Sabtu, 27 Ogos 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Mat Sabu hina pejuang negara

Posted:

Mat Sabu hina pejuang negara

Mat Sabu hina pejuang negara

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my


Mohamad Sabu ketika berucap pada Ceramah Perdana Pas di Padang Menora Tasek Gelugor, Seberang Perai, Pulau Pinang, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 26 Ogos – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mencetuskan kontroversi baru apabila menganggap pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.

Menurutnya, Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.

Dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu, Mohamad turut mendakwa Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah pegawai British.

Beliau juga berikrar untuk mengubah semula sejarah kemerdekaan negara jika pembangkang berjaya merampas Putrajaya kerana dakwanya, sejarah yang tertulis pada hari ini tidak memaparkan fakta sebenar selain hanya memihak kepada UMNO.

"Dekat nak merdeka nanti, siarlah cerita mengenai Bukit Kepong. Bukit Kepong ini, polis yang mati itu polis British. Hat (yang) serang Bukit Kepong itulah pejuang kemerdekaan yang sebenar, yang serang Bukit Kepong itu Mat Indra (Muhammad Indera). Dia Melayu tapi semua sejarah itu ditutup.

"Jins Shamsudin (Tan Sri) buat filem, Jins Shamsudin itu orang UMNO. Cerita Bukit Kepong (yang dibuat Jins) hat serang itu pula penjahat, hero yang mempertahan balai polis. Padahal Mat Indera yang mengetuai operasi itu akhirnya dihukum gantung," katanya dalam ceramah itu.

Dalam tragedi berdarah Bukit Kepong yang bermula kira-kira pukul 5 pagi pada 23 Februari 1950, satu persatu anggota keselamatan dan ahli keluarga mereka gugur selepas diserang dari setiap sudut oleh 200 pengganas komunis, malah sebahagian daripada mangsa dicampak hidup-hidup ke dalam api.

Mohamad mendakwa semua sejarah negara adalah bohong apabila pegawai British diangkat sebagai pejuang kemerdekaan manakala yang melawan British menjadi penjahat.

"Semua sejarah negara kita bohong, pegawai British jadi pejuang kemerdekaan, lawan British jadi penjahat. Siapa pegawai British? Dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman itulah pegawai British. Tapi bila tiba bulan merdeka hanya mereka yang ditonjolkan. Kalau begitu UMNO seorang sajalah yang merdeka, betul tidak," tuduhnya.

Dana untuk syarikat bumiputera

Posted:

Dana untuk syarikat bumiputera

Dana untuk syarikat bumiputera

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan Dana Mudah Cara berjumlah RM2 bilion bagi kegunaan inisiatif-inisiatif Projek Permulaan (EPP) untuk syarikat bumiputera yang layak melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Teraju hari ini, Perdana Menteri berkata, penubuhan dana hasil kerjasama Teraju dan Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) itu bertujuan meringankan isu pembiayaan yang menjadi kekangan kepada syarikat-syarikat bumiputera.

''Dana ini akan menyediakan sokongan kepada Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) bumiputera dan akan menjadi insentif tambahan bagi syarikat-syarikat yang memohon untuk mendapatkan bantuan di bawah program Teras yang dilancarkan Teraju pada 20 Julai lalu.

''Ia juga akan menjadi sokongan kepada inisiatif-inisiatif lain yang telah dan bakal diperkenalkan untuk syarikat-syarikat bumiputera," katanya.

Pengumuman itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) kelima di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, dana berkenaan diwujudkan sebagai tipping point sesuatu projek dengan menyediakan pembiayaan bagi infrastruktur agar PFI bumiputera dapat memberi lebih tumpuan kepada pelaksanaan projek.

Selain itu kata beliau, dana tersebut juga akan menjadi pemangkin kepada syarikat bumiputera menjalankan projek-projek besar yang mempunyai tahap kelayakan minimum nilai pelaburan projek berjumlah RM20 juta.

''Adalah diharapkan impak jumlah pelaburan ini akan membawa manfaat kepada syarikat permulaan serta usahawan mikro bumiputera bagi membolehkan mereka memperbaiki kedudukan dalam rantaian nilai," katanya.

Berdasarkan anggaran Teraju pula, dana itu dijangka menjana sejumlah lebih RM10 bilion pelaburan swasta.

Pada mesyuarat yang sama, Najib turut mengumumkan peruntukan bumiputera yang dianggarkan bernilai RM8 bilion dalam keseluruhan projek Transit Aliran Massa (MRT) jajaran Sungai Buloh-Kajang.

Kata beliau, beberapa pakej khas kepada kontraktor bumiputera di bawah projek itu telah dikenalpasti antaranya pakej kerja sivil dan infrastruktur, pakej sambungan bekalan tenaga TNB, pakej perolehan berpusat, pakej terowong dan bawah tanah dan pakej sistem MRT.

''Peruntukan bumiputera dianggarkan sebanyak 43 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan projek MRT pada jajaran berkenaan," kata Najib.

disaman

Posted:

<i>The Malaysian Insider</i> disaman

The Malaysian Insider disaman

Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Bekas Pengerusi Eksekutif Malaysian Airline System Bhd. (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli mengemukakan saman RM200 juta terhadap penerbit portal berita, The Malaysian Insider dan dua lagi kerana didakwa menyiarkan artikel yang berunsur fitnah terhadap beliau pada 31 Mei lalu.

Tajudin mendakwa kata-kata dalam artikel bertajuk MACC clears A-G of graft allegations (SPRM bebaskan Peguam Negara daripada tuduhan rasuah) yang mengaitkannya bukan merupakan pernyataan-pernyataan yang adil dan berniat jahat.

Writ saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Lim Kian Leong & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 18 Ogos lalu.

Tajudin selaku plaintif menamakan penerbit portal tersebut, The Malaysian Insider Sdn. Bhd.; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jahabar Sadiq dan wartawan, Shazwan Mustafa Kamal sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Beliau yang berkhidmat di MAS antara 1994 sehingga 2001 menuntut ganti rugi kecederaan dan kehilangan reputasi tidak kurang daripada RM200 juta, ganti rugi keterlaluan dan teladan, faedah atas ganti rugi tersebut, kos serta relif-relif lain.

Tarikh 19 September ini ditetapkan untuk pengurusan kes buat pertama kali di hadapan Hakim Harmindar Singh Dhaliwal.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, artikel berkenaan bermaksud atau difahamkan bermaksud beliau seorang yang tidak jujur, berkelakuan tidak wajar, menyalahgunakan kedudukan, bertindak secara tidak profesional, tidak boleh diharap dan tidak boleh dipercayai.

Plaintif memberitahu, beliau melalui peguam caranya telah menulis surat kepada pihak defendan pada 7 Jun lalu untuk menuntut artikel dan pengedarannya ditarik balik serta permohonan maaf.

Bagaimanapun, dakwanya, pihak defendan dalam surat jawapannya bertarikh 20 Jun lalu menyatakan, artikel terbabit bukan bersifat fitnah dan mereka mempunyai pelbagai sumber berita serta enggan menarik balik pengedarannya.

Di sebalik keengganan tersebut, Tajudin menyatakan, pihak defendan telah mengulangi kata-kata fitnah atau yang serupa dengannya dalam artikel bertajuk Najib: Tajudin intervention 'offsite solutin' not settlement pada 12 Ogos lalu dan tiga lagi artikel pada keesokan harinya.

Disebabkan pengulangan kata-kata fitnah tersebut, dakwa plaintif, pihak defendan telah menunjukkan mereka sebagai berniat jahat dan menyusahkan serta patut dipertanggungjawabkan untuk ganti rugi.

Plaintif turut mendakwa, ekoran penerbitan artikel yang telah disampaikan secara meluas melalui Internet, beliau telah mengalami kerosakan yang teruk dalam perwatakan dan reputasi selain dibawa kepada keaiban awam, skandal dan penghinaan serta menjejaskannya.

Pada 11 Ogos lalu, media tempatan melaporkan bahawa kes-kes saman sivil membabitkan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan Kerajaan Malaysia terhadap Tajudin Ramli sejak bertahun-tahun lalu, kini dalam peringkat rundingan untuk mencari penyelesaian di luar mahkamah.

Sekiranya tiada persetujuan dicapai, kes-kes saman yang membabitkan tuntutan berbilion ringgit itu akan diteruskan dengan perbicaraan.

Secara keseluruhan terdapat lebih daripada 10 kes saman di pelbagai peringkat mahkamah termasuk Mahkamah Rayuan membabitkan GLC seperti MAS, Telekom Malaysia Bhd., Naluri Corporation Bhd., Celcom (M) Bhd., Pengurusan Danaharta Bhd. dan Atlan Holdings Bhd.

Pengurusan kes bagi tuntutan-tuntutan tersebut ditetapkan pada 29 September ini di hadapan Hakim Pengurusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Dagang) Kuala Lumpur, Tan Sri Md. Raus Sharif, yang juga merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Tajudin turut mengemukakan saman balas ke atas 24 defendan termasuk GLC terbabit bagi menuntut ganti rugi RM13.46 bilion.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan