Isnin, 27 Disember 2010

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Amanat Abdul Aziz kepada guru

Posted:

Amanat Abdul Aziz kepada guru

Amanat Abdul Aziz kepada guru

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my


ABDUL Aziz Abdul Latif dan isteri, Noriah Abdul Majid diarak menaiki kereta kuda sempena persaraan wajib beliau sebagai Pengarah Pelajaran Negeri Pahang di pekarangan JPNP, baru-baru ini.


KUANTAN 27 Dis. – Golongan pendidik diibaratkan sebagai 'lilin' yang sentiasa berusaha menerangi pihak lain meskipun dirinya sendiri terbakar.

Begitulah besarnya pengorbanan seorang pendidik dalam memastikan anak bangsanya terus maju dan bertamadun.

Menyedari hakikat itu, satu majlis bagi meraikan bekas Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff yang banyak menaburkan jasa bagi memartabatkan mutu pendidikan di negeri ini.

Majlis 'Iringan Kasih Gamitan Rindu' sempena persaraan Abdul Aziz diadakan dengan penuh variasi bagi mengenang jasa tokoh pendidik terbabit.

Majlis itu ternyata meninggalkan nostalgia buat Abdul Aziz dan isterinya, Datin Noriah Abdul Majid sebagai tanda kasih 'anak buahnya' yang tidak pernah padam.

Abdul Aziz, 58, menamatkan kerjayanya dalam perkhidmatan awam setelah bergelumang dalam bidang pendidikan selama 34 tahun.

Anak kelahiran Raub yang lahir pada 9 Disember 1952 itu telah melalui pelbagai pengalaman pahit manis sebagai pendidik dengan kemuncak kerjayanya mengetuai Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) selama tiga tahun lapan bulan sebelum bersara wajib pada 8 Disember lalu.

Abdul Aziz yang berkelulusan Sarjana Pendidikan (Geografi) dari Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diberi tanggungjawab besar menerajui JPNP pada 1 April 2007.

Sepanjang kariernya, beliau telah meletakkan pendidikan di Pahang di tahap paling cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Kerjaya dan sejarah perkhidmatan beliau bermula sebagai guru akademik di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah di sini sebelum menjawat pelbagai jawatan seperti Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tersang, Raub; SMK Maran dan Sekolah Menengah Teknik Tengku Ampuan Afzan, Bentong.

Abdul Aziz kemudian dilantik sebagai Pegawai Pelajaran Raub, Ketua Sektor Pengurusan Perkhidmatan Pelajaran dan Pengarah Bahagian Pengurusan Pendidikan Pengurusan Teknik dan Vokasional.

Pada majlis yang penuh nostalgik itu, beliau menerima pelbagai cenderamata daripada Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, Yahya Zainal Abidin, Ketua-ketua Sektor, Ketua Unit JPNP, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri dan Kesatuan Kebangsaan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB).

Lebih menarik lagi, majlis itu diadakan serentak dengan ulang tahun kelahiran beliau ke-58.

Pada majlis itu, satu tayangan multimedia diadakan di lobi JPNP yang menceritakan pengalaman Abdul Aziz sepanjang 34 tahun berkhidmat sebagai pendidik.

Seterusnya, beliau menandatangani surat penyerahan tugas kepada Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Zainuren Mohd. Nor yang disaksikan Yahya dan para pegawai Kanan JPNP.

Abdul Aziz yang diiringi Yahya kemudian mengetip 'punch card' terakhir kira-kira pukul 5.10 petang sebagai tanda tamatnya perkhidmatan beliau sebagai pegawai perkhidmatan awam selama 34 tahun.

Beliau yang diiringi keluar dari pekarangan JPNP dengan menaiki kereta kuda bersama isterinya sambil ditarik oleh guru-guru dan para pegawai JPNP.

Berucap pada majlis persaraannya di hadapan 500 tetamu di pekarangan JPNP di Indera Mahkora di sini, beliau mengingatkan warga pendidik supaya sentiasa menjaga profesionalisme masing-masing dan kredibiliti jabatan daripada diperlekehkan oleh mana-mana pihak.

Tegasnya, institusi pendidikan terdedah kepada kritikan kerana ia dianggap paling hampir kepada kehidupan masyarakat yang sering menyuarakan pelbagai pendapat dan aduan membabitkan guru-guru yang mendidik anak-anak mereka.

''Oleh itu, warga pendidik tidak harus melatah jika menerima aduan atau kritikan daripada ibu bapa sehingga menimbulkan situasi salah menyalahkan sesama sendiri.

''Utamakan organisasi kerana melalui semangat kekitaan dan profesionalisme yang kukuh dalam kerjaya akan memudahkan usaha untuk mencapai kemajuan dan kejayaan dalam dunia pendidikan yang semakin kompetitif,'' katanya.

Menurutnya, sebarang 'pembetulan' yang berkaitan penambahbaikan organisasi mesti dibuat secara dalaman tanpa mendedahkan sebarang kelemahan ketara kepada pihak luar yang mungkin gemar mengkritik berbanding teguran membina.

Beliau mengakui sangat gembira bertugas di JPNP kerana mendapat sokongan padu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang sangat peka terhadap pendidikan rakyat negeri ini.

Pada masa sama jelasnya, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob sangat komited untuk meletakkan anak-anak negeri Pahang maju dalam pendidikan.

Abdul Aziz turut mengingatkan pendidik supaya sentiasa komited untuk memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dapat dicapai kerana ia menjadi kayu pengukur kejayaan organisasi yang dapat dinilai rakyat.

Di samping itu, tegasnya, pendidik harus mengambil tahu mengenai enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan satu daripadanya ialah meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti.

Menurutnya, NKRA dijadikan teras dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan tujuan memperkasakan sistem pencapaian kepada rakyat dan berimpak bagi mencapai Wawasan 2020.

''Para guru perlu berusaha menggembleng tenaga untuk mewujudkan perkhidmatan pendidikan yang adil, cekap dan cemerlang dalam memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Kepimpinan baik tingkatkan prestasi kerja

Posted:

Kepimpinan baik tingkatkan prestasi kerja

Kepimpinan baik tingkatkan prestasi kerja

KUANTAN 27 Dis. - Persaraan Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff dianggap sebagai kehilangan besar bagi warga pendidik negeri ini.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Yahya Zainal Abidin berkata, kewibawaan Abdul Aziz sebagai tokoh pendidik amat terserlah apabila mencatatkan banyak kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum sekali gus meletakkan Pahang setanding dengan negeri lain.

Menurutnya, Abdul Aziz sangat dikasihi dan disanjungi warga pendidik malah menyifatkan jasa-jasa beliau dalam memajukan pendidikan di Pahang tiada tandingannya.

''Abdul Aziz wajar dijadikan contoh sebagai ketua jabatan yang sangat mengambil berat terhadap hala tuju pendidikan negeri supaya pencapaiannya selari dengan arus perdana.

''Amanah dan tanggungjawab besar yang dipikul oleh warga pendidik perlu diteruskan dengan menjadikan idea dan cetusan minda beliau sebagai aspirasi," katanya ketika berucap pada majlis 'Iringan Kasih Gamitan Rindu' bagi meraikan persaraan Abdul Aziz di pekarangan JPNP di Indera Mahkota di sini yang dihadiri kira-kira 500 pendidik dari seluruh negeri.

Pegawai Perhubungan JPNP, Rosdi Ismail berkata, Abdul Aziz berjaya memantapkan organisasi pejabat pelajaran daerah (PPD) ke arah pengurusan yang lebih dinamik.

Katanya, beliau telah memastikan sistem penyampaian yang lebih efisien supaya dasar-dasar pendidikan sedia ada dan baru dapat disampaikan secara berkesan.

''Kepimpinan yang baik telah mendorong pegawai meningkatkan prestasi kerja, kreatif dan berinovasi bagi membantu negara mencapai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)," katanya.

Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Zainal Abidin Daud menyifatkan Abdul Aziz seorang pemimpin dan pendidik yang sangat berkualiti kerana berjaya menerajui pendidikan negeri dengan cemerlang.

Katanya, pendidik di Maran berikrar akan berusaha melaksanakan amanat beliau untuk mengangkat martabat pendidikan dalam bidang akademik, kokurikulum dan bina insan.

Bagi seorang guru, Noorshamsuddin Raja A. Latiff dari Jerantut, persaraan Abdul Aziz satu kehilangan besar dalam pendidikan negeri ini.

Seorang lagi guru, Kamaluddin Ibrahim dari Lipis berkata, jasa dan pengorbanan Abdul Aziz akan sentiasa dikenang oleh generasi baru pendidik di Pahang.

Katanya, rekod perkhidmatan cemerlang dalam bidang pendidikan di Pahang tidak akan padam malah akan dijadikan teladan supaya terus gemilang.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan