Ahad, 10 April 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Nahas 3 beranak

Posted: 09 Apr 2011 09:42 AM PDT

HULU SELANGOR: Pada mulanya hasrat satu pasangan suami isteri pulang ke Kampar, Perak, untuk mengambil anak mereka selepas empat hari ditinggalkan di kampung, namun, semuanya tidak kesampaian selepas tiga sekeluarga itu terbunuh dalam satu kemalangan di kilometer 40 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Serendah, di sini, pagi semalam.

Mereka meninggal di tempat kejadian akibat kereta yang dinaiki terjatuh ke dalam gaung selain turut dihempap sebuah lori yang merempuh kereta mangsa dari belakang.


Kereta jenis Proton Satria itu dipandu oleh Mohd Farid Idris, 29, manakala isterinya, Eirlenna Asrani, 28, duduk di bahagian belakang dan anak tunggal pasangan ini Muhammad Faiz Hakimi, 4, di tempat duduk hadapan.

Kemalangan ngeri yang berlaku kira-kira jam 6.30 pagi itu menyebabkan ketiga-tiga mereka meninggal dunia di tempat kejadian.


Difahamkan, Mohd Farid bertugas sebagai Pembantu Perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala isterinya bertugas sebagai kerani di pusat perubatan yang sama.


Pasangan itu terpaksa menghantar anak tunggal mereka ke rumah ibu Mohd Farid di Kampar, Perak, dekat sini, untuk dijaga kerana Eirlenna mengikuti kursus di Seremban, Negeri Sembilan empat hari lalu.

Ibu Mohd Farid, Hasmah Zahrain yang ditemui pemberita di Bilik Mayat Hospital Kuala Kubu Baru (HKKB), di sini, berkata dia tidak menyangka kepulangan anak dan menantunya di Kampar, Perak adalah pertemuan mereka kali terakhir.


"Semalam (kelmarin) Mohd Farid bersama isteri pulang ke rumah saya kira-kira jam 9 malam untuk mengambil semula anak mereka yang sangat dirindui.

"Namun, kira-kira jam 5 pagi tadi (semalam) mereka bertolak semula untuk pulang ke rumah mereka di Taman Segar, Cheras, bagi memulakan kerja seperti biasa," katanya.


Malangnya, ketika dalam perjalanan pulang, kereta dipandu Mohd Farid dirempuh sebuah lori dari bahagian belakang menyebabkan mangsa gagal mengawal keretanya sebelum diseret dan terjunam ke dalam gaung selain dihempap lori berkenaan.


Bagi abang mangsa, Mohd Husaini Idris menyifatkan kehilangan adiknya yang juga anak kelima daripada lapan beradik itu satu kehilangan besar dan tidak menyangka isteri dan anak mangsa turut terbunuh dalam kemalangan itu.


"Saya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10 pagi sebelum bergegas datang ke sini (HKKB). Ketika pulang ke kampung, Mohd Farid bersikap seperti sangat letih dan sering tidur.


"Malah, kakak ipar Eirlenna juga bersikap sama. Namun, kami tidak menyangka ia adalah perubahan dan petanda mereka akan meninggalkan kami buat selama-lamanya," katanya.


Difahamkan, jenazah tiga sekeluarga itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampar, Perak, petang semalam.


Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Selangor, Deputi Superintendan Ismail Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku apabila lori yang membawa muatan tar dipercayai dipandu oleh K Duraisingam, 40, tiba-tiba melanggar belakang kereta mangsa.


Akibat rempuhan itu, kereta jenis Proton Satria yang dipandu Mohd Farid Idris, 29, diseret sejauh 70 meter sebelum terjunam ke dalam tebing berhampiran.


"Lori yang dipandu lelaki terbabit turut gagal dikawal menyebabkan lori itu kemudiannya jatuh menghempap ke atas kereta yang dinaiki tiga sekeluarga terbabit.


"Mohd Farid bersama anaknya dan isteri yang duduk di tempat penumpang belakang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan dan kepala," katanya.


Sepasukan bomba dan polis bergegas ke tempat kejadian mengambil masa hampir satu jam sebelum berjaya mengangkat lori dan mengeluarkan semua mangsa yang tersepit.


Ismail berkata, pemandu lori itu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Wanita dalam pantang amuk dituduh buang bayi

Posted: 09 Apr 2011 09:39 AM PDT

JOHOR BAHRU: Pengunjung Jaya Square dekat sini, semalam gempar apabila seorang wanita yang masih dalam pantang mengamuk kerana dituduh cuba membuang bayi berusia 23 hari dengan meninggalkannya bersama beg berisi susu di atas sofa.

Terdahulu, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, Lew Pei Siee, 26, yang kelihatan tidak terurus meninggalkan bayinya itu di atas sofa berkenaan dan mengusung beg plastik ke terminal bas berhampiran untuk meminta sedekah.


Orang ramai yang lalu berhampiran sofa itu terkejut mendapati bayi lelaki berkenaan menangis sebelum seorang daripadanya membuatkan susu untuknya.

Saksi, Feng Ling Lee, 36, yang bekerja sebagai penjual tiket bas berkata, dia membantu mendukung bayi berkenaan manakala rakannya menyusukannya.


"Kami kemudiannya menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya, Tan Cher Puk, sebelum beliau bergegas datang.


"Tidak lama kemudian, seorang wanita mendakwa ibu kepada bayi berkenaan tiba-tiba muncul dan mula bising-bising kononnya kami cuba merampas anaknya itu," katanya di lokasi kejadian.

Menurut Feng, seorang daripada rakannya memaklumkan pernah melihat wanita terbabit beberapa kali di kawasan berkenaan sambil meminta duit daripada orang ramai kononnya untuk membeli tiket bas dan pelbagai lagi.


Selain itu, rakan Feng turut mendakwa ada melihat wanita terbabit beberapa kali tidur di sekitar kawasan berkenaan.

Lew yang mengamuk dan meminta bayinya itu dikembalikan kemudiannya ditenangkan empat anggota polis diketuai Ketua Polis Balai Johor Jaya, Cif Inspektor Mohamaden Bujang.


Lew dan bayinya kemudiannya dibawa ke Balai Polis Johor Jaya untuk siasatan lanjut sebelum seorang lelaki dipercayai suaminya, Loo Soon Aun, 27, yang bekerja di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Kota Masai dihubungi dan menjemputnya pulang.


Tan bagaimanapun enggan mengulas kejadian itu dan menyerahkannya kepada polis serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengambil tindakan.


Sementara itu, sumber polis berkata, maklumat diperoleh daripada orang awam mendapati wanita berusia 26 tahun terbabit sering membawa kanak-kanak berlainan ke lokasi berkenaan.


"Wanita dikenali sebagai Lew Pei Siee, 26, itu sering dilihat di kawasan berkenaan dengan membawa dua lagi kanak-kanak berumur dua dan empat tahun ke sana sejak sebulan lalu.


"Orang ramai di sana kemudiannya menyangka dia membuang bayi dan memaklumkan kepada kami untuk datang.


"Kami sudah mengesahkan dengan pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA) bahawa wanita terbabit melahirkan bayi lelaki berkenaan di sana pada 17 Mac lalu," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin mengesahkan kes berkenaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan