Isnin, 15 Ogos 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Pancing wang derma masjid

Posted: 14 Aug 2011 02:52 PM PDT

Wilayah

Tabung Ramadan sumbangan jemaah jadi sasaran pencuri

JOHOR BAHRU: Tabung Sedekah Ramadan di Masjid Taman Perling di sini, tidak terkecuali daripada menjadi sasaran mudah pencuri yang tergamak cuba memecahkan peti berisi wang tunai hasil sumbangan jemaah itu.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 1.30 pagi Jumaat lalu, dua lelaki berpakaian serba hitam dan bertopi keledar dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) ketika cuba memecahkan sebuah daripada lebih 10 peti sumbangan yang ditempatkan di sekitar masjid. Kehadiran mereka yang mencurigakan itu apabila tergamak memasuki masjid dengan memakai kasut, disedari beberapa anggota polis yang kebetulan singgah di sebuah gerai burger berdekatan. Langkah anggota polis mendekati untuk membuat pemeriksaan menyebabkan dua pemuda itu melarikan diri.

Namun tindakan mereka lari secara meninggalkan sebuah motosikal di laman masjid itu menyebabkan seorang daripada suspek berhasil ditahan polis kelmarin selepas mengesan berdasarkan nombor pendaftaran, manakala seorang lagi rakan suspek sedang diburu.

Usaha pencuri melarikan wang daripada tabung masjid berkenaan bukan baru, sebaliknya sudah dua kali berlaku tahun ini iaitu pada Mei dan Jun lalu yang turut dirakam menerusi CCTV yang dipasang.

Selain cuba memecah mangga kunci, ada di antara pencuri terbabit menggunakan taktik memancing secara melekatkan gam pada hujung lidi penyapu sebelum dihulurkan ke dalam tabung berkenaan dengan harapan dapat melekatkan wang kertas di dalamnya.
Setiausaha Masjid Taman Perling, Hashim Sulaiman, berkata beliau tidak menyangka penjenayah sanggup melakukan apa saja demi mendapatkan wang tanpa mengira hukum agama.

"Kejadian pada awal pagi Jumaat lalu, adalah kes ketiga tabung masjid dipecahkan tahun ini. Ia dipercayai dilakukan selepas waktu solat Isyak hingga Subuh kerana ketika tiada jemaah dalam masjid.

"Sebelum ini ada pencuri menggunakan taktik pancing dengan membalut gam pada hujung lidi penyapu dan mengambil wang derma tanpa memecahkan tabung berkenaan.
"Walaupun jumlah yang mampu diperoleh mereka tidak seberapa, tetapi ia memberi kesan kepada kami selaku ahli jawatankuasa masjid kerana wang itu sumbangan orang ramai untuk tujuan baik, tetapi disalah guna pihak tidak bertanggungjawab," katanya ketika ditemui semalam.

Hashim berkata, pencuri dipercayai mengambil kesempatan terhadap kelonggaran keselamatan masjid terbabit yang tidak berkunci pada waktu malam untuk melakukan jenayah.

"Ruang masjid ini tidak berkunci kerana kami mahu memberi kemudahan kepada musafir yang ingin menumpang pada waktu malam. Namun, ada individu tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kelonggaran ini," katanya.

Hashim berkata, selain memasang enam CCTV di sekitar kawasan masjid terbabit, pihaknya akan berusaha meningkatkan lagi rondaan kawasan sekitarnya pada sebelah malam dan awal pagi dalam usaha mengelak kejadian berulang.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Teksi kurang penumpang

Posted: 14 Aug 2011 02:36 PM PDT

Wilayah

 Mansor   (dua dari  kanan) bersama ahli persatuan di hadapan kereta sewa di perhentian  kereta sewa Jertih.

Mansor (dua dari kanan) bersama ahli persatuan di hadapan kereta sewa di perhentian kereta sewa Jertih.

Pemandu merungut saingan kereta sapu, bas ekspres, lokasi tak sesuai

JERTIH: Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Itu yang boleh diumpamakan nasib pemandu kereta sewa di daerah Besut yang kini menghadapi kesukaran mendapat penumpang berikutan pelbagai masalah, antaranya lokasi perhentian tidak strategik, persaingan kereta sapu dan ancaman daripada syarikat bas ekspres.

Keluhan itu disuarakan kira-kira 100 pemandu Persatuan Kebajikan dan Pemandu Teksi/Kereta Sewa Daerah Besut (PKPKSDB) yang kini dirundung kebimbangan mengalami masa depan gelap mereka jika punca masalah itu tidak dapat diatasi. Pengerusinya, Mansor Mat Ali, berkata pihaknya memandang serius nasib menimpa ahli persatuan itu kerana pendapatan mereka kini terjejas teruk berikutan masalah dihadapi, sekali gus menyebabkan ada antara mereka yang mengalami tekanan dan kekangan kewangan untuk menyara keluarga.

Beliau berkata, lokasi perhentian teksi dan kereta sewa kini yang tidak strategik dan jauh dari pusat bandar, lambakan perkhidmatan kereta sapu dan tindakan syarikat bas ekspres dari Kota Bharu, Kelantan yang 'mencuri' penumpang menyebabkan masalah dihadapi pemandu kereta sewa semakin serius kerana kekurangan penumpang.

"Bayangkanlah, dalam seminggu hanya sebuah teksi yang mendapat pelanggan untuk ke Kuala Terengganu kerana ketiadaan penumpang kerana mereka memilih menaiki bas.

"Banyak syarikat bas ekspres dari Kota Bharu yang menuju ke Kuala Terengganu dan Kuantan, Pahang menjadikan bandar ini sebagai transit 'mencuri' penumpang di sini.
"Namun, apa yang menghairankan, penumpang bas dikenakan caj tambang dari Kota Bharu, walaupun mereka menaiki bas di bandar ini. Tindakan mereka mengambil penumpang seperti itu menyebabkan kami tiada punca pendapatan kerana tiada penumpang," katanya dalam nada kesal dan kecewa.

Mansor berkata, selain itu ancaman pemandu kereta sapu juga menjadi punca kekurangan penumpang menyebabkan perhentian kereta sewa lengang tanpa penumpang, malah kedudukannya yang tidak strategik dan jauh dari pusat bandar menambahkan lagi parah masalah dihadapi pemandu kereta sewa.

"Purata hasil pendapatan harian pemandu teksi dan kereta sewa kini hanya sekitar RM30 sehari dan jumlah itu belum ditolak kos petrol. Ia jelas tidak mencukupi untuk pemandu menampung kehidupan dan menanggung keluarga.

"Kita sudah mengemukakan masalah perhentian yang tidak strategik yang digunakan sekarang kepada pihak Majlis Daerah Besut (MDB) supaya mempercepatkan projek pembinaan perhentian baru di kawasan pusat perniagaan Jertih Souq dan kita berharap permasalahan kita ini mendapat perhatian pihak berkenaan," katanya.

Mansor berkata, persiapan menyambut Aidilfitri bagi pemandu teksi dan kereta sewa terbabit tahun ini lesu kerana sehingga ini tiada tempahan perjalanan jarak jauh berbanding sebelum ini.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan