Ahad, 28 Ogos 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Jangan sia-siakan peluang

Posted:

Jangan sia-siakan peluang

Jangan sia-siakan peluang

Bermula 3 September ini, seramai 41,267 pelajar menjadi kumpulan pertama memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan mengikuti kalendar akademik baru bagi sesi pengajian 2011/2012 setelah 14 tahun sesi pengajian sistem semester Julai diguna pakai.

Wartawan Utusan Malaysia, SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM menemu bual Menteri Pengajian Tinggi, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN mengenai kemasukan pelajar baru ke IPTA dan isu-isu berkaitan dunia pengajian tinggi di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

UTUSAN: Boleh Datuk Seri jelaskan apa sebenarnya objektif di sebalik perubahan kalendar akademik baru dan harapan kementerian mengenai hal ini?

MOHAMED KHALED: Fasa Kedua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) bermula dari 1 Januari lalu sehingga 31 Disember 2015. Dalam Fasa Pengukuhan PSPTN ini, kementerian akan melaksanakan transformasi pengajian tinggi negara bagi memacu dan melonjakkan pengantarabangsaan industri pengajian tinggi di persada dunia.

Justeru, penyelarasan kalendar akademik IPTA merupakan satu strategi bagi merangsang kecemerlangan pengajian tinggi. Di samping itu juga, ia dapat mempertingkatkan lagi proses pengembangan ilmu di kalangan pelajar dan pensyarah melalui program pengantarabangsaan serta mempertingkatkan lagi daya saing dan pengkongsian ilmu dalam memperkasa Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), Pembangunan dan Penyelidikan (R&D), inovasi dan kecemerlangan IPT tempatan.

Dalam proses globalisasi dan liberalisasi pengajian tinggi pula, proses mobiliti pelajar di peringkat domestik dan antarabangsa dapat dipertingkatkan sejajar dengan amalan terbaik kalendar akademik IPT di dunia.

Keputusan kementerian untuk melakukan perubahan kalendar akademik ini mendapat reaksi pelbagai pihak sehingga timbul kontroversi. Boleh Datuk Seri ulas?

Kontroversi ini timbul kerana proses perubahan kalendar baru tidak dibuat secara berperingkat. Tahun lepas kemasukan adalah pada Julai. Maknanya daripada Julai terus lompat ke September. Jadi, pelajar yang tamat pengajian lebih awal terpaksa tunggu lagi dua bulan untuk kemasukan ke universiti.

Bagaimanapun, perkara itu tidak dapat dielakkan memandangkan pada tahun ini Ramadan jatuh pada Ogos. Kita tidak mahu pelajar akan kepenatan untuk menghadapi program orientasi semasa Ramadan. Program orientasi ini sangat penting untuk menyesuaikan pelajar dengan rumah kedua mereka kerana sistem belajar di universiti jauh lebih berbeza dengan sekolah.

Penyelarasan kalendar akademik ini memudahkan program mobiliti di kalangan pelajar dan pensyarah serta program pertukaran kredit dengan pelajar universiti antarabangsa yang mana hanya boleh dilaksanakan jika waktu pembelajaran dan cuti yang sama berlaku.

Selain itu, ia turut menyelesaikan masalah sampingan lain termasuk memberi lebih banyak masa persediaan kepada pelajar sebelum memasuki universiti selain mengelak berlaku kekosongan tempat sekiranya pelajar menerima tawaran universiti lain di negara luar.

Jika sebelum ini kemasukan pada Julai, pelajar hanya ada beberapa minggu membuat persediaan dan pilihan kemasukan ke universiti kerana tempoh pengumuman keputusan peperiksaan adalah sangat singkat untuk kemasukan Julai. Di samping itu, oleh kerana sistem kalendar akademik berbeza dengan universiti luar negara iaitu kemasukan lebih awal dua bulan, maka kita berhadapan dengan keadaan di mana kekosongan tempat berlaku apabila pelajar menerima tawaran universiti luar dan meninggalkan universiti kita.

Untuk kemasukan sesi akademik 2011/ 2012, berapa jumlah lepasan STPM dan setarafnya yang diterima untuk menyambung pengajian di IPTA?

Bagi sesi pengajian 2011/2012, sejumlah 64,703 calon lepasan STPM/Matrikulasi/ Asasi telah memohon untuk Program Ijazah Pertama. Daripada bilangan tersebut, seramai 53,216 calon telah mencapai kelayakan minimum bagi mengisi sebanyak 41,267 tempat yang ditawarkan. Jumlah tawaran tempat sebanyak 41,267 ini menunjukkan peningkatan 1.9 peratus (%) berbanding tahun sebelumnya. Sesi lalu hanya 40,506 sahaja tempat ditawarkan.

Pada sesi kali ini, seramai 29,838 daripada 39,998 pemohon bumiputera atau 74.6% peratus berjaya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Pertama, manakala 9,457 (daripada 10,677) atau 88.6% adalah pelajar berketurunan Cina dan 1,972 (daripada 2,541) atau 77.6% bagi pelajar kaum India dan lain-lain.

Setiap tahun, menjelang kemasukan pelajar baru ke IPTA, pasti timbul pelajar yang tidak ditawarkan kursus yang dipohon seperti kursus kritikal, sebaliknya diberikan kursus yang lain. Disebabkan itu, ada pelajar tidak mahu mendaftar. Apa penjelasan Datuk Seri?

Proses pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengambil kira komponen akademik 90% dan kokurikulum 10%. Kejayaan seseorang calon memperolehi tempat pengajian di IPTA bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian yang dipohon.

Sekiranya merit mereka tidak begitu tinggi dan memohon lapan pilihan dalam program pengajian kompetitif, kebarangkalian mereka tidak mendapat tawaran program pengajian sebagaimana yang dipohon adalah tinggi. Calon-calon ini akan ditawarkan program pengajian di luar pilihan tetapi mirip dengan pilihan mereka di IPTA yang terdapat kekosongan.

Bagaimanapun sekiranya terdapat kes di mana seseorang calon ditawarkan program pengajian yang sangat berlainan daripada bidang pengajian yang dipohon, rayuan pelajar akan diteliti dan ditimbang tertakluk kepada kekosongan tempat di IPTA.

Prestasi kemasukan bagi tahun ini pula menyaksikan sejumlah 25.6% pelajar mendapat tawaran Pilihan Pertama mereka dan 81% pelajar pula mendapat tawaran dalam pilihan iaitu Pilihan 1 hingga Pilihan 8. Sementera itu, hanya 19% sahaja yang mendapat tawaran di luar pilihan calon.

Bagi calon yang mendapat tawaran di luar pilihan mereka, proses pemilihan mengguna pakai indikator persetujuan terima calon mendapat tawaran selain 8 pilihan mereka. Namun begitu, Unit Pusat Universiti (UPU) akan menawarkan program pengajian yang ada kekosongan serta bidang yang mirip dengan 8 pilihan calon.

Sebenarnya kejayaan mendapat tempat di universiti bergantung apa yang dipohon dan universiti mana yang dia pohon.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Erti perjuangan mulia Islam

Posted:

Erti perjuangan mulia Islam

Erti perjuangan mulia Islam

Oleh Nordin Kardi

SEDANG orang Islam sepatutnya meraikan hujung Ramadan dan gembira menyambut sinar satu Syawal, orang Islam di Libya mengamuk saling membunuh sesama bangsa dan sesama seagama.

Sedang orang Melayu-Islam di Malaysia sibuk menulis dan bertengkar di laman-laman sosial atau blog tentang tanda-tanda lailatulqadar yang ditunggu-tunggu, orang Libya yang juga berhajat menyambut malam yang menyamai kebaikan seribu bulan itu ditimpakan 'neraka dunia'.

Yang menang berdiri tegak dengan sombong menggalas senapang buatan Amerika dan Eropah dan yang tumpas pula dihina selain dari meninggalkan isteri atau anak kecil menjadi balu dan yatim. Tidak pastilah sama ada yang menang atau yang kalah di Libya itu sempat mengerjakan sunat tarawih yang juga sibuk didebatkan oleh orang Melayu sama ada lapan rakaat atau dua puluh.

Rejim Gaddafi adalah rejim Islam terbaru yang dikatakan dijatuhkan 'rakyat' dengan senapang berjenama luar negara. Dengan serta-merta negara-negara pembuat senapang itu mengisytiharkan pengiktirafan terhadap golongan pemberontak yang menamakan diri mereka sebagai Majlis Peralihan Negara atau National Transitional Council (NTC).

Berikutan dengannya, Britain dengan serta-merta menghalau diplomat rasmi negara Libya dan menjemput NTC mengambil tempat diplomat itu dan bersedia pula membuka semua RM149 juta harta Libya yang selama ini dibekukan di negara penjajah itu. Amerika Syarikat dan 30 negara lain juga segera memberi pengiktirafan kepada NTC dan membebaskan harta Libya yang bernilai berbilion dolar AS. Austria mengumumkan akan mencairkan 1.2 bilion EU dan akan memindahkannya kepada NTC.

Cepat benar mereka memberi pengiktirafan itu berbanding melayan rayuan Palestin yang bertahun-tahun supaya diterima sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat yang sehingga sekarang tidak diendahkan. Banyak petunjuk yang boleh dipelajari darinya.

Cerita negara-negara Islam seperti cerita penuh kemerosotan, kehancuran dan kerapuhan. Hampir tidak ada lagi satu sistem yang bertahan hingga seratus tahun di dalam sesebuah negara Islam. Jatuh menjatuhkan, guling menggulingkan berlaku secara berterusan. Indonesia sebagai sebuah negara Islam terbesar di dunia dengan penduduk 235 juta, merdeka dengan susah payah pada tahun 1949, selepasnya telah bertukar tiga rejim melalui sistem peralihan yang setiap kali caranya berlainan.

Pakistan (merdeka 1947) pada asalnya adalah negara Islam yang lebih besar daripada Indonesia dengan jumlah penduduk lebih 300 juta. Akibat peperangan saudara (1971), Bangladesh mengecilkan Pakistan kepada 165 juta dengan membawa keluar sebanyak 150 juta penduduk. Mesir (merdeka 1922), sebuah negara bertamadun tua, dengan penduduk lebih 80 juta sekarang dijajah semula untuk kesekian kalinya. Demikianlah negara Islam dipecahkan dari dalam dengan senapang buatan luar, sehingga kian hari kian menjadi unit-unit kecil.

Krisis dalam negara berlaku dalam banyak lagi negara Islam lain termasuk Algeria, Chad, Guinea (rampasan kuasa 2008), Kyrgyzstan, Niger (rampasan kuasa 2010), Nigeria, Somalia, Sudan, Tajikistan, Mali dan sekarang gangguan itu jangkit menjangkit di Timur Tengah sehingga ke Arab Saudi 'penjaga Ka'bah' itu.

Merenung hal ini, ada sarjana Islam yang menghujah bahawa Islam seharusnya begitu. Orang Islam hendaklah tidak mengutamakan semangat kenegaraan bersempadan kerana semangat sedemikian bakal membawa seseorang itu tergolong dalam golongan asabiyah yang tidak diiktiraf oleh Nabi Muhammad sebagai umatnya. Oleh yang demikian orang Islam di seluruh dunia mesti menganggap diri mereka sebagai 'wahdatan ummah' atau umat yang satu. Negara tidak penting, tetapi kesatuan ummah hendaklah sentiasa menjadi teras perjuangan setiap orang Islam. Mereka seolah-olah tidak menghiraukan fakta sejarah bahawa semangat kenegaraan dan keislaman yang digabungkan itulah yang telah berjaya menghalau penjajah dari bumi mereka, bukan yang semata-mata berdiri di atas slogan kesatuan ummah. Sedangkan, kesatuan ummah yang ditunggu seperti tidak akan tiba.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan