Jumaat, 26 Ogos 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


384 barang tiruan dirampas

Posted: 25 Aug 2011 01:39 PM PDT

Wilayah

 Alwi   (kanan) menunjukkan seluar dan baju tiruan yang dirampas di Ekspo Bazar Ramadan, Kuantan.

Alwi (kanan) menunjukkan seluar dan baju tiruan yang dirampas di Ekspo Bazar Ramadan, Kuantan.

Pegawai PPDNKK serbu tapak ekspo rampas baju, seluar, kasut

KUANTAN: Keberanian lima peniaga Bazar Ramadan berhadapan Terminal Pengangkutan Awam Makmur, di sini menjual barangan tiruan sejak 1 Ramadan lalu, berakhir apabila Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri mengadakan 'Ops Tiruan' di tapak ekspo berkenaan kelmarin.

Operasi yang diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa Tingkatan Kanan PPDNKK negeri, Ahmad Sabri Mohd Suri merampas 384 helai baju dan seluar serta kasut tiruan daripada tiga jenama terkenal dengan nilai rampasan RM11,020. Timbalan Pengarah PDNKK negeri, Alwi Abdul Hamid, berkata berdasarkan siasatan, tindakan berani lima peniaga terbabit disebabkan permintaan tinggi daripada peminat barangan berjenama.

Katanya, barang tiruan itu diperoleh dari negara jiran yang dijual pada harga RM20 hingga RM80.

"Harga murah yang ditawarkan peniaga menyebabkan orang ramai lebih berminat untuk mendapatkan barang tiruan berbanding yang tulen," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini semalam.

Alwi berkata, lima peniaga terbabit yang berumur antara 20 dan 40 tahun itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3(1)(b) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana menjual barangan tiruan berjenama.
Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua, denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali bagi kes perseorangan.

"Bagi syarikat pula, denda tidak melebihi RM250,000 dan kesalahan kedua pula denda tidak melebihi RM500,000," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan pemeriksaan di bazar Ramadan yang menjual pakaian berjenama dalam usaha menyekat penjualan barang tiruan di negeri ini.

"Kita juga sudah banyak kali menasihatkan peniaga supaya tidak menjual barang berjenama tiruan dan jika masih berdegil, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka," katanya.


Gelanggang futsal terbiar

Posted: 25 Aug 2011 01:37 PM PDT

Wilayah

LANTAI Gelanggang Futsal 1Malaysia di padang Maktab Sabah, Kota Kinabalu mula retak.

LANTAI Gelanggang Futsal 1Malaysia di padang Maktab Sabah, Kota Kinabalu mula retak.

Kelewatan penyerahan punca kemudahan disedia kerajaan tak dimanfaat

KOTA KINABALU: Tujuannya murni tetapi tidak disusuli dengan kemantapan pelaksanaan. Itulah yang terjadi kepada pelaburan kira-kira RM23.85 juta Kementerian Belia dan Sukan (Persekutuan) membina 159 Gelanggang Futsal 1Malaysia di Sabah seolah-olah tidak dihargai kerana ada antara kemudahan itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk memajukan sukan.

Gelanggang bernilai RM150,000 setiap satu itu siap dibina menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) dengan matlamat menyediakan peluang untuk belia terutama di luar bandar meningkatkan pembabitan dalam sukan tetapi tujuan berkenaan nampaknya tidak kesampaian. Masalah kelewatan penyerahan gelanggang kepada Pejabat Ahli Parlimen menyebabkan ada antaranya bukan setakat terbiar, malah terdedah kepada vandalisme, sekali gus menyimpang daripada sasaran membolehkan belia bergiat dalam futsal, sepak takraw, bola jaring, bola keranjang dan bola tampar.

Tinjauan Berita Harian di beberapa gelanggang itu di Sabah mendapati ada antara kemudahan berkenaan terbiar, manakala kemudahan lain seperti tandas dirosakkan tangan tidak bertanggungjawab.

Gelanggang Futsal 1Malaysia di padang Maktab Sabah, Jalan Maktab Sabah di bandar raya ini contohnya, bukan setakat sudah kehilangan tandas akibat dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab, malah lampu limpahnya terpaksa ditanggalkan bagi mengelak dicuri.

Wayar lampu di lantai gelanggang yang terjulur pula membahayakan nyawa mereka yang berada di gelanggang berkenaan.
Beberapa pihak yang tidak senang dengan kelewatan gelanggang itu dibuka kepada belia meminta Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah supaya segera mengambil tindakan bagi memastikan kemudahan sukan itu benar-benar memanfaatkan kepada belia.

Tidak tahan kerap didesak oleh belia untuk segera menggunakan gelanggang itu, Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar Pemuda UMNO Sabah, Bahrul Razha Chuprat, mendakwa gelanggang di Maktab Sabah yang belum dibuka kepada belia dan kian diancam masalah kerosakan akibat tidak diselenggara dengan baik turut mengelirukan belia.

"Belia di bandar ini tertanya-tanya bila gelanggang itu akan dibuka untuk mereka bersukan setiap petang? Mereka mendakwa arena itu hanya membazir peruntukan kerajaan, sekadar menjadi hiasan, jabatan lembap buat kerja dan sebagainya.

"Belum jelas kepada siapa gelanggang itu akan diserahkan. Belia di Kampung Sembulan, Tanjung Aru dan kawasan sekitar di bandar raya ini tidak sabar mahu memanfaatkan gelanggang itu," katanya kepada Berita Harian.

Beliau mendakwa, pembinaan gelanggang itu di kawasan padang sekolah berkenaan menyebabkan kebanyakan belia menyangka ia dimiliki sekolah berkenaan.

Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan di Keningau, Rosdi Padiman berkata, beliau sudah beberapa kali dipanggil pegawai jabatan berkenaan untuk bermesyuarat dengan penduduk kampung membincangkan penyerahan gelanggang di Kampung Banjar.

"Mesyuarat demi mesyuarat berlalu tetapi sampai sekarang tak ada tindakan," katanya.

Menjelaskan keadaan itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah, Mohd Dahali Matsin berkata, semua gelanggang itu siap dibina akhir tahun lalu sejajar peruntukan RMKe-9 yang perlu habis dibelanjakan sebelum 2011.

"Ada Parlimen yang ada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tidak kurang juga tiga DUN. Satu kawasan Parlimen dapat dua atau tiga gelanggang bagi menggalakkan pembangunan sukan. Gelanggang jenis A mempunyai gelanggang futsal, sepak takraw dan bola jaring," katanya.

"Jenis B ada gelanggang sepak takraw, bola keranjang dan bola tampar. Bagaimanapun, gelanggang A lebih banyak berbanding B. Ia dibina berdasarkan permintaan Ahli Parlimen. Setakat ini, cuma ada tiga gelanggang belum diserahkan kepada Parlimen iaitu di padang Maktab Sabah, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya dan SK Mutiara di bandar raya ini," katanya.

Bagi kawasan luar bandar, gelanggang diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau badan belia yang diberikan hak untuk mengutip bayaran antara RM10 hingga RM30 bagi setiap kali gelanggang digunakan.

Mengenai kerosakan tandas di Gelanggang Futsal 1Malaysia di padang Maktab Sabah, jabatan itu akan berunding dengan kontraktor bagi menjalankan kerja pembaikan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan