Utusan Online - Timur |
- Projek naik taraf
- 77 atlet Terengganu menuntut di IPT
- Bomba keluar notis peringatan keselamatan kebakaran
Posted: Projek naik taraf Oleh YULPISMAN ASLI MUSTAPA Mohamed (tengah) menekan butang lampu isyarat lalu lintas sebagai simbolik perasmian jalan baharu di bandar Jeli, kelmarin. - Utusan/Aizzul A.Majid JELI 28 Ogos - Projek menaikkan taraf Jalan Gua Musang-Jelawang-Jeli melibatkan kos RM59.5 juta akan siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan lagi. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, komponen utama projek itu yang dimulakan dua tahun lalu, antara lain melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan di bandar Jeli daripada dua lorong kepada empat lorong sepanjang 4.5 kilometer. Selain itu, katanya, ia turut melibatkan pembinaan dua jambatan baharu iaitu di Sungai Jeli dan Sungai Rusing dan tiga lampu isyarat di sebahagian Jalan Jeli-Jelawang. Skop lain projek itu adalah melebarkan jalan sepanjang 600 meter di Kuala Balah, membaik pulih cerun dan melebarkan jalan sepanjang satu kilometer di Kilometer 52 dekat Mukim Kuala Stong, menaik taraf jalan sepanjang 360 meter di bandar baharu Gua Musang dan melebarkan jalan sedia ada sepanjang 15 kilometer dari bandar Jeli ke Kuala Balah. Beliau berkata, apabila siap sepenuhnya, laluan tersebut bakal mengatasi kesesakan lalu lintas di bandar Jeli, selain menjadi laluan alternatif kepada pengguna untuk ke Gua Musang, Kota Bharu dan negeri-negeri di utara Semenanjung. "Kita bersyukur jalan siap dalam bulan Ramadan, kalau tak siap akan berlaku kesesakan lalu lintas yang ketara. Yang penting bandar Jeli telah berkembang. Sebagai Ahli Parlimen, saya bersyukur dapat memainkan peranan untuk membawa pembangunan di Jeli bagi menyediakan kemudahan lebih selesa kepada rakyat Jeli," katanya. Beliau ditemui selepas majlis praperasmian projek tersebut di sini, semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Makhtar Mustapha dan Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Supritendan Sheikh Azhar Sheikh Omar. Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, kelewatan projek itu disebabkan masih terdapat jalan sejauh satu kilometer yang baharu memulakan kerja-kerja pelebaran akibat masalah pengambilan tanah dan pembayaran ganti rugi. |
77 atlet Terengganu menuntut di IPT Posted: 77 atlet Terengganu menuntut di IPTKUALA TERENGGANU 28 Ogos - Seramai 77 atlet anak Terengganu kini dianugerahkan biasiswa dan bantuan lain bagi menyambung pelajaran ke pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Ia demi masa depan mereka dan berdasarkan maklumat Majlis Sukan Negeri, seramai 54 orang sedang mengikuti pengajian di dalam negeri ini manakala 23 lagi di luar. Menurut sumber kerajaan negeri, daripada jumlah itu 13 adalah penerima biasiswa Yayasan Terengganu, 15 biasiswa sukan Kementerian Belia dan Sukan manakala 49 orang menerima biasiswa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi nasional (PTPTN). Katanya, kerajaan negeri berusaha meningkatkan tahap pencapaian akademik para atlet agar penglibatan mereka dapat terus menjamin sumber ekonomi selain pemberian imbuhan jangka pendek. Melalui Majlis Sukan Negeri katanya, kerajaan negeri telah menjalin persefahaman dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di bawah Program Kecemerlangan Akademik. "Ia bagi membantu atlet mendapat tempat dengan kelayakan minimum. Tindakan ini bertujuan memastikan aspek akademik diberi perhatian selain menjadi atlet cemerlang. "Dengan bekalan kelulusan akademik yang ada, selepas bersara nanti, mereka lebih mudah untuk membina kerjaya sendiri dengan masa depan lebih terjamin," ujar sumber itu. Kerajaan negeri juga telah memberi biasiswa pengajian, bayaran asrama dan bantuan tuisyen bagi atlet Sukan Malaysia (Sukma) dan atlet Sekolah Sukan Terengganu. |
Bomba keluar notis peringatan keselamatan kebakaran Posted: Bomba keluar notis peringatan keselamatan kebakaranAZMI Osman (tengah) meninjau bilik pam air dalam operasi di bangunan KBTC Kota Bharu, baru-baru ini. KOTA BHARU 28 Ogos - Tahap keselamatan kebakaran di premis perniagaan terkemuka, terutama yang melibatkan pasar raya di bandar ini masih berstatus rendah dan mesti dipertingkatkan. Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Osman berkata, pemeriksaan mengejut yang dijalankan ke pasar raya terlibat sepanjang Ops Raya bermula 22 Ogos lalu mendapati, masih banyak kelemahan yang perlu dibaiki. Katanya, antara kelemahan itu ialah pintu rintangan api dihalang, lampu kecemasan tidak berfungsi, lampu tanda keluar tidak mencukupi dan alat pemadam api tamat tempoh. Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya akan mengeluarkan notis peringatan kepada pasar raya terbabit untuk menambah baik sistem keselamatan kebakaran. "Walaupun kelemahan itu kecil, tetapi ia memberi impak besar kepada pelanggan dan pekerja pasar raya apabila berlaku kebakaran. "Pemilik premis perniagaan perlu menitik berat tanggungjawab itu dalam memastikan ia memenuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak bomba," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan ke aras bangunan Pusat Dagangan Kota Bharu (KBTC) dan pasar raya Parkson di sini, kelmarin. Azmi berkata, pihaknya sudah berbincang dengan pihak pengurusan semua pasar raya itu, termasuk mengeluarkan notis peringatan. "Kita berharap mereka mengambil tindakan segera agar keselamatan pengunjung dan pekerja sentiasa terjamin kerana kebakaran boleh berlaku tanpa diduga. "Sekiranya pihak berkenaan tidak mengendahkan notis yang diberikan, tindakan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) boleh diambil terhadap pengurus bangunan," ujarnya. Sementara itu, Pengurus Operasi Parkson Kota Bharu, Nasir Sulaiman berkata, pihaknya akan memberi perhatian serius dan tindakan segera pasti diambil untuk mengatasi sedikit kelemahan dalam sistem keselamatan kebakaran di premis berkenaan. Katanya, kesemua 70 pekerja, termasuk pengawal keselamatan di pasar raya itu juga akan diberi taklimat berterusan untuk memastikan keselamatan kira-kira 1,000 pengunjung setiap hari ke pasar raya itu sentiasa terjamin. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan