Selasa, 5 April 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


e-Filing mudahkan pembayar cukai

Posted:

e-Filing mudahkan pembayar cukai

e-Filing mudahkan pembayar cukai

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my



TAHUN ini genap tiga tahun, Nor Lyanna Shorlokman, 27, menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia iaitu melakukan proses mengisi borang nyata cukai pendapatan.

Sebaik menerima borang EA daripada pihak sumber manusia majikannya, tanpa melengah anak kelahiran Muar, Johor itu segera menyempurnakan proses berkenaan.

"Saya mula melakukan proses mengisi borang nyata cukai pendapatan sejak tahun kedua bekerja. Berdasarkan gaji yang diperoleh saya dikira layak. Inisiatif ini tidak dipengaruhi oleh sesiapa tetapi ia lahir daripada diri sendiri yang ingin menyumbang kepada negara.

"Lagipun, saya difahamkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhak mengambil tindakan dengan menyenaraihitam individu yang didapati sengaja mengelak daripada mengisytiharkan cukai pendapatan," jelas Nor Lyanna atau mesra disapa Lyanna, graduan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Tambah eksekutif pemasaran di sebuah syarikat swasta itu, golongan anak-anak muda yang sudah bekerja dan layak membayar cukai seharusnya mengisytiharkan cukai pendapatan.

Jelas Lyanna, masih ramai golongan muda mengambil sikap sambil lewa, barangkali kurang pendedahan dan tidak mengetahui impak negatif kepada diri sendiri serta negara.

"Saya fikir, LHDN patut menggiatkan lagi usaha mengadakan kempen-kempen, bengkel atau membuka kaunter bagi menjelaskan kepada eksekutif muda tentang kepentingan mengisytiharkan cukai pendapatan. Kempen ini perlu dilakukan dari semasa ke semasa tiga bulan sebelum tempoh proses itu dibuka.


HASIL cukai yang diperoleh daripada masyarakat yang layak membantu menyumbang pada meningkatkan taraf ekonomi negara


"Selain menekankan matlamat, objektif proses mengisi borang dan mengisytihar cukai pendapatan, saya juga berharap LHDN menerangkan lebih lanjut mengenai sistem e-Filling. Berdasarkan pengalaman peribadi pada mulanya memang sukar untuk mengisi borang dalam talian tetapi segala proses menjadi mudah dan lancar apabila mendapat tunjuk ajar daripada petugas LHDN," tutur Lyanna yang mengkhusus jurusan pengiklanan.

Bagi Norseha Jamaludin, 52, pula dia berasa lega setiap kali selepas melakukan proses mengisi borang cukai pendapatan. Anak kelahiran Selangor itu cukup memahami bahawa setiap hasil cukai yang dikutip LHDN sebenarnya membantu meningkatkan ekonomi negara.

"Saya jarang menunggu sehingga ke saat akhir kerana tidak mahu berdepan dengan kesesakan talian. Kebiasaannya, saya lebih selesa melakukan proses mengisytihar cukai pendapatan menggunakan e-Filling di kaunter LHDN kerana mendapat bantuan daripada petugas.

"Jika di rumah atau di pejabat segala kemusykilan sukar untuk diutarakan. Menariknya, jika kita mengisi dan menghantar cukai pendapatan sebelum tempoh berakhir, dalam masa dua minggu pengguna menerima wang lebihan cukai," ulas guru Matematik dan Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur itu.

Secara ringkasnya, mengisytihar dan membayar cukai pendapatan merupakan tanggungjawab bersama memandangkan ia merupakan satu mekanisme perkongsian sumber kekayaan bagi setiap rakyat. Proses tersebut tidak boleh dipandang enteng. Masyarakat yang layak membayar cukai berdasarkan jumlah gaji dan pendapatan yang diperoleh perlu menjalankan tanggungjawab itu setiap tahun.

Proses memberangsangkan

Hasil pungutan cukai berkenaan digunakan untuk menjana ekonomi dan infrastruktur negara seperti membaiki dan menambahbaik kemudahan awam.

Dalam pada itu, Pengarah LHDN cawangan Jalan Duta, Er Lee Keng, memuji tindakan pembayar cukai yang telah selesai proses mengisi dan menghantar borang nyata cukai pendapatan.


PROSES nyata cukai pendapatan menggunakan kaedah e-Filling lebih, tepat dan selamat.


"Sejak proses mengisi borang cukai pendapatan secara e-Filling dibuka pada 1 Mac lalu, saya lihat pembayar cukai mula menghantar borang cukai pendapatan pada kadar segera. Proses ini dilihat semakin memberangsangkan apabila 80 peratus pengguna menggunakan sistem e-Filling berbanding secara manual.

"Kemudahan sistem e-Filling memberikan impak positif pada proses mengisytihar cukai pendapatan. Menerusi kaedah e-Filling mereka berpeluang melaksanakannya di mana-mana saja dalam tempoh 24 jam. Asalkan, mempunyai komputer dan Internet," tutur Lee Keng yang turut menyatakan kini tiada alasan bagi pembayar cukai untuk bersesak-sesak atau beratur panjang di kaunter manual LHDN.

Selain itu, Lee Keng menyeru agar semua pembayar cukai individu yang tidak mempunyai pendapatan sampingan supaya menghantar segera borang cukai pendapatan sebelum 30 April 2011.

"Ia bagi mengelakkan kesesakan talian dan pada masa yang sama memudahkan pihak kami menguruskan pembayaran semula lebihan cukai kepada mereka jika ada. Pembayar cukai yang lewat mengemukakan borang cukai pendapatan sama ada menerusi borang kertas (manual) atau e-Filling, akan dikenakan penalti.

Lengkapkan dokumen

Menyentuh mengenai keperluan yang perlu dititikberatkan sebelum melakukan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan, Penolong Pengarah Unit Khidmat Pelanggan LHDN cawangan Jalan Duta, Norhabibah Hamidon, 37, memberitahu, pembayar cukai yang pernah menggunakan e-Filling perlu menyediakan nombor rujukan cukai pendapatan dan nombor pin.

Ini termasuklah menyediakan dokumen penting seperti penyata gaji daripada majikan iaitu borang EA atau EC dan resit-resit tuntutan sebelum memasukkan data-data ke dalam e-Filling.

"Dokumen yang lengkap memudahkan proses mengisytiharkan cukai pendapatan anda. Jika semua dokumen yang diperlukan sudah dikumpulkan, proses menyempurnakan e-Filing kurang daripada 10 minit. Sebab itulah, kami sentiasa mengingatkan pembayar cukai menyimpan segala resit dan dokumen penting untuk mendapat pelepasan.

"Namun, pembayar cukai tidak perlu menghantar borang EA atau EC, resit premium insurans, resit pembelian buku atau perubatan. Dokumen sokongan berkenaan perlu disimpan selama tujuh tahun untuk memudahkan LHDN menyemak sama ada tuntutan itu adalah benar," jelas Norhabibah ketika ditemui Kosmo! di LHDN cawangan Jalan Duta.

Bercerita tentang cabaran sepanjang mengendalikan tempoh proses mengisytihar cukai pendapatan, Norhabibah yang sudah selama 11 tahun berkhidmat di LHDN menyatakan, beliau sudah lali dengan kerenah pembayar cukai.

"Ada sesetengah individu enggan menggunakan sistem e-Filling. Mereka beranggapan proses mengisytiharkan cukai pendapatan menggunakan komputer dan Internet adalah remeh kerana ia perlu dibuat satu persatu. Bagi kelompok ini mereka lebih selesa menggunakan kaedah manual.

"Saya anggap ini sebagai cabaran dan masa yang sesuai untuk LHDN memperkenalkan kepada pembayar cukai sistem e-Filling. Apatah lagi, petugas kami sentiasa bersedia menghulurkan bantuan," jelas Norhabibah yang turut menyatakan sistem e-Filling lebih pantas dan mudah kerana dalam tempoh 10 minit ia dijamin selesai.

Justeru, enggan membiarkan para pengguna terpinga-pinga tanpa bantuan maka, LHDN memastikan setiap syif menempatkan 10 petugas di kaunter e-Filling. Ia seiring dengan pegangan Prinsip Lima Bintang yang diamalkan LHDN iaitu Sedia, Salam, Senyum, Segera dan Selesai.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ketagihan permainan dalam talian

Posted:

Ketagihan permainan dalam talian

Ketagihan permainan dalam talian


KEKURANGAN infrastruktur berkaitan akses Internet di negara-negara miskin Asia telah melonjakkan lagi minat remaja untuk mengetahui lebih lanjut tentangnya.


SAMBIL mata memandang paparan skrin penuh khusyuk dan jari-jemari menekan papan kekunci komputer, seorang remaja Kemboja, An Sopheak bagaikan dibuai ke alam fantasi adiwira kuno China.

Dikelilingi ramai lagi remaja lelaki lain, kelihatan wajah-wajah mereka begitu asyik dalam dunia khayalan permainan dalam talian di kafe Internet yang gelap dekat ibu negara Kemboja.

Senario tersebut sudah menjadi kebiasaan di serata Asia. Namun, bagi salah sebuah negara paling miskin yang mempunyai kadar penggunaan Internet paling rendah berbanding negara lain, senario itu adalah sesuatu yang baru.

"Saya berasa sangat cool apabila adiwira saya menjadi semakin gagah," kata Sopheak yang berusia 16 tahun ketika berehat sebentar daripada bermain permainan paling popular di negara berkenaan Justice X Wars II (JXII).

Kemboja yang mempunyai kepadatan penduduk kira-kira 14 juta orang hanya mencatatkan 78,000 pengguna Internet pada tahun 2009 mengikut data terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi capaian Internet di negara tersebut meningkat secara mendadak.

Dengan lebih banyak kafe Internet dibuka, permainan dalam talian semakin mendapat tempat di hati golongan remaja bandar yang tidak mempunyai sambungan Internet di rumah mereka.

"Sudah menjadi kebiasaan, trend 'kegilaan' terhadap permainan dalam talian berkembang di negara yang mempunyai kadar sambungan rendah.

"Sering kali faktor yang membataskan perkembangan ini di negara-negara kurang mewah adalah infrastruktur dan perkakasan komputer bukan disebabkan kekurangan keinginan," kata juruanalisis industri di ABI Research, Michael Inouye.

Perkara yang sama turut berlaku di Nepal, sebuah negara miskin mempunyai kadar capaian Internet rendah.

Dianggarkan kira-kira satu peratus daripada 28 juta penduduk di negara tersebut mempunyai akses dunia maya tetapi golongan remaja akan membanjiri kafe-kafe Internet di Kathmandu untuk bermain permainan berkaitan pertarungan seperti World of Warcraft, Counter-Strike, Street Fighter dan Call of Duty.

"Saya sukakannya, ia rasa seperti sedang bermain permainan fizikal," kata Ronit Shrestha, 16, yang menghabiskan AS$0.50 (RM1.50) selama satu jam untuk memenuhi hobinya.

Sudeep Shrestha yang menguruskan pusat permainan elektronik di bandar tersebut berkata, populariti permainan dalam talian disebabkan kekurangan aktiviti ditawarkan kepada golongan remaja.

"Kami mempunyai kawasan terbuka yang terhad untuk orang ramai melakukan permainan fizikal. Permainan dalam talian tidak ubah seperti teknologi baru yang lain. Ia muncul agak lewat beberapa tahun lalu tetapi, menjadi popular dalam kalangan golongan remaja inginkan keseronokan di dunia maya," ujarnya.

Laman sosial

Bagaimanapun, negara Asia miskin seperti Bangladesh hanya mencatatkan kadar akses Internet sebanyak 0.5 peratus dan permainan dalam talian masih belum popular di negara itu.


WATAK adiwira seperti ini yang tangkas berlawan membuatkan ramai remaja Asia menghabiskan masa yang lama di depan komputer.


Golongan remaja di Dhaka lebih gemar menghabiskan masa melayari laman sosial seperti Facebook tetapi ia dilihat tidak akan berpanjangan. Bandar tersebut juga tidak menawarkan pusat permainan buat remaja.

Ia mungkin disebabkan Dhaka selalu mengalami masalah bekalan elektrik terputus yang menghalang pemain-pemain daripada berada dalam talian berjam-jam seperti pemain di negara lain.

Profesor Pembangunan Informatik Universiti Manchester Britain, Richard Heeks, berkata, daya tarikan permainan dalam talian adalah universal dan ia hanya menunggu masa sebelum fenomena tersebut tersebar meluas apabila dunia semakin mudah dicapai melalui rangkaian Internet.

"Dalam tempoh lima tahun, sudah pasti permainan dalam talian akan menjadi ikutan di Afrika," ramalnya.

Kafe-kafe Internet di Kemboja cuba mengaut keuntungan melalui trend tersebut dengan menawarkan potongan harga kepada gamer yang menggemari permainan JXII.

"Saya bermain permainan tersebut secara rahsia. Kadangkala ibu akan memukul saya kerana mengunjungi kafe Internet. Saya sangat takut jika ibu mengetahui saya bermain permainan dalam talian ini," kata Cheng Roth Donior, 14, yang menghabiskan masa tiga hingga lima jam di kafe Internet.

Perbelanjaan alam maya baginya menelan kos antara AS$0.50 (RM1.50) dan AS$1.20 (RM3.60) sehari yang merupakan elaun makanannya.

"Kadangkala saya tidak makan," katanya lagi.

Rawat ketagihan

Negara China dan Korea Selatan telah membuka kemudahan rawatan untuk membantu pemain tegar daripada ketagihan permainan dalam talian.

Lebih mengejutkan, di Korea Selatan permainan dalam talian telah dikaitkan dengan kematian. Pada tahun lalu, seorang lelaki berusia 32 tahun telah menemui ajal selepas dilaporkan bermain selama lima hari dengan hanya beberapa kali berehat sebentar.

Terdapat juga seorang kanak-kanak lelaki membunuh diri selepas membunuh ibu kandungnya kerana dimarahi apabila terlalu menghabiskan masa bermain permainan komputer.

Pusat permainan di Kemboja telah diarahkan agar tidak membuka kedai mereka berhampiran sekolah-sekolah untuk mengelakkan pelajar ponteng sekolah untuk bermain permainan komputer.

Guru Sekolah Tinggi Phnom Penh, So Sothy, mendedahkan kira-kira 10 peratus daripada 50 orang pelajarnya sering ponteng sekolah agar dapat bermain permainan dalam talian.

"Saya bimbang mereka lebih menghabiskan masa bermain permainan dalam talian berbanding belajar dan terlupa untuk menyiapkan kerja sekolah," kata guru berusia 27 tahun itu.

Bagaimanapun, masa yang diluangkan di hadapan komputer dapat memberi faedah kepada rakyat di negara sedang membangun, ujar Heeks.

"Terdapat banyak kelebihan ekonomi seperti membantu membina kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi dan asas sektor permainan pengkomputeran, walaupun ia agak baru untuk kami mengumumkan dengan sebarang kepastian," katanya. - AFP.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan