Ahad, 28 Ogos 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Ibu kembar barah tahap keempat

Posted: 27 Aug 2011 07:57 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Saya bersedia menghadapinya. Kalau tak kuat, saya tak akan ke hospital untuk melakukan imbasan dan seterusnya menjalani pembedahan.

"Walaupun tahu risiko yang bakal dihadapi sangat tinggi, saya harus tabah demi orang yang disayang iaitu suami dan anak serta keluarga," kata ibu pasangan kembar siam, Ahmad dan Muhammad Rosli, Aisah Kanda, 35, selepas dimaklum menghidap barah payudara tahap keempat yang dikategorikan berisiko tinggi dan membahayakan nyawa.


Keputusan itu dimaklumkan kepada pasangan Aisah dan Rosli Abdul Rahim, 40, oleh pakar perubatan Hospital Putrajaya pada Khamis lalu, selepas disahkan menghidap barah berkenaan, awal Januari tahun ini.

Ibu lima cahaya mata itu mengakui terkejut dengan keputusan pemeriksaan yang dilakukan awal Ramadan lalu, namun reda dengan ujian diberikan Tuhan kepadanya.


"Kalau sebelum ini saya bimbangkan kebajikan anak, kini saya perlu menghadapi risiko ini demi masa depan mereka biarpun rawatan yang bakal dijalani mengambil masa lama iaitu enam sesi rawatan.


"Saya tidak menjangka turut jadi mangsa penyakit ini kerana pada pandangan saya, ibu yang menyusukan anak tidak berisiko mengalami barah pembunuh wanita ini.

"Ternyata saya tidak terkecuali menerima musibah ini. Ia ketentuan Tuhan yang memerlukan saya tabah menerimanya," katanya.


Ketika ditemui di kediamannya di Puchong, dekat sini, Aisah dan Rosli baru mendapat perkhabaran daripada doktor bahawa sel barah yang menyerang Aisah adalah agresif dan hanya mengambil masa lapan bulan untuk mencapai tahap keempat.

Dalam tempoh 11 hari selepas keputusan dikeluarkan, Aisah akan menjalani rawatan kimoterapi dan x-ray terlebih dulu bagi mengesan sama ada sel barah merebak ke organ lain atau bersifat pasif.


"Pemeriksaan x-ray dan kimoterapi akan dilakukan bagi mengenal pasti keaktifan sel barah dalam tubuh, dikhuatiri merebak ke jantung, hati dan buah pinggang.


"Selepas rawatan itu, saya akan berjumpa doktor semula pada 6 September untuk mengetahui keputusan sama ada perlu dibedah atau sebaliknya," katanya.


Beliau berkata, selepas berita mengenai mereka sekeluarga dipaparkan di akhbar ini pada 21 Ogos lalu, ramai saudara terdekat terkejut dengan penderitaan dialaminya.


Malah, ada yang melahirkan kekesalan terlewat mengetahui status barah Aisah.


Menurut anak kelahiran Sungai Besar, Selangor ini, kebanyakan ahli keluarga dan jirannya tahu dia menghidap barah payudara, namun tidak menyangka ia bertambah kritikal berikutan tidak pernah menunjukkan kesedihan atas apa kepedihan yang menimpa dirinya.


Di sebalik kesulitan dialami, Aisah bersyukur atas sikap prihatin keluarga, jiran serta rakyat Malaysia yang sanggup bersusah payah untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk ubat-ubatan untuk dirinya, keperluan lampin pakai buang dan beg najis buat anaknya Muhammad.


Selain rakan terdekat dan pembaca menghulurkan sumbangan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) meluluskan permohonan berbentuk sumbangan kewangan bagi tujuan rawatan sebanyak RM500 sebulan bermula Ogos lalu hingga Disember 2011.


Rosli turut melahirkan rasa terharu atas sikap prihatin LZS dan beberapa pihak lain yang menghulurkan wang berbentuk zakat fitrah bagi meringankan bebannya sekeluarga.


Sementara itu, ketika ditanya perkembangan terbaru kesihatan isterinya, Rosli hanya berserah kepada Tuhan atas dugaan diberi Allah kepadanya dan bermohon diberi kekuatan fizikal serta mental untuk terus tabah.


Menyedari penderitaan dialami isteri, dia sentiasa di sisi Aisah untuk memberi semangat dan menceriakan isteri dengan jenakanya.


Walaupun tahu risiko penyakit itu tinggi, dia sentiasa berfikiran positif.

Tangan dikelar

Posted: 27 Aug 2011 07:55 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang wanita cedera di tangan kanan selepas dikelar dalam kejadian samun berkumpulan oleh tiga lelaki bersenjatakan pisau di sebuah kedai cermin mata di Wangsa Maju, di sini, kelmarin.

Kejadian jam 9.30 malam itu menyebabkan Naizatul Siha Hassan, 35, yang berlumuran darah, berlari mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.


Saksi yang mahu dikenali sebagai Sing, 28, berkata ketika kejadian dia bersama seorang rakannya yang turut bekerja di premis berkenaan melakukan kerja di bahagian belakang manakala mangsa yang menjadi juru wang, berada di kaunter.

Katanya, dia mendengar mangsa menjerit selepas premis itu dimasuki tiga lelaki bersenjata yang mengugut akan mencederakannya jika enggan menyerahkan wang.


"Mangsa cuba mempertahankan diri dan bergelut dengan penyamun sebelum tangannya dikelar, menyebabkannya cedera.


"Mangsa yang kesakitan berlari keluar premis dan menjerit minta tolong, namun tiada siapa membantu kerana ketakutan melihat tiga suspek itu membawa senjata tajam, menyebabkan mangsa berlari sejauh 50 meter ke klinik untuk mendapatkan rawatan," katanya, di sini.

Menurutnya, dia lihat tiga penjenayah berkenaan berlari menaiki motosikal dan membawa bersama beg serta wang tunai.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata selepas 20 minit kejadian pihaknya menangkap seorang daripada suspek berusia 28 tahun apabila anggotanya yang melakukan rondaan terserempak dengannya.

Katanya, anggotanya yang baru keluar dari balai polis Wangsa Maju terdengar suara wanita menjerit minta tolong sebelum bergegas ke tempat kejadian.


"Mangsa yang kesakitan menunjukkan arah tiga motosikal suspek sebelum anggota polis mengejar ketiga-tiga lelaki itu.


"Seorang daripada mereka ditahan di Seksyen 10, satu kilometer daripada tempat kejadian dan polis merampas pisau potong daging serta wang tunai yang disamun," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan