Isnin, 29 Ogos 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Mantai dipromosi seluruh negara

Posted:

Mantai dipromosi seluruh negara

Mantai dipromosi seluruh negara

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my


Mohamad Hasan melapah daging lembu ketika melawat gerai menjual daging segar pada Mantai Perdana 2011 di Seremban, semalam.


SEREMBAN 28 Ogos – Program Mantai Perdana Aidilfitri 2011 bukan sahaja akan dijadikan acara tahunan yang hanya diketahui masyarakat di negeri ini semata-mata, tetapi bakal dipromosikan ke seluruh negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, melihat pada keberkesanan dan maklum balas orang ramai yang begitu memberangsangkan, program itu akan dijadikan pusat sehenti bagi menemukan pembeli, penternak, peladang dan petani dalam urusan jual beli produk.

Malah katanya, langkah itu sebagai cara memudahkan pembeli untuk mendapatkan bekalan daging dan tani di satu tempat tanpa perlu ke bandar atau pasar menjelang musim perayaan pada kadar harga yang lebih murah.

''Kita melihat program itu semakin berjaya setelah beberapa kali diadakan sebelum ini. Kita belajar daripada apa yang telah berlaku dan mahu menjadikan ia sebagai acara tahunan setiap kali menjelang perayaan Aidilfitri," katanya kepada pemberita selepas melawat jualan daging dan tani di tapak bekas kem Paroi di sini, hari ini.

Turut sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat.

Program itu dianjurkan bersama kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Lembaga Pelancongan negeri dan Jabatan Pertanian negeri melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Mohamad berkata, beliau dimaklumkan harga jualan yang lebih rendah di pasar berkenaan menyebabkan ia semakin dikenali seperti harga sekilo daging lembu dijual RM18 dan ayam pula RM7 sekilogram.

Menurutnya, pada Mantai Perdana itu, kerajaan menyediakan sebanyak 100 ekor lembu, 20 ekor kerbau, 50 ekor kambing, 2,000 ekor ayam daging, 2,000 ekor ayam telur daging, 2,000 ekor puyuh dan beberapa ekor itik dan rusa untuk dijual kepada orang ramai.

Kukuh perpaduan elak Islam hancur - KM

Posted:

Kukuh perpaduan elak Islam hancur - KM

Kukuh perpaduan elak Islam hancur - KM

MELAKA 28 Ogos - Umat Islam di negeri ini diseru memperkukuhkan perpaduan dan mengelak daripada berpecah-belah kerana kelemahan itu akan digunakan oleh musuh untuk menghancurkan kesucian agama Islam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dalam perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan sambutan kemerdekaan berkata, benteng terbaik umat Islam ialah memperbaiki hubungan dingin, bertoleransi dan mengekalkan keamanan.

Menurutnya, hanya dengan cara itu agama Islam akan terus terpelihara daripada diancam oleh musuh-musuh yang ingin melihat umat Islam bersengketa sesama sendiri.

''Sambutan 1 Syawal menandakan kejayaan besar umat Islam bukan sahaja di negeri ini tetapi juga di seluruh dunia selepas menghadapi cabaran dan dugaan sepanjang menunaikan ibadah puasa.

''Sudah tentu kedatangan Syawal akan meningkatkan keyakinan dan kesungguhan kita untuk meneruskan lagi kemenangan bagi memastikan kita sebagai umat Islam akan terus cemerlang," katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Ali meminta seluruh rakyat menggunakan Aidilfitri untuk berbaik-baik sesama sendiri selain menghapuskan prasangka dan kebencian yang wujud.

Di samping itu, katanya, umat Islam juga harus menjadi pembawa obor perpaduan dan kemajuan kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau menambah, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini amat bermakna kerana seluruh rakyat menyambutnya serentak dengan hari kemerdekaan negara yang ke-54.

Katanya, dua sambutan serentak itu sudah tentu dapat mempertingkatkan iltizam untuk menjadi warganegara yang berjaya di samping mengekalkan perpaduan serta toleransi sesama kaum di negara ini.

''Kita perlu ingat, kemerdekaan bukan bermakna membebaskan diri daripada belenggu penjajah tetapi lebih penting adalah bagaimana kita mengisi ruang kemerdekaan,'' ujarnya.

Kemalangan maut di Melaka catat penurunan tiga peratus

Posted:

Kemalangan maut di Melaka catat penurunan tiga peratus

Kemalangan maut di Melaka catat penurunan tiga peratus

MELAKA 28 Ogos - Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Julai lalu mencatatkan penurunan sebanyak tiga peratus dengan 141 kematian berbanding 146 pada tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ab. Karim Sulaiman berkata, jumlah kes kemalangan maut juga turut menurun daripada 134 kes dari Januari hingga Julai tahun lalu kepada 132 kes bagi tempoh yang sama tahun ini.

Menurutnya, bagi mangsa yang mengalami kecederaan parah juga menunjukkan penurunan sebanyak 10 peratus iaitu 91 orang bagi tempoh tujuh bulan tahun lalu kepada 82 orang untuk tempoh yang sama tahun ini.

"Bagaimanapun, jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya meningkat sebanyak 211 kes atau 2.5 peratus iaitu sebanyak 8,203 kemalangan yang dicatatkan sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun lalu kepada 8,414 kes tahun ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Kempen Selamat Balik Kampung sempena Aidilfitri dan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Plaza Tol Ayer Keroh di sini, hari ini.

Kempen tersebut adalah anjuran bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Plus Ekspressway Berhad (Plus).

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasan Rahman dan Pengarah JKJR negeri, Norazle Sulaiman.

Ab. Karim berkata, mangsa teramai yang terlibat ialah penunggang dan pembonceng motosikal membabitkan 92 daripada 141 kematian yang dicatatkan.

Beliau mengingatkan kepada golongan tersebut agar lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan