Utusan Online - Utara |
Projek kambing boer RM50 juta dimajukan Posted: Projek kambing boer RM50 juta dimajukan
TAIPING 24 Dis. - Kerajaan yakin projek ladang kambing boer nasional yang sedang dimajukan di Pondok Tanjung dekat sini akan menjadi pemangkin terhadap keperluan makanan negara. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany berkata, projek bernilai RM50 juta itu yang melibatkan kawasan seluas 770 hektar, mampu membekalkan bekalan daging dan baka kambing boer terbaik. Menurutnya, projek itu dilaksanakan secara ladang kontrak melibatkan Syarikat SBBC Corporation Sdn. Bhd., Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPV) dalam usaha membekal dan memasarkan kambing boer untuk keperluan dalam dan luar negara. "Kawasan ini juga akan mempunyai kilang untuk makanan ternakan, memproses makanan berasaskan kambing, baja ternakan dan rumah sembelihan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke ladang pengganda kambing boer di Pondok Tanjung dekat sini. Projek itu bermula sejak 2008 dan kini mempunyai 1,500 ekor kambing boer baka tempatan dan Australia. Devamany berkata, setakat ini sebanyak RM10 juta daripada peruntukan sejumlah RM20 juta telah disalurkan bagi projek tersebut untuk pembangunan infrastruktur asas ladang iaitu padang ragut dan jalan ladang manakala SBBC akan memperuntukkan RM24 juta bagi pembinaan 23 kandang kambing. Menurut beliau, projek itu apabila siap sepenuhnya akan mempunyai kira-kira 9,000 ekor kambing boer. Katanya, projek itu merupakan sebahagian daripada 29 projek bernilai RM468 juta yang dilaksanakan di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) melibatkan Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Tambahnya, NCER memberi fokus pada lima sektor iaitu pertanian, pembuatan, pendidikan, pelancongan dan infrastruktur pertanian. Selain itu, Devamany berkata, beberapa lagi projek ekonomi seperti pelancongan dan pendidikan sedang dilaksanakan di daerah ini, Kuala Kangsar dan Gerik. | ||
Kenderaan penguat kuasa disimbah cat Posted: Kenderaan penguat kuasa disimbah catIPOH 24 Dis. - Sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri disimbah dengan cat hitam di bahagian belakang dan kanan pemandu dipercayai angkara perbuatan tonto, malam tadi. Kejadian berlaku ketika sekumpulan lima pegawai PPDNKK sedang membuat siasatan berhubung maklumat yang diterima mengenai premis penjualan cakera optik haram di Pusat Perniagaan Greentown dan Taman Ipoh. Bagaimanapun, siasatan yang dilakukan selama dua jam bermula pukul 8 malam itu gagal menemui sebarang bukti kerana premis berkenaan tidak beroperasi manakala sebuah lagi sudah ditutup. Pengarah PPDNKK negeri, Mohd. Hilmi Mohd. Noor berkata, pihaknya tidak dapat mengesan individu yang disyaki menyimbah cat hitam pada kenderaan milik agensi itu kerana ia diletakkan jauh daripada premis yang sedang disiasat. Beliau berkata, kejadian ini merupakan kali pertama berlaku di Ipoh selepas sebuah kereta persendirian pegawai PPDNKK disimbah dengan cat merah di Taiping beberapa bulan lalu. "Meskipun sudah dua kali kejadian seperti ini berlaku, pasukan kami akan tetap meneruskan tugas membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang. "Ugutan seperti ini tidak akan sesekali membuatkan kita memberhentikan operasi sebaliknya usaha akan lebih dipertingkatkan bagi membendung penjualan cakera optik haram," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan siasatan tersebut kepada pihak polis selepas satu laporan mengenai kejadian itu dibuat tengah hari ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan