Utusan Online - Kota |
Posted: TBS-BTS sudah bersiap sediaOleh NUR NAZLINA NADZARI SEHINGGA semalam, suasana TBS-BTS di Bandar Tasik Selatan masih lengang tetapi terminal itu sudah bersiap sedia untuk menghadapi peningkatan mendadak penumpang. KUALA LUMPUR 25 Ogos – Esok sehingga minggu depan merupakan tempoh yang penting bagi Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) di sini. Ini kerana sepanjang tempoh itu segala kelengkapan dan kemudahan di premis itu serta kesiapsiagaan para petugasnya akan diuji sepenuhnya. Peningkatan mendadak orang ramai di stesen itu sepanjang cuti musim perayaan ini, pertama kali bagi TBS-BTS akan menguji keberkesanan sistem di terminal serba canggih itu. Untuk itu, pengurusan terminal tersebut membekukan cuti hari raya semua petugasnya bagi memastikan perjalanan para pelanggan mereka ke kampung berjalan lancar. Memandangkan tahun ini merupakan kali pertama terminal bas itu beroperasi untuk Hari Raya Aidilfitri, persiapan awal telah dibuat bagi memastikan keselesaan serta keselamatan para pengunjungnya. Pengarah Urusan Maju-TMAS, Roslan Mohd. Shariff berkata, ini merupakan cabaran pertama bagi pihaknya dan semua anggota petugas di terminal itu. Katanya, dari segi operasi bas, pihaknya telah berjumpa dengan pengusaha-pengusaha bas di terminal terbabit untuk memastikan perjalanan penumpang mereka tidak terjejas. "Pihak pengurusan dan pengusaha bas saling berganding bahu dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik serta menjamin keselesaan pengguna. "Perjumpaan telah dibuat lebih awal, kira-kira sebulan lalu supaya matlamat ini dapat dicapai. Kami juga telah menghantar surat pada pengusaha bas supaya keadaan bas seperti brek dalam keadaan baik dan cukai jalan tidak tamat tempoh," katanya ketika dihubungi. Menurutnya, terminal bas yang beroperasi 24 jam itu juga sudah bersedia jika pihak kerajaan mahu menambah bilangan bas beroperasi di situ untuk musim perayaan ini. TBS-BTS dilengkapi 55 platform untuk 1,000 bas keluar dan masuk setiap hari, 150 perhentian teksi, 1,000 tempat letak kereta termasuk kawasan letak kereta khas untuk wanita. Dalam kesibukan mereka itu, namun Maju-TMAS tidak ketinggalan untuk bersedekah pada bulan Ramadan ini dengan mengadakan aktiviti mengagih iftar secara percuma kepada 200 penumpang setiap hari dan 300 pada hari minggu. Kata Roslan, pihaknya turut menyediakan kaunter membayar zakat fitrah bagi memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab mereka di situ. |
Jawi perkasa kurikulum hafazan SRA Posted: Jawi perkasa kurikulum hafazan SRAKUALA LUMPUR 25 Ogos - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sedang memperkasa kurikulum sekolah rendah agama (SRA) di bawah kelolaannya terutama dalam subjek hafazan bagi memastikan murid dapat menghafaz dengan penuh penghayatan. Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali berkata, sebelum ini subjek itu hanya memerlukan murid menghafaz tanpa elemen penghayatan tetapi ia dilihat kurang mendidik jiwa mereka agar menjadi lebih teguh di sisi agama. "Kita mahu mendidik murid yang mempunyai jiwa yang kuat dan tidak mudah terikut-ikut dengan pengaruh luar, terutamanya yang tinggal dalam kawasan Wilayah Persekutuan yang penuh dengan cabaran dan dugaan ini. "Kurikulum hafazan bersama penghayatan diharap akan membuatkan generasi akan datang bukan sahaja setakat celik al-Quran malah dapat menghafaz, memahami dan mengamalkan isi kandungannya serta memiliki sifat atau ciri-ciri ulul albab atau peribadi cemerlang," katanya. Che Mat berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Khatam Al-Quran Perdana SRA dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Jawi 2011 di Masjid Negara di sini baru-baru ini. Kira-kira 5,000 murid SRA dan KAFA dari ibu negara dan Putrajaya yang diketuai oleh munabbih (pembimbing), Hassan Al-Fadhli Abdul Rahman memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran kepada orang ramai. Tambah Che Mat, terdapat kira-kira 85 SRA di seluruh Kuala Lumpur serta Putrajaya ketika ini dan ia akan ditambah secara berperingkat-peringkat sehingga menjadi 91 buah menjelang 2013. Dalam pada itu, ujarnya, Jawi akan membina sebuah kompleks sekolah menengah agama terbesar di Bandar Seri Permaisuri dekat sini pada 2013 yang dijangka mampu memuatkan sehingga 1,200 pelajar. "Aspek pembelajaran di kompleks itu merangkumi penyediaan pelajar untuk melanjutkan pengajian ke luar negara," jelasnya. |
Posted: UMNO Batu agih sumbangan rayaBUNG Mokhtar Radin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim sambil diperhatikan oleh Yahaya Mat Ghani pada majlis penyampaian bantuan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Batu di Sentul, baru-baru ini. KUALA LUMPUR 25 Ogos – Sebanyak RM71,000 diperuntukkan oleh UMNO Bahagian Batu untuk diagih-agihkan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim sebagai sumbangan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ketua Bahagian tersebut, Datuk Yahaya Mat Ghani berkata, peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab Barisan Nasional dalam memastikan golongan yang memerlukan itu tidak terbiar di waktu umat Islam lain sedang bergembira. "Saya lihat di Bahagian Batu ini, kebanyakan masyarakatnya hidup dalam serba kekurangan. Ramai yang menetap di perumahan awam dan Projek Perumahan Rakyat, jadi mereka ini semua perlu dibantu," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Semarak Ramadan di Masjid Amru Ibni Al Ass, Bandar Baru Sentul, di sini baru-baru ini. Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap bapa angkat kepada UMNO Bahagian Batu. Pada majlis tersebut, seramai 250 orang terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim, warga emas, dan orang kurang upaya menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan makanan. Turut menerima sumbangan adalah wakil badan bukan kerajaan, surau dan masjid di bahagian tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan