Ahad, 10 April 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Tempias penyakit pendatang asing

Posted:

Tempias penyakit pendatang asing

Tempias penyakit pendatang asing

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

PERSOALAN kesan kebanjiran pendatang asing di Malaysia bukan sahaja meliputi aspek sosial, ekonomi dan budaya malahan keselamatan dan kesihatan terutamanya terhadap warganegara Malaysia sendiri.

Walaupun kebimbangan umumnya melibatkan keseluruhan warga asing tetapi risiko utama penyebaran penyakit berjangkit adalah golongan pendatang asing yang masuk secara haram dan tidak diketahui tahap kesihatan mereka.

Kemunculan semula beberapa penyakit yang telah dihapuskan atau jarang ditemui serta beberapa penyakit baru di negara ini telah diperakui beberapa pihak sebelum ini mempunyai kaitan dengan kemasukan pendatang asing dan kini semakin membimbangkan berikutan peningkatan laporan kes wabak penyakit berjangkit.

Bagi Dr. Muhammad Ishamuddin Ismail, isu warga asing membawa masuk penyakit berjangkit merupakan satu isu serius bagi rakyat dan perlu ditangani segera oleh semua pihak.

Beliau yang merupakan Pensyarah serta Pakar Runding Bedah Jantung dan Paru-Paru, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berpendapat, pendatang dari negara dunia ketiga seperti Indonesia dan Bangladesh paling banyak menyumbang kepada masalah tersebut.

"Kita dapat lihat beberapa kes penyakit berjangkit yang selama ini sudah terkawal dan rendah bilangannya di kalangan rakyat Malaysia kembali meningkat.

"Penyakit seperti Tuberkulosis (tibi) atau batuk kering yang kembali meningkat menjadi contoh penyakit yang dipercayai berkaitan dengan kemasukan pendatang asing berkenaan," katanya.

Selain tibi, beberapa penyakit lain yang dikhuatiri boleh atau telah disebarkan pendatang asing termasuk selesema (Influenza A H1N1 atau H5N1), malaria, HIV/AIDS, hepatitis, polio dan banyak lagi akibat daripada jangkitan bakteria, virus, parasit atau mikroorganisma lain.

Dr. Muhammad Ishamuddin menjelaskan, selain penyakit yang telah lama terkawal, beberapa penyakit yang jarang ditemui atau belum pernah ditemui di negara ini juga mungkin ada kaitan dengan kemasukan pendatang asing.

"Leptospirosis (kencing tikus) merupakan penyakit yang jarang ditemui di negara kita tetapi kini semakin kerap dikesan sementara jangkitan virus Adeno pula seperti mencatatkan peningkatan yang juga berkemungkinan akibat perhubungan dengan warga asing.

"Bagaimanapun, kes melibatkan virus Adeno kebelakangan ini mungkin kejadian terpencil dan perlu dikaji dengan lebih rapi dan mendalam untuk mengesan dari mana jangkitan bermula," ujarnya.

Media sejak beberapa minggu lalu melaporkan kejadian jangkitan virus Adeno, H1N1 dan juga Leptospirosis di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak dan Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Beberapa pelatih Pulapol dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan tersebut sementara ramai lagi dikuarantin untuk rawatan.

Dr. Muhammad Ishamuddin turut mengingatkan orang ramai bahawa penyakit berjangkit terutamanya daripada pendatang asing bukan sahaja merebak melalui sentuhan (perhubungan secara terus, bendalir badan) atau vektor (nyamuk, tikus, lalat), malahan melalui makanan yang diurus atau dijual golongan tersebut.

"Oleh kerana itu, penekanan perlu diberikan kepada kesedaran umum dalam melindungi kesihatan diri dan masyarakat setempat dan bukan sekadar bergantung kepada pemantauan pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan.

"Mereka perlu melaporkan kepada pihak berwajib jika mengesyaki penyakit berjangkit berpunca dari sumber tertentu (seperti pekerja asing yang menguruskan makanan) sementara pihak berkuasa perlu bertindak dengan segera jika menerima laporan," tegasnya.

Secara asasnya, kebanjiran pekerja asing terutamanya yang mengurus dan menjual makanan di gerai, restoran mahupun pasar malam berkemungkinan besar menyumbang kepada penularan beberapa penyakit berjangkit tertentu seperti kejadian virus Adeno baru-baru ini.

Ini terutamanya jika pekerja asing berkenaan masuk secara haram dan tidak menjalani pemeriksaan kesihatan atau mendapat imunisasi dan rawatan sewajarnya untuk mengelak penyebaran penyakit yang dihidapi mereka.

Situasi sebegini telah beberapa kali disahkan hasil siasatan Kementerian Kesihatan terhadap laporan penularan penyakit tertentu seperti malaria, tibi dan polio yang akhirnya terbukti bermula dengan pendatang asing yang menjadi pembawa atau penghidap penyakit tersebut.

Untuk menyekat penularan penyakit daripada pendatang asing, Dr. Muhammad Ishamuddin mencadangkan kemasukan mereka dikawal dengan lebih ketat bagi memastikan pemeriksaan kesihatan menyeluruh dibuat untuk setiap individu yang masuk secara sah sementara yang masuk secara haram diperangi habis-habisan.

"Pemeriksaan kesihatan perlu dijalankan di negara asal dan juga di sini untuk pekerja asing yang ingin masuk ke Malaysia, sementara permit kerja tidak sepatutnya diberikan tanpa pengesahan pemeriksaan serta jaminan langkah pencegahan penyakit berjangkit telah diambil.

"Selain penyakit lama dan baru, kita juga perlu ingat ada warga asing yang masuk secara sah atau haram boleh dan telah menyebarkan penyakit melalui hubungan seks (STD).

"Penyebaran STD juga perlu dipantau di kalangan warga asing yang menjalankan kerja tidak senonoh di negara ini supaya tidak dipindahkan kepada penduduk tempatan secara sengaja atau tidak (melalui bendalir badan)," katanya.

Kebanjiran pendatang asing sememangnya bukan lagi sesuatu yang pelik kerana di penjuru mana sekalipun pasti ada golongan ini yang bekerja atau menetap secara sah atau haram di Malaysia.

Selain kegusaran sosial, budaya atau keselamatan yang ditanggung rakyat Malaysia, ancaman kesihatan kini menjadi belenggu baru yang dikhuatiri menggugat masa depan generasi muda pewaris negara.

Namun, tugas menangani kebanjiran warga asing dan mengekang masalah yang dibawa bersama bukan terletak di tangan penguatkuasa sahaja. Tanggungjawab itu perlu dipikul setiap seorang daripada kita yang mengaku warganegara Malaysia.

Para majikan, contohnya, tidak boleh sekadar memikirkan untung dan upah murah dalam mengambil pekerja asing tanpa memastikan mereka masuk secara sah atau tidak, di samping memastikan sikap, budaya dan tahap kesihatan pekerja itu tidak akan memudaratkan orang lain kelak.

Orang ramai juga perlu mengubah sikap mengambil mudah isu ini dan berhenti melepaskan tanggungjawab kepada pihak berkuasa semata-mata sementara pihak berwajib pula tidak boleh berlembut lagi.

Hentikan bersekongkol dalam menyorok dan menerima kehadiran pendatang asing tanpa izin dengan melaporkan aktiviti mereka, di samping mengelakkan daripada menggunakan perkhidmatan atau membeli produk yang mereka tawarkan.

Jika kita mengeluh kebanjiran pendatang asing tanpa izin sememangnya menjadi beban kepada semua, maka kerana itu jugalah semua pihak perlu bersatu dalam mengawal dan mencegah golongan itu daripada terus menguasai dan membelenggu hidup kita.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Artis, tatasusila dan kita

Posted:

Artis, tatasusila dan kita

Artis, tatasusila dan kita

P. RAMLEE seorang artis. Populariti P. Ramlee sama dengan pelakon-pelakon masa kini. Tetapi P. Ramlee lebih dihormati kerana beliau tahu menghormati masyarakatnya.

Ketika pelakon masa kini lebih banyak bercakap tentang hal-hal peribadi, P. Ramlee ketika popular dulu bercakap tentang hal masyarakat.

P. Ramlee bukan saja berkawan dengan kelompok artis popular masa itu, malah beliau mempunyai hubungan sangat baik dengan sasterawan. Walaupun sasterawan tidak popular tetapi P. Ramlee meluaskan dunianya di luar tempurung artis popular.

Itulah yang lainnya antara P. Ramlee yang diingati kerana pemikirannya berbanding pelakon sekarang dengan skandal yang tidak sudah.

Selepas pemergiannya pada 29 Mei 1973, kalangan sasterawan khususnya penyair menulis penghargaan mereka kepada P. Ramlee.

Kalangan sasterawan bukan saja kehilangan teman malah pejuang yang sama-sama menyedarkan masyarakat. Tetapi sebahagian pelakon sekarang lebih banyak dibenci masyarakat kerana hilangnya santun dan susila.

Sebahagian artis hari ini memijak santun dan susila. Mereka menunaskan tanggapan sendiri bahawa kuasa seni mereka sangat luar biasa. Mereka melanggar hukum adat, budaya dan agama tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Masyarakat bukanlah semuanya dapat menerima benih kerosakan begini hanya kerana mahu berhibur. Banyak yang bosan dan marah dengan sikap begini.

Artis itu sendiri membawa maksud orang yang bergelumang dengan kerja seni dan kerja seni pula menuntut kesedaran yang tinggi terhadap nilai-nilai yang dijulang oleh masyarakat. Dalam kata lain, artis sepatutnya lebih peka daripada orang biasa kerana mereka diberikan jiwa yang halus, akal budi yang tinggi.

Sepatutnya artis itu sendiri membentuk peribadi dan nilai yang hendak dibawa kepada masyarakat. Tidak boleh menjadi pak turut, orang lain ligat bercerita tentang hal-hal peribadi dan tidak memegang tatasusila sebagai tunjang, dia pun ikut seperti itu.

Ada artis yang tampil dengan pakaian sopan, malah tidak pernah bergambar berpelukan lelaki perempuan boleh popular. Jadi, kenapa tidak mencontohi yang baik kalau yang baik juga boleh berjaya?

Mereka memperalatkan seni yang didokongi dan kalau seni itu menuntut korban susila sekalipun mereka sanggup kerana kononnya seni sudah menjadi 'darah daging'.

Mereka bercakap tanpa berfikir dan hasilnya kehadiran mereka tidak kiralah dalam lakonan atau nyanyian lebih menyedihkan daripada menghiburkan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan