yang wajib dikunjungi di pulau peranginan itu. Bulan Syawal bukan sahaja membuka pintu rezeki kepada penduduk tempatan lantaran kedatangannya seiring dengan musim kunjungan pelancong. Lebih daripada itu, sambutan Aidilfitri di kampung tersebut memberi peluang kepada komuniti tempatan meneruskan tradisi mereka. Sejak turun-temurun, orang kampung di situ tidak kira lapisan usia berbangga dengan satu kelaziman. Sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah peluang terbaik buat mereka berziarah dan merapatkan hubungan antara satu sama lain. PENDUDUK Kampung Salang, Pulau Tioman berjalan beramai-ramai untuk menziarahi setiap kediaman keluarga di kampung itu. Daripada anak kecil hinggalah warga tua, mereka lengkap merias diri dengan pakaian tradisional. Manis dan segak berbaju kurung serta berbaju Melayu, sebuah demi sebuah rumah dikunjungi selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di surau Kampung Salang. Pelancong turut serta Sambil berjalan beramai-ramai bak rombongan kahwin, terdapat juga pelancong-pelancong asing yang mengambil kesempatan untuk merasai pengalaman suasana hari raya. Bukan sekadar kunjung-mengunjung dan bersalam dari rumah ke rumah, para pelancong yang mesra budaya itu juga berminat untuk merasai pelbagai juadah tradisi lebaran bersama penduduk tempatan. Ketua Kampung Salang, Abdul Kadir Harun, 72, memberitahu, amalan ziarah-menziarahi dari rumah ke rumah ketika Aidilfitri sudah menjadi tradisi Kampung Salang sejak zaman dahulu. Kelebihan mereka sebagai penduduk pulau yang muafakat membolehkan tradisi itu dihidupkan tanpa meminggirkan mana-mana keluarga sekalipun. "Seingat saya, sejak saya kecil lagi ia telah dijadikan amalan penduduk. Jadi, kita menyambung kesinambungan tradisi yang telah menjadi ikutan sejak dahulu. "Satu Syawal merupakan hari yang sangat istimewa bagi penduduk kampung ini. Sehari suntuk kami akan berjalan dalam kawasan kampung sebab kami akan pastikan dapat melawati kesemua 30 buah rumah yang terdapat di kampung ini," katanya yang memberitahu populasi Kampung Salang ialah seramai kira-kira 279 orang penduduk. MEG DU TREVOR (kiri) dari Afrika Selatan dan Kitty Williams dari Britain mencuba ketupat pulut bersama kari ayam. untuk meraikan tarikh 1 Syawal."> Tambahnya, mereka terlebih dahulu akan berbincang di surau mengenai rumah pertama dan gerak laluan dalam acara ziarah-menziarahi itu. Selalunya, lawatan dimulakan selepas sembahyang sunat hari raya hinggalah waktu petang iaitu sehingga ke rumah terakhir. Kekenyangan Pelbagai telatah dapat dilihat dalam kemeriahan suasana tersebut terutamanya para pelancong asing yang sama-sama ingin menyertai 'perarakan' kecil itu. Uniknya, kerana berlatarbelakangkan gaya hidup pulau, para pelancong yang menjadi tetamu di rumah-rumah orang kampung dilihat berpakaian santai – yang lelaki berseluar pendek atau bersinglet dan berlilit tuala manakala wanita pula ada yang berpakaian mandi namun bertutup pario atau kardigan kerana menghormati tuan rumah. Dalam pada itu, Abdul Hashim Maulana, 52, berkata, dia sangat tertarik dengan gelagat para pelancong luar negara yang mengikuti rombongan hari raya itu. "Kebiasaannya, mereka akan menikmati juadah hari raya sepuas hati di tiga buah rumah pertama. Selepas itu, mereka akan 'menyerah kalah' kerana kekenyangan. "Ada juga antara mereka bertanya bagaimana kami dapat menghabiskan ziarah ke semua rumah tanpa berasa terlalu kenyang," katanya yang membuka 'rahsia' orang kampung yang hanya menjamah sedikit makanan di setiap rumah. Abdul Hashim yang turut mengusahakan calet Ella's Place menjelaskan, terdapat juga para pelancong luar negara yang kembali pada tahun berikutnya semata-mata untuk merasai lagi suasana Hari Raya Aidilfitri di Kampung Salang. Isterinya Raha Madali, 42, yang berasal dari Chini, Pahang memberitahu, mereka tidak mengadakan gotong-royong memasak juadah sewaktu hari raya. "Sebaliknya, kami memasak mengikut cita rasa masing-masing di rumah sendiri pada malam raya. Anak-anak tentu sekali akan membantu memasak sehingga membuatkan malam raya lebih bermakna dan penuh kemesraan," kata ibu kepada lapan orang anak itu. Bagaimanapun, Raha menambah, juadah wajib yang perlu ada sewaktu hari raya adalah ketupat pulut. Ia enak dimakan bersama kari ayam, rendang daging, sambal dan sebagainya mengikut cita rasa penduduk. Kalau daun kelapa mudah diperoleh di sekitar pulau untuk dijadikan sarung ketupat, bahan-bahan mentah lain seperti daging dan rempah pula di dapatkan daripada bekalan yang dibawa masuk ke pulau menaiki bot kargo dari Mersing, Johor. Kenduri besar Dengan riak wajah memancar keriangan, seorang penduduk kampung, Jariah Ahmad, 67, berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri seumpama kenduri besar di Kampung Salang. Dia yang lebih mesra dengan panggilan Mak Long, memberitahu, kepulangan anak-anak dari tanah besar Semenanjung dan perantauan termasuk pelancong-pelancong sememangnya 'menghidupkan' suasana raya di pulau. "Secara tidak langsung, orang tempatan telah membudayakan Hari Raya Aidilfitri untuk dijadikan pengalaman berharga buat para pelancong luar negara," katanya yang tidak pernah meninggalkan kampung berkenaan pada 1 Syawal. Jariah yang gemar membuat kek turut memberitahu, terdapat pelbagai juadah lain akan dimasak penduduk tempatan pada pagi raya seperti laksa, nasi impit dan mi goreng. JARIAH (kiri) sedang sibuk melayan pelanggan di gerai jualannya. Dia yang gemar membuat kek tidak pernah meninggalkan Pulau Tioman Sementara itu, bapa Hashim, Maulana Harun, 83, yang merupakan antara orang tertua di Kampung Salang menyatakan kegembiraannya menjelang Syawal. Baginya, tiada yang lebih bermakna dalam suasana raya di pulau itu selain menerima kepulangan semua anak dan cucunya ke kampung yang tenang itu. Maulana yang mempunyai 10 orang anak dan 44 orang cucu sentiasa menanti kehadiran hari raya kerana ia dapat mengumpulkan hampir kesemua waris penduduk di Kampung Salang. Bagi seorang mekanik di sebuah pusat selam skuba, Jeami Jamal, 33, dia merasai perbezaan ketara apabila menyambut raya di Pulau Tioman. "Sebelum ini saya menetap di Mersing, Johor tetapi telah berpindah ke sini beberapa tahun lalu kerana keluarga mempunyai tanah di Kampung Salang. "Kemeriahan dan keakraban antara penduduk lebih terasa apabila menyambut raya di kampung ini," katanya yang mempunyai empat orang cahaya mata. Ujar Jeami yang telah menetap di kampung berkenaan selama hampir 15 tahun, kebanyakan penduduk kampung akan berhari raya di kampung-kampung sekitar Pulau Tioman pada hari kedua. Katanya, jika ada yang mempunyai kampung di luar kawasan Pulau Tioman mereka akan keluar berhari raya pada hari ketiga dan seterusnya. "Bagi sesiapa yang mahu merasai keunikan suasana menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kampung Salang, mereka perlu berkunjung sendiri ke kampung ini," ujarnya. | |
Posted: Pasar Jawa hab kerepekOleh NIZHA PERIASWAMY KEREPEK bawang yang rangup dan enak adalah antara snek tradisi popular di Pasar Jawa, Klang. WALAUPUN bukan satu pilihan makanan utama untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri, Pasar Jawa yang terkenal di bandar Klang sibuk dengan pelanggan yang bertandang untuk membeli kerepek-kerepek terbaik di negeri Selangor. Setiap kali menjelang Ramadan, Nor Aini Razali, 43, dari Subang Jaya tidak ketinggalan mengunjungi pasar tersebut. Katanya, pasar itu menawarkan pilihan kerepek-kerepek yang sedap dan murah. Tidak terkecuali, ia menawarkan pilihan biskut raya yang pelbagai. "Saya biasa datang jika ada kenduri, majlis di rumah dan menjelang raya. Saya rasa di sini adalah antara tempat untuk mendapatkan kerepek yang terbaik," ujar Aini. Nor Aini ialah salah seorang pelanggan yang dilihat sibuk membuat pilihan berbelanja beberapa jenis kerepek menjelang Aidilfitri. "Saya berbelanja kira-kira RM100 untuk membeli kerepek dan biskut," katanya. Pasar Jawa yang dikenali sebagai 'syurga kerepek' itu terletak bersebelahan Masjid Diraja Bandar Klang Utara dekat Jalan Pasar dan ia menempatkan gerai-gerai jualan pelbagai barangan keperluan keluarga Melayu khususnya. Umumnya, pada malam sebelum Hari Raya Aidilfitri, kawasan tersebut sesak dengan pelanggan yang datang berkenderaan dari daerah Klang, Banting, Kuala Selangor, Shah Alam, Subang malah Kuala Lumpur. Lazimnya, kesesakan itu berpunca daripada amalan mereka yang gemar membeli-belah pada saat akhir. "Menjelang hari raya, kami terpaksa tidur di sini untuk menguruskan perniagaan. Ia seolah-olah satu tradisi di Pasar Jawa," ujar penggerai No. 6, Kedai Mat Amin di Pasar Jawa, Hafiz Mad Amin, 22. PELANGGAN boleh memilih pelbagai jenis kerepek yang dibungkus dalam pek berlainan saiz dan berat. Beliau yang berniaga bersama bapa dan adik-beradik memberitahu, pasar tersebut ialah lokasi yang terkenal bagi mendapatkan kerepek yang banyak didatangkan daripada industri pembuatan kerepek di Banting dan Sungai Besar, Selangor. Paling laris "Selain itu, kami juga ada menjual kerepek yang dibawa dari Kuala Selangor, Johor dan Indonesia, khususnya kerepek yang belum digoreng. "Di sini, kerepek yang paling laris ialah kerepek ubi dan pisang tanduk. Ia mungkin kerana rasanya yang sedap dan mudah diperoleh," ujar Hafiz. Di samping itu, Kedai Mat Amin turut dikenali kerana menjual kerepek ikan dari Terengganu. Bapa Hafiz, Mad Amin Maulan memberitahu, lazimnya pelanggan akan datang membeli secara borong di situ. "Bagi perniagaan borong, kami menyediakan pembungkusan daripada 3 kilogram (kg) dan 5kg ke atas. Bagi pembelian runcit biasa, kami menyediakan pembungkusan setengah dan satu kilogram," katanya. Seorang lagi peniaga di Pasar Jawa iaitu Mohd. Saleh Masran, 38, dan isterinya, Jamalizwati Mat Shukor, 31, mengakui perniagaan menjelang hari raya bertambah hampir dua kali ganda. Jika pada hari biasa mereka berniaga dari pukul 9 pagi hingga 7 malam, pada bulan Ramadan pula waktu perniagaan terpaksa dipanjangkan. "Dua atau tiga hari sebelum Hari Raya, kami terpaksa berniaga lebih lama," ujar mereka. Berniaga sejak 1973, Saleh memberitahu, Pasar Jawa begitu sinonim sebagai pusat sehenti untuk pembelian kerepek di Selangor. Dalam kalangan pembeli, pembelian kerepek ibarat satu kemestian memandangkan ia lebih diminati sebagai snek sepanjang masa berbanding biskut raya yang rata-ratanya manis. "Setiap kali saya datang membeli kerepek pada musim raya, saya akan membelanjakan kira-kira RM300. "Biasanya kerepek menjadi pemberian sewaktu melawat rumah mertua, sanak saudara dan kawan-kawan sepanjang Syawal. Kerepek wajib beli ialah kerepek ubi dan muruku," kata seorang pembeli, Siti Zulaiha Sulaiman, 26, dari Klang. | |
Posted: Tart Nur Kasih AzalizaOleh ALIF ABU BAKAR HARI lebaran tidak akan lengkap dengan kuih-muih yang sentiasa memenuhi balang-balang yang diletakkan atas meja bagi menjamu tetamu yang bertandang. Jika dahulu, kuih-kuih tradisional seperti baulu, batang buruk dan dodol menjadi pilihan ramai, tetapi kini trend tersebut perlahan-lahan dimonopoli kuih dan biskut raya lebih moden. Sesuai dengan peredaran zaman, kuih raya seperti tart nenas, cornflake madu, almond London dan lain-lain semakin mendapat tempat di hati orang ramai. Menambahkan kelainan pada biskut raya moden, seorang pengusaha kek dan biskut, Norazaliza Awang, 35, tampil dengan resipi yang menarik dan kreatif. "Saya cuba menghasilkan kuih dan biskut raya yang tidak pernah dihasilkan orang lain, ia mungkin kelihatan sama cuma saya mengubahsuai kuih tersebut dengan adunan bahan-bahan baharu. "Kuih dan biskut raya perlu kelihatan cantik, namun rasa serta kualitinya tetap menjadi keutamaan kerana pandangan orang terhadap kuih yang cantik selalunya negatif. "Jadi saya cuba membuang tanggapan tersebut dan memastikan kuih yang cantik itu juga mempunyai rasa yang sedap," jelasnya yang mendedahkan tidak pernah membeli kuih raya untuk sambutan Aidilfitri keluarganya. Tart nanas Antara resipi baharu Azaliza tahun ini ialah tart nanas yang diberi nama Nur Kasih, yang diilhamkan daripada drama popular TV3 lakonan Tiz Zaqyah dan Remy Ishak satu ketika dahulu. Kelainan Nur Kasih terletak kepada proses penghasilannya. Masa yang diambil bagi membuat Nur Kasih lebih lama daripada tart nanas biasa dan menariknya ia menggunakan serbuk badam sebagai bahan asas. Doh yang disediakan juga berbeza kerana bahagian bawah tart nanas Nur Kasih yang dijual pada harga RM40 satu balang yang mengandungi 50 biji itu perlu dicetak terlebih dahulu sebelum inti nanas diratakan. Keistimewaan Nur Kasih sudah semestinya terletak pada tampuk bunga yang dibuat dalam acuan berbeza. "Selain itu, biasanya orang akan membuat biskut chocolate chip, tetapi saya cuba menghasilkan biskut yang lebih unik yang mengandungi lima jenis kacang. "Biskut nip & chip saya mengandungi kacang gajus, pis, hazel, badam dan walnut dan disediakan dengan dua jenis coklat iaitu coklat putih atau pun campuran coklat hitam dan putih," ujarnya yang menjual biskut tersebut pada harga dan kuantiti seperti tart nenas Nur Kasih. Antara lain yang menjadi tarikan pelanggan Azaliza ialah biskut pistachio crips yang dibuat dengan bahan-bahan seperti kacang pistasio, nestum, serbuk gajus, bijan dan sedikit pewarna. Mereka yang menggemari biskut almond seharusnya mencuba biskut coklat almond Azaliza kerana saiz serta cara persembahan biskut itu jelas tidak sama dengan biskut yang ada di pasaran. Bagi memenuhi permintaan, wanita yang berasal dari Triang, Pahang itu juga mengambil tempahan kuih dan biskut raya biasa seperti tart gulung, suji badam, popia nestum dan almond london. Tahun lalu sahaja, Azaliza telah menghasilkan 12 jenis kuih dan biskut raya di samping meneruskan tempahan kek yang menjadi profesion utamanya. Azaliza merupakan pemenang Zon Tengah kategori kek bagi Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan