Utusan Online - Muka Hadapan |
Posted: Kenyataan Mat Sabu dibidasOleh YULPISMAN ASLI, MAZNAH MOHD ARSAD, YATIMIN ABDULLAH, MUHAMAD ZAID ADNAN, SAFINA RAMLI dan MOHD. ZAAIN MD. ZIN RIAK wajah dan aksi Kanang anak Langkau sebagai tanda amaran kepada Mohamad Sabu ketika ditemui di rumahnya di Kuching, Sarawak semalam. KUALA LUMPUR 27 Ogos – Pimpinan tertinggi UMNO hari ini membidas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menganggap pihak komunis yang menyerang pasukan keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950 adalah merupakan hero sebenar. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Timbalan Presiden Pas itu yang mengangkat pengganas komunis sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara. Malah, Muhyiddin turut menyifatkan kenyataan Mohamad Sabu bahawa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan adalah sesuatu yang biadab. "Kenyataan Mohamad Sabu ini adalah satu penghinaan dan pengkhianatan terhadap perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan tanah air. "Sebaliknya beliau dengan angkuhnya telah mengangkat kezaliman pengganas komunis sebagai satu kemuliaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata, kenyataan Timbalan Presiden Pas itu telah menimbulkan kemarahan ramai warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keluarga anggota keselamatan yang terkorban akibat peristiwa itu. ''Malah, tindakan beliau mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan juga menunjukkan perjuangan Pas ketika ini semakin songsang di bawah kepimpinan seperti Mohamad Sabu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini. Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya semalam menyiarkan kontroversi yang dicetuskan Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu apabila mendakwa Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu. Selain itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu, Mat Sabu turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah pegawai British. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan Mat Sabu bahawa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan adalah satu penghinaan kepada rakyat negara ini. "Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Mat Sabu dan menganggap bahawa beliau merupakan pemimpin yang tidak berkualiti langsung," katanya. Di Kuching, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pendapat bahawa anggota polis yang diserang dalam tragedi Bukit Kepong berkhidmat untuk penjajah tidak benar kerana mereka berjuang mempertahankan sebuah wilayah dalam sebuah negeri yang mempunyai sultan. Katanya, PKM pula tidak pernah ikhlas memperjuangkan kemerdekaan negara kerana matlamat sebenar mereka adalah menyingkirkan raja-raja Melayu dengan cara menubuhkan sebuah republik. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kenyataan Mat Sabu itu termasuk mahu mengubah fakta sejarah menunjukkan pemimpin Pas kini semakin jahil terutamanya sejak menjadi 'boneka' DAP. ''Faktor itu juga dipercayai menjadi punca apabila mereka menukar konsep perjuangan mereka kepada negara berkebajikan dan dikhuatiri mereka juga akan mengubah kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan manakala raja-raja Melayu dipinggirkan," katanya. Di Kota Bharu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Mat Sabu disifatkannya sudah hilang pedoman. Sehubungan itu, katanya, beliau meminta rakyat menolak pemimpin terbabit yang mengagung-agungkan pengganas komunis kerana gerakan itu telah banyak membawa kemusnahan kepada negara. |
Posted: Pudu Sentral nadi negaraOleh SAIFULIZAM MOHAMAD KUALA LUMPUR 27 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Pudu Sentral sebagai nama baru Hentian Pudu Raya sejajar dengan permodenan dan naik taraf dilakukan terhadapnya oleh UDA Holdings Berhad. Perdana Menteri berkata, ia akan menjadi jenama baru bagi Hentian Pudu Raya yang selama ini merupakan nadi penting bagi sistem pengangkutan di negara ini. Menurutnya, idea untuk menukarkan nama hentian tersebut tercetus apabila perkara itu dicadangkan oleh salah seorang pengikut twitter beliau. "Pagi tadi iaitu pada waktu sahur saya telah melakukan twitting kepada mereka yang mengikut twitter saya. Apabila saya maklum akan melawat Hentian Pudu Raya saya mendapat cadangan daripada seorang yang twit kepada saya supaya nama Hentian Pudu Raya ini ditukar. "Ia bagi mencerminkan satu terminal yang begitu moden dan begitu tinggi kualitinya. Oleh itu saya telah memikir perkara ini dan berbincang dengan rakan-rakan lain yang ada, maka Hentian Pudu Raya ini ditukar kepada Pudu Sentral," katanya. Beliau membuat pengumuman itu pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan mesra kira-kira 45 minit di terminal bas berkenaan hari ini. Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar dan Pengerusi UDA Holdings Bhd., Datuk Nur Jazlan Mohamed . Najib pada peringkat awal memegang jawatan Perdana Menteri 25 April 2009, juga mengadakan lawatan mesra di Hentian Pudu Raya bagi melihat sendiri kedaifan hentian tersebut selain menyelami keluh kesah pengguna, peniaga mahupun pengusaha bas. Hasil maklum balas yang diterima, beliau kemudian mengarahkan supaya hentian berusia 35 tahun itu dinaik taraf serta diberi nafas baru. Pada 16 April lalu, Hentian Pudu Raya yang moden berjaya disiapkan dengan kos RM52 juta. Perdana Menteri dalam pada itu amat berpuas hati dengan hasil kerja dilakukan bagi memodenkan hentian tersebut berdasarkan tinjauan yang dilakukannya itu. "Ketika saya mula-mula melakukan tinjauan mesra (2009) saya melihat keadaan terminal Pudu Raya memang sangat daif sehingga tidak memberi keselesaan sama sekali kepada para pengguna dan rakyat. "Memandangkan terminal ini adalah nadi bagi sistem pengangkutan negara, saya membuat keputusan membaik pulih dan membangunkan semula terminal ini. Alhamdulillah pihak UDA berjaya melaksanakannya melalui dua fasa pembangunan," ujarnya, Najib juga menerima maklum balas yang positif daripada orang ramai termasuk pelancong asing dalam tinjauan mesranya hari ini. "Secara kebetulan saya bertemu dengan dua pelancong Jerman dan saya bertanyakan pandangan mereka terhadap terminal ini lalu mereka menjawab seperti berada di lapangan terbang. "Ini bermakna kita berjaya membangunkan satu terminal bas yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia. Ia begitu moden dan mesra. Saya pasti terminal ini dapat memberi tahap kepuasan yang begitu tinggi kepada pengguna," katanya. Mengenai penyelenggaraan Pudu Sentral, beliau amat berharap supaya rakyat bersama-sama bertanggungjawab memelihara segala kemudahan yang ada termasuk dalam soal kebersihan. "Orang kata kita cekap membina bangunan tetapi kadang-kadang timbul kelemahan dari segi penyelenggaraan. Dalam soal ini pihak pengguna juga mesti tahu bagaimana mahu memelihara bangunan dan kemudahan yang begini baik, begini selesa untuk rakyat," ujarnya. Dari segi keselamatan kata Perdana Menteri, ia menjadi satu keutamaan supaya keselamatan serta keselesaan pengguna sentiasa terjamin. "Selain itu surau di sini juga telah diiktiraf sebagai surau yang boleh ditunaikan solat Jumaat," ujarnya. |
PM sampai zakat kepada 5,000 penerima Posted: PM sampai zakat kepada 5,000 penerimaNAJIB Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyampaikan sumbangan wang zakat kepada ibu tunggal dalam Parlimen Pekan di Pekan, Pahang, semalam. PEKAN 27 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan zakat kepada 5,000 orang kurang berkemampuan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini. Mereka terdiri daripada orang miskin, ibu dan bapa tunggal, anak yatim serta orang kurang upaya (OKU) yang tinggal di daerah itu. Beliau sebelum itu menerima wang zakat sumbangan Bank Rakyat yang diwakili Pengerusinya, Tan Sri Syed Jalaludin Syed Salim diikuti Pengerusi Amanah Raya Berhad, Datuk Dusuki Ahmad. Turut menyumbang, Pengerusi UDA Holdings, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Mohd. Nor; Ahli Lembaga Pengarah Affin Islamic Berhad, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman dan wakil Permodalan Nasional Berhad, Datuk Zainal Abidin Pa'wan Seorang ibu tunggal, Zawiyah Awang, 83, bersyukur kerana sejak menjadi penerima zakat bagi Parlimen Pekan sebanyak RM250, dia kini mampu membeli baju raya malah dapat menyediakan juadah lebaran. "Sebelum ini, saya terpaksa berjimat cermat dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu sebanyak RM300 sebulan,'' katanya yang berasal dari Kampung Merchang kepada pemberita selepas menerima sumbangan zakat daripada Perdana Menteri. Selain Zawiyah, anaknya, Robiah Ibrahim, 55, yang juga ibu tunggal turut terpilih menerima bantuan zakat itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan