Utusan Online - Utara |
- Hospital baru Perak Tengah
- Penduduk lega lif pulih menjelang Aidilfitri
- Ibu tunggal ceria media, JKM beri sumbangan Aidilfitri
Posted: Hospital baru Perak TengahOleh MOHD. ANUAR SULAIMAN PARIT 28 Ogos – Kementerian Kesihatan diminta menyegerakan pembinaan hospital baru Perak Tengah bernilai RM104 juta yang telah pun diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada 2007. Ahli Parlimen Parit, Mohd. Nizar Zakaria berkata, hospital baru itu sangat penting bagi menyediakan kemudahan kesihatan lebih baik kepada penduduk kawasan ini yang jumlahnya kini melebihi 120,000 orang termasuk 20,000 pelajar institusi pengajian tinggi. Katanya, ia juga perlu kerana Bandar Baru Seri Iskandar kini menjadi pusat perniagaan dan pentadbiran yang menjadi tumpuan penduduk. ''Saya berharap kerajaan Pusat dapat memasukkan peruntukan pembinaan hospital ini di dalam bajet yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri tidak lama lagi," katanya kepada pemberita pada majlis sumbangan kuih raya kepada kakitangan serta pesakit di Hospital Changkat Melintang di sini, semalam. Kerajaan Persekutuan sebelum ini meluluskan pembinaan sebuah hospital baru di Seri Iskandar di atas tapak seluas 12.1 hektar bagi menggantikan Hospital Changkat Melintang, di Lambor, Bota, di sini yang cuma mempunyai kapasiti 50 katil. Namun, sehingga kini, hospital yang ditunggu-tunggu oleh penduduk itu belum lagi dibina. Mohd. Nizar turut mencadangkan supaya hospital baru yang bakal dibina itu menyediakan rawatan pakar untuk kanak-kanak serta penyakit kronik seperti jantung. ''Pada masa ini, penduduk terpaksa pergi ke Ipoh atau Manjung untuk mendapatkan rawatan pakar. Jika ada rawatan pakar di sini, ia akan memudahkan penduduk," ujarnya. | ||
Penduduk lega lif pulih menjelang Aidilfitri Posted: Penduduk lega lif pulih menjelang Aidilfitri
BUKIT MERTAJAM 28 Ogos - Penghuni Pangsapuri Sutera dekat Seberang Jaya di sini menerima hadiah cukup bermakna menjelang hari lebaran ini apabila lif di Blok A pangsapuri tersebut yang rosak sejak tiga minggu lalu, kini sudah dibaiki. Ia hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah yang menerima peruntukan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) sebanyak RM20,000 selain peruntukan pusat khidmatnya sebanyak RM10,000. Menurut Arif Shah, pihaknya memandang serius masalah penyelenggaraan lif serta kemudahan di rumah bertingkat di sekitar kawasan itu ekoran beberapa masalah termasuk kegagalan penduduk melunaskan bayaran penyelenggaraan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB). "Tindakan segelintir penghuni menyebabkan JMB sukar menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan akibat dana yang tidak mencukupi dan seterusnya menyusahkan penduduk lain yang turut sama terpaksa menerima tempiasnya. "Namun pada hari ini hasil perbincangan yang dibuat bersama JMB, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta pembekal lif, kita setuju buka lif ini untuk kegunaan penduduk sebelum Aidilfitri," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi lif di pangsapuri terbabit semalam. Lif di pangsapuri itu rosak selepas disambar petir awal bulan ini namun, kerja-kerja pembaikan tertangguh akibat kekurangan dana untuk menampung kos pembaikan yang berjumlah RM62,000. Arif Shah berkata, biarpun telah dibaiki, lif itu perlu mendapat kelulusan daripada JKKP terlebih dahulu sebelum ia dapat digunakan seperti biasa. "Apa pun ia dapat memberi kelegaan kepada warga emas, ibu mengandung serta orang kurang upaya yang tinggal di pangsapuri 26 tingkat itu yang terpaksa menggunakan tangga selama tiga minggu ini," jelasnya. | ||
Ibu tunggal ceria media, JKM beri sumbangan Aidilfitri Posted: Ibu tunggal ceria media, JKM beri sumbangan AidilfitriBALIK PULAU 28 Ogos - Kedatangan 1 Syawal ternyata lebih meriah buat seorang ibu tunggal, Hasliza Abdullah, 38, apabila menerima kunjungan serta sumbangan daripada media Pulau Pinang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) baru-baru ini. Hasliza yang tinggal bersama lima orang anak berusia lima hingga 17 tahun di Kampung Pondok Upeh di sini menerima sumbangan barangan keperluan harian bagi membantu meringankan beban mereka untuk menyambut hari lebaran. Selain itu, para petugas daripada pelbagai organisasi media cetak dan elektronik di negeri ini turut menghulurkan sumbangan untuk membeli perabot serta perkakas baru bagi menggantikan dengan yang lama. Mereka juga bergotong-royong membersihkan dan menghiasi persekitaran rumah Hasliza dengan lampu berwarna-warni. "Terima kasih kepada semua. Syukur. Ini adalah hadiah hari raya yang sangat bermakna bagi kami sekeluarga dan tidak sangka masih ada masyarakat yang prihatin terhadap kami," katanya. Dia ditemui pada program Ziarah Masih Ada Yang Sayang anjuran media Pulau Pinang dan JKM negeri di rumahnya baru-baru ini. Suaminya, Norafendi Che Ros yang bekerja sebagai pemandu bas meninggal dunia Julai lalu akibat penyakit buah pinggang yang dihidapi sejak tahun lalu. Hasliza yang merupakan surirumah sepenuh masa hanya bergantung hidup dengan bantuan bulanan daripada JKM sebanyak RM450. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan