Utusan Online - Utara |
Posted: Projek terbengkalai dipulihOleh OPAT RATTANACHOT ABDUL Aziz Sheikh Fadzir (lima dari kiri) bersama Abdul Halim Hamzah (enam dari kiri) serta ahli jawatankuasa masjid menunjukkan replika cek yang diberikan oleh kerajaan untuk projek pembinaan Masjid Taman Kenari di Kulim, kelmarin. KULIM 25 Ogos – Masalah pembinaan Masjid Taman Kenari di sini yang terbengkalai sejak dua tahun lalu dijangka selesai selepas mendapat suntikan dana RM1 juta. Peruntukan khas tersebut disumbangkan kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM). Majlis penyerahan cek disempurnakan Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, semalam. Hadir menerima peruntukan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kariah yang juga imam masjid, Abdul Halim Hamzah. Abdul Aziz berkata, sumbangan tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mengatasi masalah penduduk setempat tanpa mengira fahaman politik. "Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan membantu mengatasi masalah yang timbul lebih-lebih lagi melibatkan rumah ibadat. Oleh itu, saya berharap dengan peruntukan ini, ia dapat menampung dana untuk meneruskan lagi baki 30 peratus projek pembinaan masjid ini," katanya kepada pemberita di tapak projek berkenaan. Kerja-kerja pembinaan masjid yang berharga RM3.2 juta itu dimulakan sejak 2009 lalu melalui hasil kutipan orang ramai. Bagaimanapun, atas masalah kekurangan dana, projek tersebut terpaksa dihentikan meskipun kebanyakan struktur dan kemudahan masjid berjaya disiapkan sebanyak 70 peratus. Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kariah masjid, Harun Yaakob, 35, memberitahu, dengan peruntukan tersebut, projek pembinaan masjid akan bermula dalam tempoh terdekat dan dijangka siap seawal Disember ini. "Kita bersyukur kerana permohonan membina masjid dengan kerjasama Abdul Aziz kepada JPM akhirnya diluluskan. Terima kasih kepada kerajaan atas bantuan," katanya. Harun berkata, apabila siap kelak, ia dijangka mampu menempatkan hampir 3,000 jemaah pada satu-satu masa. Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Halim berkata, pihaknya masih memerlukan sumbangan dalam bentuk wang tunai daripada orang ramai bagi menampung kos pembinaan masjid itu. Katanya, sumbangan itu boleh dimasukkan ke dalam akaun Bank Islam Malaysia Berhad melalui nombor 2057010019390. |
Tiga maut dalam dua hari di Perlis Posted: Tiga maut dalam dua hari di PerlisKANGAR 25 Ogos - Meskipun Ops Sikap Ke-24 baru dua hari dilancarkan, Perlis sudah mencatatkan tiga kematian sepanjang tempoh itu. Malah, apa yang membimbangkan, dua kematian itu adalah jumlah yang sama dicatatkan di seluruh Perlis dalam tempoh dua minggu Ops Sikap Ke-22 pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu. Ketua Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Supritendan Rosli Yahaya berkata, mereka yang maut ialah dua penunggang motosikal berusia 19 dan 61 tahun serta seorang pejalan kaki berusia 68 tahun. "Ketiga-tiga kemalangan maut itu berlaku di daerah iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar yang melibatkan jalan bandaran iaitu laluan di luar Ops Sikap," katanya di sini hari ini. Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri di Kilometer 18, Jalan Kangar-Alor Setar dekat Sanglang oleh Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya negeri, Jamil Saad di sini hari ini. |
363 pesawah MADA dapat 'duit raya' Posted: 363 pesawah MADA dapat 'duit raya'Mohd. Johari Baharum (dua dari kanan) menyampaikan cek bantuan banjir kepada wakil PPK Bahagia MADA C-1 Kangar di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) A-2 Kodiang, Jerlun, semalam. JERLUN 25 Ogos - Seramai 363 pesawah di kawasan utara Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang ditimpa musibah banjir Mac lalu, bakal menyambut 1 Syawal dengan ceria apabila mendapat bantuan wang ihsan berjumlah RM726,000 hari ini. Kerajaan Persekutuan yang prihatin dengan nasib mereka meluluskan bantuan tersebut pada kadar RM1,800 sehektar memandangkan tanaman padi yang musnah akibat kejadian itu adalah di peringkat masak dan sedia dituai. Ribut dan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan dari 28 hingga 30 Mac lalu mengakibatkan tanaman padi bagi musim 2/2010 seluas 403.38 hektar ditengelami air dan rosak. Bantuan wang ihsan tersebut masing-masing melibatkan seramai 99 petani di Wilayah I MADA di Perlis dan 264 orang di Wilayah II di Jitra. Ia merupakan bantuan kali kedua yang diterima para pesawah terbabit selepas mendapat bantuan ihsan penanaman semula padi sebanyak RM876 sehektar apabila tanaman mereka yang baru tumbuh musnah akibat banjir besar yang melanda negeri ini, November tahun lalu. Seorang petani, Mohammad Amri Salleh, 39, berkata, sebelum ini dia agak risau memikirkan perbelanjaan menyambut Aidilfitri kerana gagal mengutip hasil tanaman padi bagi musim lalu setelah lebih satu hektar sawah yang diusahakannya di Kampung Gobir, Perlis musnah akibat banjir. Keadaan itu, katanya, menyebabkan perancangan perbelanjaan bulanan terjejas dan terpaksa menggunakan sumber kewangan lain bagi menampung perbelanjaan harian. ''Keadaan bertambah rumit kerana hasil padi bagi musim ini pula belum dituai. ''Mujurlah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani prihatin dengan nasib kami yang memerlukan wang apatah lagi menjelang Aidilfitri minggu depan," katanya ketika ditemui selepas menerima wang ihsan sebanyak RM2,278.80 daripada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) A-2 Kodiang di sini hari ini. Seorang lagi petani, Hashim Choh, 69, berkata, dia bersyukur dengan bantuan wang ihsan tersebut yang bukan sahaja dapat membantu menyediakan kelengkapan Aidilfitri tetapi membolehkannya membaiki jentera yang rosak. "Bantuan ini sudah pasti dapat meringankan beban saya untuk menyambut Hari Raya dan membuat persiapan bagi musim penanaman berikutnya," katanya yang menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM13,053. Seorang penerima dari Tambun Tulang, Perlis, Lias Salim, 44, pula mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan meluluskan bantuan wang ihsan kepada para peladang yang mengalami kerosakan tanaman padi akibat bencana alam berkenaan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan