Ahad, 28 Ogos 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Ribuan lemang terjual sehari sebelum Syawal

Posted:

Ribuan lemang terjual sehari sebelum Syawal

Ribuan lemang terjual sehari sebelum Syawal

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my

LEMANG, ketupat, lontong dan nasi impit adalah antara juadah utama yang sering menjadi menu wajib pada pagi Syawal. Juadah tradisional yang dimakan bersama kuah kacang, rendang, serunding atau sayur lodeh itu kebiasaannya hanya dapat ditemui ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Semua masakan itu dianggap sebagai makanan 'ruji' untuk menyambut ketibaan Syawal.

Kebiasaannya lemang mudah didapati dijual di tepi-tepi jalan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Namun, bagi pengguna Lebuh Raya Pantai Timur, sama ada menuju ke Timur atau Barat, panorama peniaga menjual lemang boleh dilihat setiap hari walaupun bukan pada musim perayaan umat Islam itu.

Jadi, bagi mereka yang teringin menjamah hidangan tradisional ini di luar musim perayaan, kawasan hentian jualan lemang di Kilometer 30 menghala ke Timur dan Hentian Sebelah Gombak di Kilometer 21 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak adalah lokasi yang tepat untuk dikunjungi.

Betapa popularnya kawasan itu hinggakan pihak berwajib meletakkan papan tanda yang tertera 'Gerai Lemang Di Hadapan' sebagai pemberitahuan awal kepada para pemandu.

Azizah Asmara, 45, yang merupakan salah seorang daripada lima peniaga lemang di hentian tersebut memberitahu, operasi menjual lemang dijalankan setiap hari termasuk pada hari-hari bukan musim perayaan.

Menurutnya, sebelum lebuh raya tersebut dibina, dia sudah pun mula berniaga lemang. Ketika itu, lokasi jualan bertempat di tapak lama iaitu berhampiran Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan Gombak sebelum dipindahkan atas faktor keselamatan.

"Lemang-lemang yang dijual ini dimasak sendiri di rumah saya di Batu 6, Gombak Setia. Pada hari biasa, kira-kira 40 batang lemang dapat dijual dalam sehari manakala 100 batang lemang pula mampu dijual pada hujung minggu.

"Tiada lebihan lemang yang dijual semula pada keesokan harinya kerana lazimnya, semua lemang habis dibeli pelanggan," katanya sambil matanya melihat ke arah jalan jika ada pelanggan yang berkereta mahu berhenti dan singgah di gerainya.

Katanya, gerai lemang di hentian tersebut dibuka pada pukul 9 pagi hingga lewat malam setiap hari dan beroperasi 24 jam pada malam raya.

Lazimnya, lebih 1,000 batang lemang dapat dijual sehari sebelum hari raya dan senario tersebut berlanjutan hingga seminggu hari raya berlangsung.


SELAIN lemang, gerai yang diusahakan Azizah turut menjual rendang daging dan ayam, sambal petai, serunding dan juga petai.


"Setiap hari pada pukul 3 pagi, saya dan suami akan bangun untuk bakar lemang yang mengambil masa selama tiga jam. Begitulah rutin setiap hari sebelum mula membuka gerai," katanya.

Elak berkerak

Lemang diperbuat menggunakan beras pulut, santan dan garam tetapi Azizah punya cara tersendiri untuk membakarnya. Menurut Azizah, perkara yang perlu dititikberatkan adalah penjagaan api untuk membakarnya. Suhu yang ideal perlu dijaga rapi bagi mengelakkan lemang jadi hangus dan 'berkerak'.

"Bagi mengelakkan terjadi sedemikian, kami membakarnya menggunakan arang supaya kepanasannya sekata seterusnya lemang akan masak cantik dan boleh tahan sehingga tiga hingga empat hari," ujar pemilik gerai lemang nombor lima itu.

Juadah lemang sememangnya tidak 'sempurna' dinikmati tanpa rendang. Kesemua gerai lemang lebuh raya itu turut menjual pelbagai jenis rendang iaitu rendang ayam, rendang daging, rendang kambing, serunding dan sambal petai yang dijual pada harga antara RM5 hingga RM8 manakala lemang pula dijual RM6 bagi saiz kecil dan RM7 bagi saiz besar.

Namun pada Hari Raya Aidilfitri, Azizah memberitahu harga setiap lemang naik RM1 kerana harga bahan mentah menjelang hari raya meningkat. Sungguhpun begitu, harganya masih berpatutan bagi para penggemar lemang.

Mungkin bagi kebanyakan daripada pelanggan, rasa semua lemang sama sahaja. Namun setiap penjual lemang mempunyai resipi tersendiri sehingga ada pembeli setia yang akan datang di gerai kegemaran masing-masing.

"Lemang akan sedap jika kita lebihkan santannya. Lemang yang dijual di sini sentiasa dipanaskan supaya pembeli dapat menikmatinya dengan lazat.

"Ia perlu dimasak hingga pecah minyak santannya. Jika tidak, lemang akan cepat basi. Ada di antara pelanggan bawa lemang yang saya bakar untuk dijual hingga ke Taiwan, Singapura dan Indonesia," katanya yang memperoleh pendapatan RM300 sehari pada hari biasa hingga ribuan ringgit pada musim perayaan.

Azizah turut menjual variasi lemang dengan rasa tambahan iaitu lemang jagung dan lemang pulut hitam jika ada permintaan. Meskipun istimewa, lemang tersebut tidak boleh disimpan lama berbanding lemang biasa.

Azizah menambah, rahsia kelazatan lemang juga terletak pada penggunaan buluh dan daun pisang yang baharu selain menggunakan santan yang segar.

"Kini, bukan orang Melayu sahaja yang gemarkan lemang. Orang Cina, India malah mat saleh pun turut menggemarinya.

"Selain menjual di sini, saya juga menerima tempahan jika ada pelanggan yang mahu membeli lemang dalam kuantiti yang banyak," katanya sambil memberitahu ada pelanggan yang membentang tikar di belakang gerainya semata-mata mahu menikmati lemang yang masih panas bersama keluarga.

Sama seperti Azizah, pemilik gerai lemang nombor tiga, Rosmah Mohd. Amir, 31, juga sudah berniaga di kawasan itu sebelum lebuh raya tersebut dibuka.

"Pada umur 11 tahun saya sudah mengikut pak cik saya berniaga lemang dan pada ketika itu sebatang lemang berharga RM2.50 sahaja dengan saiz panjang buluh yang tidak seragam.

"Kini, saya dan adik-beradik yang lain mewarisi perniagaan menjual lemang daripada ayah kami," kata Rosmah sambil tangannya cekap mengopek buah petai sementara menunggu kelibat pelanggan.

Bermula subuh

Menurut Rosmah, malam hari dia hanya membasuh buluh dan memasukkan daun di dalam buluh. Seterusnya, beras pulut dan santan diisi selepas waktu subuh.

Selepas subuh iaitu kira-kira pukul 6.30 pagi, Rosmah dengan adik-adiknya mula sibuk menyediakan lemang untuk dibakar.

"Ketika membakar lemang kita boleh gunakan kayu api atau arang. Kalau guna kayu api, apinya sentiasa perlu dijaga sebaliknya kalau menggunakan arang, penjagaannya senang sikit tetapi tempoh memasaknya pula lebih lama.

"Resipi lemang kami juga berbeza daripada yang lain kerana ia adalah resipi sendiri. Antara bahan tambahan dalam lemang kami adalah bawang merah, bawang putih dan buah keras yang ditumbuk halus," ujarnya.

Anak kedua daripada sepuluh beradik itu memberitahu, lemang yang dijual bukan sahaja mendapat sambutan pada hari raya malah turut menjadi tumpuan pada perayaan Tahun Baru Cina.

Jika musim perayaan, rendang yang dijual Rosmah agak istimewa sedikit kerana ia menggunakan ayam kampung yang dibela sendiri. Tekstur dagingnya lebih lembut dan manis berbanding ayam biasa.

"Sudah menjadi kebiasaan, sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri kami

adik-beradik tidak menang tangan memenuhi permintaan lemang daripada pelanggan.

"Selain menjualnya di sini, ada juga orang datang ke rumah untuk membeli lemang secara borong yang dijual pada RM5 sebatang," katanya sambil memberitahu gerainya ditutup pada hari Rabu atau Selasa tetapi berniaga setiap hari pada hari raya.

Tambah Rosmah, lemang digemari oleh setiap lapisan masyarakat tidak kira kaum.

"Mat saleh dan warga Jepun juga menyukainya. Mereka boleh makan sebatang lemang seorang yang dicicah dengan gula, susu pekat dan kaya.

"Selain lemang pulut biasa, saya juga menjual lemang pulut hitam, lemang jagung, lemang durian dan lemang kacang soya tetapi ia hanya dibuat andai ada permintaan," jelasnya.

Pelbagai jenis rendang turut dijual di gerainya dengan harga RM5 sahaja selain menjual petai yang dibeli daripada orang Asli.

Promosi lemang kepada pelancong

Posted:

Promosi lemang kepada pelancong

Promosi lemang kepada pelancong

SETIAP hari ribuan kenderaan melalui rentangan lebuh raya yang menghubungkan ibu kota dengan negeri-negeri di Pantai Timur.

Perjalanan yang mengambil masa yang lama menyebabkan ramai pemandu mengambil kesempatan berhenti seketika di kawasan rawat dan rehat yang disediakan untuk mengisi perut, membasahkan tekak ataupun membeli cenderamata.

Seorang pengguna Lebuh Raya Pantai Timur, Shaharuddin Musa, 53, sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Pahang atas urusan kerja.

Kakitangan swasta itu sedia maklum mengenai kewujudan gerai lemang yang beroperasi setiap hari di situ namun dia tidak pernah singgah untuk membeli hidangan tradisional itu.

"Ini kali pertama saya singgah membeli lemang kerana teringin pula nak makan lemang sebelum hari raya.

"Jika rasanya menepati selera saya, pasti setiap kali melalui lebuh raya ini saya akan singgah membelinya," katanya.

Shaharuddin menyifatkan penjualan lemang secara harian itu sedikit sebanyak dapat mempromosikan juadah tradisional. kepada pelancong asing yang singgah berehat di hentian tersebut.

"Mereka yang teringin menikmati juadah wajib hari raya ini juga tidak perlu menunggu sehingga hari raya kerana mereka boleh mendapatkan juadah tersebut di sini. Tidak semua tempat menjual lemang setiap hari," ujarnya.

Hamidon Mohd. Shazali, 31, yang baru pulang dari rumah ibu mertuanya di Gua Musang, Kelantan turut singgah membeli lemang.

Alasannya sama seperti Shaharuddin iaitu dia teringin hendak menjamah lemang yang sinonim dengan kedatangan Syawal yang bakal diraikan tidak lama lagi.

Hamidon yang berasal dari Grik, Perak memberitahu bahawa dia sendiri tahu cara membuat lemang.

"Oleh kerana proses menyediakannya mengambil masa lama, saya mengambil keputusan untuk beli sahaja untuk merasa lemang di sini sedap atau tidak.

"Jika sedap, saya akan datang lagi dan menguar-uarkan kepada rakan-rakan lain," katanya sambil mencadangkan supaya Kementerian Pelancongan menjadikan Hentian Rehat Gombak Arah Barat sebagai destinasi yang wajib dikunjungi pelancong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan