Jumaat, 31 Disember 2010

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Tuntut Ameng bayar RM85,000

Posted: 30 Dec 2010 10:40 AM PST

KUALA LUMPUR: "Saya dah minta, tapi dia suruh minta pada lelaki lain," kata A Aida ketika ditemui media di luar mahkamah selepas prosiding sebutan permohonan tuntutan nafkah tertunggak dua anaknya berjumlah RM85,000 difailkan terhadap bekas suaminya Ameng di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Pelakon dan penerbit, Aida atau nama penuhnya Zaidah Awang, 40, mendakwa Ameng atau nama penuhnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 42, tidak pernah membayar nafkah kepada dua orang anaknya sejak 17 Disember 2003 lalu.


Justeru, penerbit drama bersiri Halimah Jongang itu memfailkan permohonan tuntutan nafkah yang tertunggak selama 85 bulan pada 21 Disember lalu di mahkamah.

Pada prosiding sebutan kali pertama semalam, Hakim Abdul Walid Abu Hassan membenarkan permohonan tunjuk sebab (secara ex-parte) kepada Ameng atas kegagalannya membayar nafkah anak sehingga tertunggak.


Sehubungan itu, mahkamah membenarkan menguatkuasakan perintah mahkamah terhadap nafkah anak sejak enam tahun lalu itu yang akan dijalankan di Mahkamah Rendah Syariah pada satu tarikh yang ditetapkan.


Terdahulu ketika prosiding, Hakim Abdul Walid bertanyakan kepada Aida mengapa selepas enam tahun baru permohonan itu dibuat.

Aida yang diwakili peguam syarie Nor Azmi Mohd Arif dan Normawaddah Ramli berkata tujuan dia berbuat demikian untuk memberi peluang kepada bekas suaminya itu, namun sehingga kini dia masih gagal membayar nafkah.


Pada prosiding perceraian mereka, atas persetujuan bersama mahkamah memerintahkan Ameng membayar nafkah anak RM1,000 untuk dua orang anaknya Wan Az Aleesa, 14, dan Wan Azevanatassha, 9, yang perlu didepositkan ke dalam akaun pemohon sebelum atau pada 7 hari bulan setiap bulan selain menyerahkan hak jagaan anak kepada Aida.

Bagaimanapun Ameng didakwa gagal berbuat demikian.


Aida dalam afidavit permohonannya mendakwa sejak perintah mahkamah itu dia terpaksa menanggung keperluan dan perbelanjaan anak-anak mereka tanpa sebarang bantuan responden (Ameng) walhal sehingga kini tiada apa-apa perintah mahkamah yang membatalkan atau meminda perintah itu.


Dia turut mendakwa keengganan responden mematuhi perintah, jelas menunjukkan dia menghina mahkamah dan wajar diambil tindakan selanjutnya selain dilihat menafikan hak anaknya.


"Tindakan responden turut memberi tekanan kepada saya dan anak menganiaya dan menzaliminya," katanya.


Pasangan itu berkahwin pada tahun 1994 dan dikurniakan dua orang anak sebelum bercerai pada 17 Disember 2004.


Pada 1 November lalu, Ameng dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM4,000 serta diletakkan di bawah pengawasan selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah memasukkan ganja ke dalam badannya.


Ketika prosiding perbicaraan di peringkat bela diri, vokalis kumpulan Spring itu mencetuskan kontroversi apabila mendakwa terdapat konspirasi Aida dan suaminya Asisten Superintendan Suffian Sulaiman untuk menjatuhkannya.


Sebaliknya Aida dalam satu sidang media menggelar Ameng pembohong dan akan mengemukakan saman malu terhadap bekas suaminya itu kerana memfitnahnya dan suami selain mengemukakan permohonan tuntutan tunggakan nafkah.


Ameng yang popular dengan lagu Bourgenvilla dan Sampai Hati itu kini berkahwin dengan Sabariah Zakaria, 40, dan dikurniakan seorang anak, Wan Amar Haikal berusia tiga tahun.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Lihat adik terkapai-kapai

Posted: 30 Dec 2010 10:39 AM PST

KOTA KINABALU: Dek kerana takut dimarahi bapanya, seorang kanak-kanak menyimpan rahsia selama empat jam sebelum menceritakan bahawa adiknya hilang dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Inanam di Kampung Tatahan di sini, kelmarin.

Difahamkan, rahsia kanak-kanak berusia 11 tahun itu terbongkar apabila bapanya hairan kerana mendapati mangsa masih tidak pulang ke rumah kira-kira jam 8 malam, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Negro Abdul Rahman, 11, yang tidak tahu berenang gagal menyelamatkan adiknya, Sing, 9, yang dibawa arus sehingga ke tengah sungai sebelum terkapai-kapai dan akhirnya tenggelam.

Menurut Negro, sejurus sebelum kejadian, dia dan Sing bersama tiga rakan yang lain hanya bermain air di tepi sungai berkenaan.


"Pada mulanya, Sing tidak menyertai kami dan hanya duduk di atas tebing, namun dia tiba-tiba terjun ke dalam sungai walaupun sudah ditegah beberapa rakan lain,'' katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. Katanya, sebelum adiknya lemas, dia memanggil adiknya supaya naik semula ke tebing tetapi terkejut apabila mendapati Sing mula hanyut ke tengah sungai.


"Saya melihat adik cuba berenang ke tebing tetapi air sungai yang tiba-tiba menjadi deras menolaknya hingga ke tengah sungai.

"Dua rakan saya yang melihat kejadian itu turut terjun ke sungai cuba menyelamatkannya, namun gagal apabila Sing tenggelam dan tidak timbul lagi," katanya.


Rakan mangsa, Aiman Roben, 11, berkata, dia bersama seorang lagi rakan, Asbi Nor, 11, melihat Sing terkapai-kapai meminta tolong sebelum berusaha menyelamatkannya.

"Ketika itu, saya terus terjun ke sungai dan berjaya menyambut tangannya, namun gagal menariknya ke tepi dan terlepas akibat arus deras. Saya berenang semula mencarinya namun gagal,'' katanya.


Kejadian itu hanya dimaklumkan kepada ayah mangsa, Abdul Rahman Muslim, 40, sebaik dia pulang ke rumah kira-kira empat jam selepas kejadian.


Menurut Abdul Rahman, sebaik dimaklumkan, dia terus menghubungi bomba selain bergegas ke tempat kejadian bersama beberapa penduduk kampung mencari anak ketiganya itu.


"Saya berjanji kepada Sing untuk ke bandar hari ini (semalam) membeli persiapan sekolah dan terkilan kerana tidak sempat menunaikan janji," katanya.


Sementara itu, Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Lintas, Mohamad Nor Amit berkata, mayat Sing ditemui terapung di sungai terbabit jam 8.30 pagi semalam, kira-kira lima kilometer dari tempat mangsa dilaporkan lemas.


"Sebaik menerima panggilan kecemasan jam 9.35 malam, bomba melancarkan operasi mencari dan menyelamat membabitkan tujuh anggota dan dua jentera ke tempat kejadian," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan