Khamis, 25 Ogos 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pusat sembelih ayam masih tiada sijil halal

Posted: 24 Aug 2011 09:56 AM PDT

KUALA LUMPUR: Walaupun sudah berulang kali diserbu pihak berkuasa dan diberi 'tarbiah', segelintir pemilik pusat pemprosesan ayam di beberapa pasar di sini, berdegil dan enggan membuat permohonan sijil halal.

Lebih membimbangkan apabila pelanggan pusat penyembelihan terbabit bukan saja di kalangan peniaga bukan Islam, malah dipercayai turut dibeli pemborong dan peniaga kecil yang beragama Islam.


Dalam pemeriksaan kira-kira jam 4 pagi semalam, di Pasar Borong Selayang dan Pasar Jinjang, di sini, yang dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati selain tidak mempunyai sijil halal, beberapa aspek penyembelihan turut diabaikan.

Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah, setiap ayam yang disembelih tidak dilakukan pemeriksaan, malah pisau yang digunakan pula tidak dibasuh setiap kali sembelihan.


"Sepatutnya setiap ayam yang disembelih perlu diperiksa untuk memastikan ia benar-benar disembelih dan sah mengikut hukum syarak.


"Malah, hanya dua tukang sembelih yang bekerja dalam dua jam bagi menyembelih 4,000 ayam," katanya yang turut serta operasi terbabit.

Menurut Jailani, tiga pusat penyembelihan yang diperiksa juga mengabaikan aspek kebersihan iaitu kotor dan menjijikkan apabila ayam mati dilonggokkan di atas lantai.


Bagaimanapun, beliau berkata, dua daripada tiga pusat penyembelihan itu menggunakan khidmat tukang sembelih yang bertauliah dan memiliki kad penyembelihan dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi).

Katanya, hasil pemeriksaan juga mendapati ayam yang dibekalkan mereka tidak sihat dan mungkin berpenyakit berdasarkan bahagian yang lebam dan hitam.


"Permintaan tinggi ketika Ramadan dan menjelang Syawal menyebabkan pengusaha agresif menghabiskan stok ayam sehingga mengabaikan aspek pematuhan halal.


"Atas sebab itu, kami mahu menyedarkan masyarakat dan jabatan agama negeri membuat pemeriksaan dan memantau pusat penyembelihan ayam supaya penguasa yang memiliki sijil halal turut mengambil berat," katanya.


Operasi itu disertai pegawai Bahagian Pelesenan dan Kesihatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memastikan penguasa memiliki lesen sah dan mematuhi syarat.

Lain salah lain dibalas

Posted: 24 Aug 2011 09:33 AM PDT

GOMBAK: Seorang lelaki yang berang selepas dibelasah sekumpulan lelaki minggu lalu bertindak balas dengan membelasah seorang pelajar menggunakan topi keledar menyebabkan pelajar itu retak tangan kiri walaupun dia tidak terbabit serangan sebelum itu.

Dalam kejadian di Selayang kira-kira jam 1 tengah hari semalam, mangsa berusia 17 tahun yang tamat sesi persekolahan berjalan menuju pondok menunggu bas untuk pulang ke rumah.


Menurut sumber, selang beberapa minit kemudian datang seorang lelaki tidak dikenali berusia 20-an berbual-bual dengan mangsa.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa berbual sekejap sebelum lelaki itu ingin tahu tempat tinggal mangsa.


"Pelajar terbabit memberitahu dia tinggal di Taman Intan Baiduri dan sebaik mendengar jawapan mangsa, lelaki itu naik angin dan memukul badan mangsa dengan topi keledar," katanya.


Sumber berkata, mangsa yang terkejut dengan perbuatan suspek yang tiba-tiba bertukar ganas cuba mempertahan diri, namun gagal apabila lelaki itu bagaikan dirasuk membelasahnya bertubi-tubi.

"Selepas beberapa minit, lelaki itu berhenti dan memberitahu dia memukul mangsa kerana tidak berpuas hati sebelum ini dia menerima nasib sama apabila dipukul penduduk di kawasan tempat tinggal mangsa.


"Dia meninggalkan mangsa yang kesakitan dan beredar dari situ.

"Sebaik ditinggalkan, mangsa pergi ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan sebelum diberitahu tangan kirinya retak ketika menepis serangan suspek," katanya.


Mangsa membuat laporan di Balai Polis Selayang berhubung kejadian itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan