Utusan Online - Utara |
- Pemandu lori, tunang maut kemalangan
- Lori terbalik, lebuh raya sesak
- Lima klinik desa akan dibina di daerah Batang Padang
Pemandu lori, tunang maut kemalangan Posted: Pemandu lori, tunang maut kemalanganOleh ASLIZA MUSA
KUALA KANGSAR 10 April – Seorang pemandu lori dan tunangnya terbunuh selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas dalam kemalangan yang membabitkan dua buah lori di Kilometer 256.9, Lebuh Raya Utara Selatan, malam tadi. Dalam kejadian pukul 6.15 petang itu, mangsa Nazri Idris, 45, dari Bidong, Kedah dan tunangnya, Nur Suzilawani Othman, 25, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang mati di tempat kejadian. Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, mangsa dan tunangnya dipercayai dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke Kelantan apabila lori yang dipandunya merempuh belakang lori muatan besi terpakai dari arah sama. Katanya, mangsa yang memandu lori membawa muatan konkrit gagal mengawal kenderaannya ketika menurun bukit selepas Terowong Menora. "Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk dan mati di tempat kejadian, manakala pemandu sebuah lagi lori tidak mengalami kecederaan" katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Abdul Gaffar berkata, mayat Nur Suzilawani berjaya dikeluarkan beberapa minit selepas kejadian, manakala mangsa kedua dikeluarkan enam jam selepas itu menggunakan kren oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar yang diketuai Penolong Penguasa Bomba 2, Mat Isa Abdul Rani. Akibat kemalangan itu Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke utara mengalami kesesakan trafik lebih enam kilometer. "Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan -APJ- 1987 yang dikategorikan sebagai kemalangan maut," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Lori terbalik, lebuh raya sesak Posted: Lori terbalik, lebuh raya sesak
NIBONG TEBAL 10 April - Aliran trafik di Kilometer 150, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Bukit Tambun di sini mengalami kesesakan lebih 10 kilometer apabila sebuah treler membawa muatan 18 tan beras terbabas lalu terbalik di laluan itu, hari ini. Kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu memaksa pengendali lebuh raya berkenaan menutup sementara laluan tersebut sehingga mengakibatkan kesesakan luar biasa hampir lima jam. Kesesakan menjadi lebih buruk gara-gara tindakan orang ramai yang singgah dan mengutip ratusan guni beras yang bertaburan di jalan raya. Difahamkan, kekecohan turut berlaku ekoran tindakan segelintir pengguna jalan raya yang tidak sabar lalu membuat pusingan U di tengah-tengah kesesakan di Plaza Tol Juru yang terletak kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian. Jurucakap PLUS Expressway Bhd. memberitahu, kemalangan dipercayai berlaku ekoran tindakan sebuah kereta yang mengubah laluan dari kanan ke kiri lebuh raya sehingga menyebabkan treler berkenaan yang berada di laluan sama, hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik. "Sebuah kren dibawa ke tempat kejadian mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengangkat treler itu yang terbalik di tengah-tengah lebuh raya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Pemandu serta kelindan treler tersebut yang cedera ringan kini menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap, dekat sini. Menurut jurucakap itu, pihaknya terpaksa membuka laluan alternatif menggunakan salah satu laluan bersebelahan lebuh raya itu bagi mengatasi kesesakan lalu lintas. Sehingga pukul 9 malam ini, kira-kira 10 kilometer dari persimpangan Seberang Jaya menuju ke Bukit Tambun masih sesak ekoran kerja-kerja memunggah beras oleh pekerja syarikat berkenaan. | ||
Lima klinik desa akan dibina di daerah Batang Padang Posted: Lima klinik desa akan dibina di daerah Batang PadangTAPAH 10 April - Sebanyak lima buah klinik desa beserta kuarters kediaman akan dibina di daerah Batang Padang dalam tempoh dua tahun lagi. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, itu merupakan antara projek pembangunan kesihatan yang dilaksanakan kerajaan negeri. Katanya, antara klinik desa yang akan dibina adalah di Temoh Stesen; Batu 17, Jalan Pahang; Kampung Batu Melintang, Tapah; Kampung Poh, Bidor dan di Kampung Guntong, Sungkai. "Melalui Rancangan Malaysia Ke-10 kerajaan negeri telah menerima peruntukan RM371.23 juta bagi membiayai program-program yang berkaitan kesihatan. "Peruntukan ini menunjukkan kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional sentiasa meletakkan kesihatan rakyatnya sebagai antara agenda penting dalam pembangunan negara," katanya. Beliau berucap pada Karnival Kesihatan Dewan Undangan Negeri Chenderiang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Hwa Min, Temoh di sini hari ini. Karnival itu dirasmikan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan