Jumaat, 26 Ogos 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Selamat adik 2 tahun

Posted: 25 Aug 2011 12:42 PM PDT

KOTA BHARU: Tindakan pantas seorang kanak-kanak berusia lima tahun mengheret adik bongsunya keluar dari rumah, menyelamatkan mereka daripada terperangkap dalam kebakaran di Kampung Kubang Badak, Kedai Lalat, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Muah Hakimi Raja Azman mengheret adiknya, Mohd Yusof Azrik, 2, ke rumah datuk mereka, Solehah Mokhtar, 70, yang tinggal bersebelahan dalam keadaan menangis teresak-esak selepas dipercayai menyalakan bunga api menggunakan pemetik api sebelum membuangnya di atas tilam sehingga terbakar.


Ketika kejadian, dua beradik itu bersendirian di rumah kerana ibu mereka, Noraini Mohamad, 40, keluar bekerja manakala bapa, Raja Azman Raja Ibrahim, 46, ke sekolah berdekatan untuk menerima sumbangan zakat.

Raja Azman berkata, dia keluar rumah kira-kira jam 9 pagi dan meminta Muah Hakimi menemani adiknya yang masih tidur.


"Saya hanya menyedari rumah terbakar apabila pulang dan melihat anggota bomba sedang memadamkan api. Saya bergegas masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan dua anak saya itu.


"Bagaimanapun, saya diberitahu ayah, kedua-dua anak saya selamat dan tidak cedera," katanya.

Menurut Raja Razman yang mempunyai 10 anak berusia antara dua hingga 21 tahun, keluarganya bernasib baik kerana tindakan pantas orang ramai memadamkan api menggunakan air tangki, menyelamatkan sebahagian daripada rumahnya.


"Saya bersyukur dua anak selamat.

"Saya juga bernasib baik kerana kebakaran hanya membabitkan sebuah bilik, ruang tamu dan dapur. Turut terbakar buku sekolah anak dan peralatan elektrik," katanya.


Noraini yang bekerja sebagai tukang masak di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pula berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada jirannya kira-kira jam 10.30 pagi.


Katanya, dia keluar bekerja kira-kira jam 5.30 pagi dan dua anaknya itu ditinggalkan bersama suaminya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Wan Hassan Wan Idris berkata, tiga jentera dan 16 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.10 pagi.


"Bomba dapat mengawal kebakaran dalam tempoh 10 minit . "Siasatan mengenai punca kejadian masih dijalankan dan kerugian dianggarkan RM65,000," katanya.

Tahlil ganti rumah terbuka

Posted: 25 Aug 2011 12:41 PM PDT

KUANTAN: "Ketika orang lain sibuk mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri, kami mengadakan kenduri tahlil untuk arwah," kata Norbitah Arshad, 37, kakak Muhamad Nur Aiman, 16, yang terbunuh dalam kemalangan selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan motosikal lain di Jalan Kampung Kempadang, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, Muhamad Nur yang berasal dari Kampung Razali, di sini, dan Mohd Ridzuan Ismail, 21, dari Kampung Kempadang, maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala.


Rakan Mohd Ridzuan, Nurazzudin Shaudi, 15, dari Kampung Kempadang dan teman Muhamad Nur, Nur Hidayah Che Hassan, 14, dari Peramu Maju, di sini, masing-masing parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan.

Norbitah berkata, dia mendapat tahu kejadian itu melalui adiknya, Airumiha, 25, sebelum bergegas ke HTAA untuk melihat keadaan arwah.


Katanya, dalam perbualan itu, adiknya memberitahu arwah koma kerana terbabit dalam kemalangan sebelum panggilan terputus.


Bagaimanapun, adiknya menghubunginya kali kedua dan memberitahu Muhamad Nur sebenarnya meninggal dunia di tempat kejadian, menyebabkan dia terkejut dan sukar mempercayai.

"Kali terakhir menemui arwah pada minggu pertama Ramadan dan sempat berbuka puasa bersama-sama.


"Sebelum ini, banyak musibah berlaku terhadap arwah antaranya dia terlanggar ampaian ketika sedang berjalan, lebih banyak mendiamkan diri selain bergurau memberitahu tubuhnya sakit macam hendak mati," katanya ketika ditemui di HTAA, pagi semalam.

Katanya, arwah anak bongsu daripada 10 beradik dan berjanji dengan ahli keluarga untuk membeli baju Melayu hitam yang akan dipakai pada hari raya pertama selepas mendapat gaji bekerja sambilan di kantin Kolej Poly-Tech Mara, Jalan Gambang, di sini.


Menurutnya, dia tidak menyangka keinginan arwah tidak kesampaian namun tetap reda dan menerima takdir.


Bapa Mohd Ridzuan, Ismail Che Mat, 64, pula menyifatkan kejadian itu sebagai takdir Allah dan reda dengan pemergian anak bongsunya itu.


Katanya, ketika kejadian, arwah memaklumkan mahu keluar membeli rokok di sebuah kedai runcit dan dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu beberapa minit kemudian.


"Ini kali ketiga arwah terbabit dalam kemalangan. Sebelum ini, hanya kemalangan kecil tetapi kali ini dia pergi meninggalkan kami sekeluarga. Semua ini takdir Allah. Tiada apa yang boleh diceritakan lagi," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, siasatan awal mendapati, Mohd Ridzuan menunggang dari arah Tanjung Lumpur untuk ke Sungai Soi manakala Muhamad Nur pula datang dari Sungai Soi menuju ke arah Kampung Kempadang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan