Khamis, 25 Ogos 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


RM1.22 juta bekalan air bersih

Posted:

RM1.22 juta bekalan air bersih

RM1.22 juta bekalan air bersih

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my


Mohd. Rosdi Ab. Aziz (empat dari kanan) bersama Ahmad Syaarani (dua dari kiri) meninjau kemudahan tangki air yang disediakan oleh Kerajaan Pusat kepada penduduk di Kampung Tok Malik, Wakaf Bharu, baru-baru ini.


TUMPAT 24 Ogos - Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM1.22 juta bagi menyalurkan bantuan kepada 555 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Bharu untuk kemudahan penyambungan paip dan tangki air.

Penyelaras DUN Wakaf Bharu, Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz berkata, peruntukan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu disalurkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah ini untuk dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan berkenaan untuk penduduk di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, kos penyediaan setiap penyambungan paip dari paip utama Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) serta peralatan tangki air itu ialah sebanyak RM2,200 bagi setiap buah rumah penduduk yang menerima bantuan berkenaan.

"Kerajaan Pusat memberi perhatian terhadap keperluan rakyat di negeri ini dalam mendapatkan bekalan air bersih dengan menyalurkan peruntukan untuk menyediakan kos bagi kemudahan penyambungan paip dan tangki air kepada penduduk yang menerima bantuan itu.

"Penerima hanya perlu menguruskan bayaran deposit dengan pihak AKSB bagi mendapatkan bekalan air bersih itu memandangkan kos pemasangan paip air dari paip utama ke rumah mereka sudah disediakan," katanya selepas majlis taklimat kepada penerima kemudahan berkenaan di Kampung Tok Malik, Wakaf Bharu dekat sini, kelmarin.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat, Dr. Ahmad Syaarani Yassim ketika berucap pada majlis tersebut berkata, sebanyak 2,012 keluarga di seluruh jajahan berkenaan menerima bantuan kemudahan itu yang disalurkan menerusi Pejabat Kesihatan Daerah.

Katanya, setiap penduduk digalakkan menggunakan bekalan air bersih yang disediakan AKSB kerana air yang dibekalkan adalah air yang dirawat dan terjamin kualiti dan kebersihannya.

"Penggunaan air telaga dan boring dari bawah tanah walaupun dilihat jernih, ia tidak dirawat dan mereka boleh terdedah kepada penyakit bawaan air seperti taun dan demam kepialu.

"Adalah amat penting kita menggunakan air yang dirawat bagi menjamin kesihatan,'' katanya

Kompleks Mahkamah gempar panggilan bom

Posted:

Kompleks Mahkamah gempar panggilan bom

Kompleks Mahkamah gempar panggilan bom

KUALA TERENGGANU 24 Ogos - Kakitangan dan pelawat di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini gempar apabila diarah mengosongkan bangunan itu dengan segera gara-gara panggilan bom palsu yang diterima pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi setelah polis menerima panggilan daripada seorang individu yang memaklumkan terdapat sebutir bom di tingkat sembilan bangunan itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Abd. Halim Ishak berkata, sejurus menerima maklumat itu, satu pasukan Unit Pemusnah Bom diarahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, hasil pemeriksaan hampir setengah jam di seluruh bangunan mendapati tiada bom ditemui.

"Kita tidak pasti apa motif individu berkenaan membuat panggilan palsu dan tidak berasas ini namun kita telah mengesan nombor talian yang telah digunakan iaitu melalui talian telefon bimbit.

"Siasatan akan diteruskan bagi mengesan perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab itu," katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah itu hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kompleks Mahkamah, Hakim Zainal Abidin Kamarudin memberitahu, ketika menerima maklumat tentang ancaman bom berkenaan, mahkamah baru mula bersidang.

Katanya, sebaik sahaja menerima panggilan tersebut kesemua pelawat dan kakitangan diarah keluar dari bangunan itu dengan segera.

Minyak masak jadi taruhan

Posted:

Minyak masak jadi taruhan

Minyak masak jadi taruhan

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
utusankelantan@utusan.com


Kerja-kerja pembungukusan dengan menggunakan peralatan terkini menjimatkan masa. – utusan/Mohd zuharman Mohammad Nor


KOTA BHARU 24 Ogos – Bukan mudah untuk menggapai kejayaan. Melainkan tekad yang jitu, diiringi usaha serta keikhlasan. Sebab itu pernah orang berkata, 'asas utama sebelum melakukan sesuatu perkara, nawaitunya biarlah ikhlas barulah natijahnya adalah kejayaan dan keberkatan.

Menyedari hakikat itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Tanjung Pauh Group Sdn. Bhd., Datuk Hilmi Yusuff bertekad memulakan bidang perniagaan sehingga sanggup meletakkan jawatan sebagai tenaga pendidik yang sudahpun menjanjikan kehidupan selesa.

Berkat kesabaran dan kegigihannya itu ternyata membuahkan hasil apabila hari ini dia bergelar sebagai usahawan berjaya dalam mengendalikan syarikat yang menjalankan operasi pembungkusan minyak masak berjenama DW7.

Malah lebih membanggakan, syarikat miliknya itu dikatakan milik bumiputera yang terbesar menceburi bidang tersebut. Apatah lagi kilang serta pejabatnya terletak di kampung kelahiran beliau sendiri iaitu di Kampung Beris, di tepi jalan utama menuju ke Bachok dari Kota Bharu.

Ini semua kerana beliau mahu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat di samping lebih mudah untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan di kawasan tersebut.

Tidak hairanlah, dengan bermula dari bawah, merentasi pelbagai onak dan liku sebelum mencipta kejayaan, maka beliau kini dianggap sebagai ikon oleh sebilangan besar ahli perniagaan masa kini.

Ketika berkongsi pengalamannya, Hilmi berkata, beliau sendiri tidak pernah terlintas untuk berada di tahap sekarang biarpun impian itu sememangnya tertanam di dalam dirinya sejak remaja lagi.

Sewaktu mengimbau sejarah awalnya, beliau tidak pernah melupakan sokongan sahabat handai termasuk ahli keluarga sendiri sehingga membuatkan impiannya ke arah itu bertambah kental lalu bertekad meredah liku serta ranjau.

"Saya memulakan perniagaan membungkus minyak masak pada 2001 dengan menggunakan sebuah mesin yang semuanya secara manual. Masa itu hanya beroperasi di dalam sebuah stor simen kecil milik bapa saya.

"Dari situ saya cuba tingkatkan dengan cara perlahan-perlahan sehinggalah dengan apa yang ada sekarang ini," katanya kepada Utusan Malaysia semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Menjawab soalan industri pembungkusan minyak masak menjadi pertaruhannya, Hilmi berkata, ia berpotensi untuk membantu penduduk kampung dalam sektor pekerjaan dalam jangka masa panjang.

Operasi pembungkusan minyak masak yang dijalankan oleh syarikat tersebut sejak lebih 10 tahun lalu kini boleh dikatakan melalui proses sistem teknologi canggih sepenuhnya yang mampu mengeluarkan sebanyak 31,680 kilogram sehari dengan bantuan tiga buah mesin berteknologi tinggi.

Bagaimanapun Tanjung Pauh Group tidak pernah lupa bahawa kelancaran operasinya sehingga kini bukan hanya semata-mata bergantung pada kemudahan termasuk lima buah lori tangki dimilikinya, tetapi bantuan kerajaan sentiasa menyediakan kuota yang mencukupi.

Pun begitu, bagi Hilmi, lebih daripada itu adalah kejayaan Tanjung Pauh Group secara tidak langsung telah membuka peluang kepada penduduk kampung sekitar menjana ekonomi bagi meneruskan kehidupan.

Menurut pengarahnya, Martinie Elmie Hilmi, Tanjung Pauh Group kini mempunyai tenaga kerja seramai 70 orang dan masing-masing bertanggungjawab dengan skop kerja masing-masing bagi membangun aktiviti perusahaan ke arah yang lebih mantap pada masa akan datang.

"Semua pekerja di sini terdiri daripada penduduk kampung di sekitar ini. Kita sengaja mengambil tenaga kerja tempatan kerana itu adalah hasrat CEO syarikat yang ingin membantu masyarakat pada awal memulakan perniagaan.

"Sebab itu kalau kita lihat konsep kerja di sini adalah menjurus kepada konsep kekeluargaan di mana kemajuan syarikat akan dikongsi bersama pekerja," katanya.

Katanya, konsep tersebut diperkenalkan bagi mewujudkan sikap budaya kerja tinggi di samping meningkatkan rasa tanggungjawab serta disiplin di kalangan tenaga kerja di syarikat berkenaan.

Mengulas lanjut tahap pencapaian syarikat sejak lebih 20 tahun beroperasi, boleh dikatakan ia amat membanggakan apabila produknya berjaya menembusi pasaran ke seluruh negeri ini khususnya dengan bekalan yang mencukupi.

Dengan kapasiti kuota yang diberikan kerajaan, katanya, syarikat tidak pernah mengalami krisis bekalan untuk dibekalkan bahan tersebut kepada pengguna terutama ketika menjelang musim perayaan di sepanjang operasinya.

"Setakat ini kita tidak pernah dilanda krisis sepanjang operasi. Kita ikut prosedur betul dalam membekal atau memasarkan produk. Kalau ada yang kata dilanda krisis, saya pun tidak tahu hendak cakap macam mana," katanya.

Ditanya perancangan masa depan syarikat yang kian meningkat, beliau berkata, tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya adalah memajukan syarikat kerana kemajuan syarikat akan turut menghasilkan kemajuan kepada semua warga kerjanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan