Utusan Online - Dalam Negeri |
- Wanita pemangkin perpaduan – PM
- Setiap rakyat menyumbang kepada kemajuan
- Pendidikan Islam dimantapkan
Wanita pemangkin perpaduan – PM Posted: Wanita pemangkin perpaduan – PMOleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL NAJIB Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor bergambar bersama replika cek untuk Program Pencegahan Jenayah, Keselamatan Keluarga Tanggungjawab Kita (Sekata) pada sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2011 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali. KUALA LUMPUR 25 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, golongan wanita di negara ini memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada perpaduan serta rakan kongsi dalam proses transformasi negara. Kata Perdana Menteri, fitrah wanita yang penuh dengan sifat keprihatinan, kesabaran, kelembutan dan penuh empati menjadikan mereka sebagai insan yang layak menjadi ejen perpaduan. ''Kerana itu wanita perlu diberi ruang dan peluang yang besar termasuk dalam bidang ekonomi serta politik kerana sekiranya kita mahu menjadi sebuah negara maju, maka kita tidak boleh mengasingkan wanita sebagai modal insan," katanya. Beliau berucap pada sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Najib menambah, negara juga akan kehilangan 50 peratus daripada potensi kemajuan negara sekiranya wanita tidak diberikan peluang dan ruang yang adil untuk bergerak maju. Sebab itu, kata beliau, dasar 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar dan keputusan dalam sektor korporat yang dilancarkan Jun lalu bukanlah satu kuota, sebaliknya mencerminkan hasrat kerajaan untuk melihat golongan itu turut cemerlang dalam sektor berkenaan. ''Ia adalah sasaran yang boleh dicapai bukannya kerana kuota tetapi secara merit kerana wanita kita berkemampuan dan layak untuk berada di tahap itu," katanya. Dalam perkembangan lain, Najib berkata, kerajaan akan terus berusaha mencapai sasaran peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga buruh kepada 55 peratus pada 2015 berbanding 46.1 peratus ketika ini. Tambah beliau, penyertaan wanita sebagai tenaga buruh yang lebih besar merupakan satu proses berperingkat yang akhirnya boleh dicapai. |
Setiap rakyat menyumbang kepada kemajuan Posted: Setiap rakyat menyumbang kepada kemajuanKUALA LUMPUR 25 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setiap rakyat negara ini memainkan peranan yang seimbang dalam pembangunan negara serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi. Kata Perdana Menteri, perkara itu mungkin tidak disedari oleh kebanyakan daripada rakyat negara ini yang berpandangan pekerjaan mereka tidak setanding atau penting jika dibandingkan dengan pemimpin korporat. ''Sedangkan anda perlu tahu, tidak kira dalam apa jua industri yang diceburi atau apa jenis pekerjaan dilakukan sekali pun, anda turut memberi impak kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara. ''Setiap daripada anda juga, tidak kira sama ada anda merupakan seorang eksekutif korporat, pemandu teksi, guru, pelajar, petani, peniaga atau pekerja pembersihan, penglibatan anda sangat penting dalam mekanisme sosioekonomi kompleks yang akan memacu negara ini ke depan," katanya. Beliau berkata demikian dalam entri terbaru bertajuk 'Being Malaysian' menerusi laman blog beliau di http://www.1malaysia.com.my, hari ini. Najib menambah, rakyat negara ini mewarisi kemerdekaan dan kekayaan hasil perjuangan rakyat terdahulu dan bertanggungjawab untuk mempertahankannya. Justeru kata beliau, setiap rakyat seharusnya berbangga dengan pekerjaan dilakukan dalam erti kata melakukan yang terbaik dalam pekerjaan itu kerana ia akan memastikan kesinambungan kejayaan negara. Adalah mustahak juga, kata Najib, untuk rasa bangga itu disertai dengan semangat dan keazaman melakukan yang terbaik dalam pekerjaan dilakukan. ''Ia bukanlah satu pekerjaan yang kita lakukan untuk mendapat ganjaran di hujung bulan semata-mata. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada perjuangan patriotik untuk membawa negara ini mencapai kejayaan yang besar," katanya. Najib turut menekankan bahawa bukanlah tanggungjawab pemimpin politik dan ekonomi semata-mata untuk membawa negara ini maju. Sebaliknya kata beliau, ia merupakan peranan setiap rakyat Malaysia untuk meyakini bahawa mereka juga memainkan peranan seperti kumpulan di barisan hadapan. |
Posted: Pendidikan Islam dimantapkanOleh KAMIL MASLIH MUHYIDDIN Yassin menyampaikan duit raya kepada golongan kurang berkemampuan sumbangan UDA Holdings Berhad di Surau Saadi'ah Hj. Mohd. Yassin di Muar, Johor, semalam. Turut kelihatan Nur Jazlan Mohamed (tengah). MUAR 25 Ogos – Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan kurikulum baru Pendidikan Islam dengan menerapkan Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) dalam subjek tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas dengan Bahagian Pendidikan Islam bagi memantapkan lagi mata pelajaran berkenaan. "Ini adalah perkara yang akan kita laksanakan tidak lama lagi kerana dikatakan kita masih kurang guru j-QAF di seluruh negara, sedangkan kita memiliki ramai guru Pendidikan Islam dan guru itu layak untuk mengajar anak-anak kita dalam soal berkaitan jawi, agama Islam dan al-Quran menerusi j-QAF," katanya. Beliau berucap pada Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa di Surau Sa'adiah Hj. Mohd. Yassin di Jalan Bakri di sini hari ini. Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat serta ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh. Pada majlis tersebut, Muhyiddin menerima zakat daripada UDA Holdings sebanyak RM150,000 untuk Yayasan Nurul Yaqeen serta RM20,000 lagi untuk Surau Sa'diah. Pada majlis itu, UDA Holdings turut meraikan 200 golongan kurang berkemampuan yang terdiri daripada fakir miskin. Menurut Muhyiddin, tumpuan kerajaan adalah memastikan bidang pelajaran yang turut merangkumi pendidikan agama Islam dapat diperluaskan. "Pendidikan adalah suatu yang sejagat dan tiada perbezaan antara miskin atau kaya. Dalam sistem pendidikan kita, sekolah adalah untuk semua, kita tentukan mereka mesti ke sekolah, tiada yang tertinggal, tiada yang terkecuali," katanya. Sehubungan itu, kata Muhyiddin, kementeriannya akan memantapkan lagi pendidikan di peringkat prasekolah agar semua kanak-kanak berpeluang mengikuti pendidikan pada usia muda dan kerajaan juga bersedia mengeluarkan peruntukan agar lebih banyak prasekolah dapat dibuka. "Selain memberi modal RM10,000 untuk membuka prasekolah, hari ini saya buat keputusan, mana-mana pihak yang hendak memperluaskan lagi prasekolah yang sedia ada, kita boleh menambah peruntukan, tapi pokoknya kena tambah bilangan pelajar. "Hari ini, lebih setengah juta anak-anak kita sudah pun melalui pendidikan prasekolah tapi ada beberapa ratus ribu lagi yang tidak dapat kerana tiada kemudahan dan mereka ini di kawasan pedalaman, pinggir bandar, rumah pangsa dan rumah setinggan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan