Jumaat, 8 April 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Kereta suami gilis lutut isteri

Posted: 07 Apr 2011 10:28 AM PDT

KUANTAN: "Peristiwa paling tidak dapat saya lupakan ialah melihat sendiri tayar kereta dipandu suami menggilis lutut kanan saya.

"Kejadian berlaku selepas dia melafaz cerai serta menolak saya hingga jatuh terlentang di atas jalan," kata suri rumah yang mahu dikenali sebagai Imah ketika menceritakan kejadian yang berlaku di Balok, di sini, awal pagi semalam.

Sebelum kejadian, Imah, 35, dari Dungun, Terengganu, mengunjungi suaminya yang bekerja di Balok dan berlaku pertengkaran antara mereka, selepas 'menangkap' suaminya bermain kayu tiga dengan wanita lain.

"Saya cuba memujuk suami kembali ke pangkuan keluarga, tetapi dia marah dan lebih pedih apabila suami melafazkan talak beberapa kali.


"Dia menolak saya dengan kuat menyebabkan saya jatuh terlentang dan ketika itulah kereta dipandunya menggilis lutut kanan saya," katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, adiknya membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan dan membuat laporan di Balai Polis Beserah sebelum mereka pulang ke Dungun, malam kelmarin.

Imah berkata, dia datang ke Balok bersama tiga anak serta dua adik lelakinya mencari suami yang sudah dua minggu tidak pulang ke rumah mereka di Dungun.

Menurutnya, suaminya berusia 39 tahun, bekerja sebagai mekanik mendakwa mendapat pekerjaan membaiki kereta di Balok menyebabkan dia berulang-alik dari Dungun sejak lebih dua bulan lalu.

Katanya, kecurangan suaminya dengan seorang janda anak dua mula dihidu mereka sekeluarga selepas suaminya bekerja di Balok.

"Sepanjang suami bekerja di Balok dan menumpang tinggal di rumah sepupu, saya menyedari perubahan sikapnya apabila dia tidak lagi menjawab panggilan telefon atau membalas SMS saya.

"Dia jarang pulang ke rumah dan jika pulang, semata-mata mengambil peralatan membaiki kenderaan yang ditinggalkan di bengkel di belakang rumah kami.

"Dia juga enggan bermesra dengan anak-anak dan pergi begitu saja tanpa meninggalkan wang belanja menyebabkan saya sekeluarga hidup dalam keperitan kerana saya tidak bekerja," katanya.

Imah dan suaminya sudah 16 tahun berkahwin dan mempunyai tujuh anak berusia antara sembilan bulan hingga 15 tahun.

Bagaimanapun, akibat kesempitan hidup, Imah hanya memelihara tiga anak yang masih kecil manakala empat lagi tinggal dengan ibu mentuanya di Kuala Terengganu.

Menurut Imah, kegagalan suami pulang menjenguknya membuatkan dia nekad datang ke Balok tiga hari lalu untuk mencari suaminya dan berbincang mengenai masalah yang sedang dihadapi.

"Saya juga ingin mendapatkan penjelasannya daripadanya selepas rakan-rakannya yang simpati dengan nasib saya memberitahu suami mempunyai teman wanita di Kuantan. Niat saya hanya ingin menemui di samping berbincang mengenai masalah kami dan memintanya kembali ke Dungun serta bekerja saja di bengkel lama," katanya.

Menurut Imah, sebelum kejadian dia menunggu suami di taman rekreasi berhampiran rumah sepupunya selama empat jam sehingga jam 1.30 pagi dan terpaksa masuk ke rumah sepupunya apabila anak bongsunya asyik menangis.

Kira-kira jam 2 pagi suaminya pulang dan terkejut melihat Imah, tetapi sempat memarahi anaknya yang berusia lapan tahun kerana menegurnya.

Imah menegur perbuatan suaminya serta mengajaknya berbincang dan apabila lelaki itu meluru keluar, dia mengikutnya dari belakang, tetapi terkejut kerana teman wanita suaminya berada di luar rumah bersama seorang lelaki.

"Ketika cuba memujuk suami kembali ke pangkuan keluarga, dia memarahi saya serta melafazkan talak beberapa kali sebelum menolak saya dengan kuat menyebabkan saya jatuh terlentang dan ketika itulah kereta dipandu suami menggilis lutut kanan saya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Mohd Haris Daud ketika ditemui mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pukul cikgu

Posted: 07 Apr 2011 10:20 AM PDT

KANGAR: Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar Hassan, di sini, bertindak kurang ajar apabila menumbuk muka seorang guru perempuan sehingga mangsa patah hidung, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, guru berkenaan dipercayai baru saja selesai mengajar subjek Sejarah sebelum keluar menuju ke bilik guru.

Difahamkan, suspek berang selepas guru terbabit Mariati Mat Ail, 37, ingin membawanya ke bilik guru disiplin selepas suspek didapati bergaduh di koridor sekolah itu.

Jurucakap Jabatan Pelajaran Negeri Perlis (JPNPs) berkata, mangsa terserempak dengan satu pergaduhan di mana suspek sedang membelasah seorang pelajar tingkatan satu di kaki lima sekolah itu sebelum cuba menyuraikannya.


"Mangsa menarik suspek yang pernah dibuang sekolah untuk dibawa ke bilik guru disiplin kerana membelasah pelajar berkenaan.


"Suspek yang enggan dibawa ke bilik itu tiba-tiba melepaskan satu tumbukan kuat tepat ke muka guru itu yang mengenai hidung mangsa," katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.

Katanya, hidung mangsa patah akibat tumbukan berkenaan menyebabkan mangsa pening sebelum terjatuh.

"Sambil menekup hidungya dengan kain, mangsa mengagahkan dirinya untuk bangun dan pergi meminta bantuan daripada rakannya yang berada di bilik guru sekolah itu.

"Suspek yang menumbuk mangsa kemudian melarikan diri sebelum mangsa pergi mendapatkan rawatan kecemasan di HTF dan membuat laporan polis kira-kira jam 4 petang, semalam," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros ketika dihubungi berkata, suspek berusia 14 tahun ditahan kira-kira jam 5 petang semalam sebaik saja menerima laporan mangsa.

Katanya, suspek sebelum itu membelasah seorang pelajar tingkatan satu sekolah berkenaan kerana tidak berpuas hati masalah peribadi sebelum disuraikan mangsa.

"Mangsa cuba menyelamatkan pelajar tingkatan satu terbabit sebelum dia ditumbuk suspek di muka.

"Polis memandang serius perkara ini kerana membabitkan kawasan sekolah dan akan menyiasat punca kejadian," katanya.

Menurutnya, polis menerima dua laporan kejadian itu, daripada guru terbabit dan pelajar tingkatan satu yang dibelasah suspek.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan