Ahad, 28 Ogos 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tolak baju baru

Posted: 27 Aug 2011 07:42 AM PDT

KUALA TERENGGANU: "Arwah berpesan kepada isterinya supaya tidak membelikannya baju raya tahun ini walaupun mereka sekeluarga sentiasa berpakaian sedondon setiap kali menyambut hari lebaran.

"Namun, isterinya tetap menyediakan baju raya itu tanpa memaklumkan arwah dan siapa sangka pesanan itu adalah petanda arwah akan meninggalkan keluarganya beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri," kata Maznah Bakar, 43, kakak ipar kepada Sukri Awang, 38, anggota tentera yang maut dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi di Kampung Bukit Kolam, Hulu Terengganu, pagi kelmarin.


Dalam kejadian jam 7.50 pagi, Sukri yang duduk di sebelah kiri penumpang bahagian depan cedera parah di dada dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Hulu Terengganu manakala isterinya yang juga adik kepada Maznah, Norwani Bakar, 36, cedera di rusuk namun dirawat sebagai pesakit luar.

Selain itu, tiga anak pasangan berkenaan iaitu Mohd Amin, 6, yang cedera di rusuk dan Mohd Naim, lima bulan, yang mengalami pendarahan di kepala dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, manakala Mohd Amni, 3, yang cedera di muka ditempatkan di wad biasa HSNZ.


Ketika kemalangan, mereka yang menetap di Kem Tentera Iskandar, Johor Bahru dalam perjalanan pulang ke kampung Norwani di Bachok, Kelantan bagi menyambut Aidilfitri.


Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda Civic dipandu Norwani dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil terbabas ke sebelah kanan jalan lalu dilanggar sebuah kenderaan Honda Accord yang datang dari arah bertentangan.

Menurut Maznah, Norwani juga bersikap pelik apabila tidak memberitahu kepulangan mereka sekeluarga, sedangkan sebelum ini mereka biasanya memaklumkan perkara itu setiap kali pulang beraya di rumahnya di Kampung Alur Pilai, Jelawat, Bachok.


"Sebelum ini, saya tanya sama ada mereka akan pulang beraya tetapi Norwani memaklumkan tidak tahu kerana suaminya bekerja. Mungkin dia dan arwah suaminya merahsiakan kepulangan mereka kerana ingin membuat kejutan.

"Difahamkan, mereka bertolak daripada Kem Tentera Iskandar jam 12 tengah malam Khamis lalu. Jika saya tahu hal itu, pasti saya tidak membenarkan mereka pulang kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku," katanya yang ditemui di HSNZ di sini, semalam.


Maznah yang juga anak ketiga daripada lima beradik berkata, dia turut berasa tidak sedap hati pada hari kejadian dan segala perasaannya terjawab apabila menerima panggilan daripada Norwani memaklumkan dia dan keluarga terbabit kemalangan.


"Norwani menghubungi saya selepas kejadian itu sebelum panggilan terputus disebabkan telefonnya rosak. Namun ketika cuba menghubunginya semula, saya terdengar bunyi ambulans dan menyangka mereka sekeluarga hanya terbabit dalam kemalangan biasa.


"Walaupun masih terkejut dengan apa yang berlaku, saya reda, apatah lagi mengenangkan tragedi berlaku beberapa hari sebelum Aidilfitri," katanya.


Seorang rakan Sukri yang enggan dikenali memaklumkan, arwah sememangnya teruja untuk pulang beraya pada malam sebelum kejadian walaupun isterinya mencadangkan mereka pulang pada keesokan harinya.


"Arwah baru saja bertugas di kem ini selama tiga hari selepas dipindahkan dari Melaka. Dalam tempoh itu, arwah tidak pernah tinggal menunaikan solat sunat tarawih, cuma dia kelihatan tidak sabar-sabar untuk pulang berhari raya pada malam sebelum kejadian," katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, 153 kes kemalangan dilaporkan di negeri ini dalam tempoh empat hari Ops Sikap 24 dilancarkan sejak 23 Ogos lalu membabitkan lapan kemalangan maut dengan lapan kematian.

Lelaki disyaki dera anak tiri ditahan

Posted: 27 Aug 2011 07:40 AM PDT

HULU SELANGOR: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mendera anak tirinya berusia tiga tahun, menyebabkan mangsa kini terlantar di hospital akibat patah gigi dan lebam seluruh badan.

Sehingga kini, mangsa dilaporkan belum sedarkan diri selepas dihantar ke Hospital Sungai Buloh oleh ibunya, kelmarin.


Menurut sumber, doktor yang merawat mangsa mengesyaki dia didera berdasarkan kesan lebam baru dan lama di leher, telinga dan badannya, menyebabkan pengamal perubatan itu membuat laporan polis.

"Susulan laporan diterima, sepasukan anggota polis menyerbu rumah mangsa sebelum menahan seorang lelaki yang juga bapa tirinya di sebuah rumah di Bukit Sentosa bagi membantu siasatan," katanya.


Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai didera berulang kali sejak sebulan lalu selepas ibunya berkahwin dengan lelaki itu lebih setahun lalu.


Sumber itu berkata, ibu mangsa adalah warga Indonesia dan pernah berkahwin dengan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh sebelum pasangan itu bercerai.

"Polis akan mendapatkan keterangan lanjut daripada ibu mangsa bagi membantu siasatan kes itu, namun sehingga kini dia belum berbuat demikian," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, suspek kini direman empat hari mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 200.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan