Ahad, 26 Disember 2010

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Mengharap PRK yang 'tenang'

Posted:

Mengharap PRK yang 'tenang'

Mengharap PRK yang 'tenang'

Oleh LUQMAN HAZIQ
pengarang@utusan.com.my

SETELAH mengharung 13 pilihan raya kecil (PRK) sejak Pilihan Raya Umum 2008, kini tumpuan rakyat kepada perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, pada 17 Disember lalu.

Seperti pada pilihan raya umum sebelum ini, kerusi yang dimenangi Sulaiman atas tiket Barisan Nasional (BN) itu dijangka menyaksikan pertembungan satu lawan satu apabila pakatan pembangkang sepakat memberi laluan kepada Pas untuk menentang UMNO.

Mungkin calon 'kitar semula' Pas, Mohd. Saim Siran yang telah dua kali cuba menggugat kemenangan Sulaiman pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan 2008 ingin mencuba nasib sekali lagi.

Pada PRU 2004, Sulaiman menewaskan Mohd. Saim dengan majoriti 5,517 undi, namun Allahyarham berjaya mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU 2008 walaupun dengan majoriti 2,492 undi.

Namun, ramai yang mengatakan bukan mudah bagi pakatan pembangkang untuk memenangi hati lebih 14,511 pengundi di kawasan berkenaan yang terletak di Parlimen Labis.

Malah, kemesraan dan sikap prihatin Allahyarham yang sentiasa membantu penduduk yang terdiri daripada Melayu seramai 49.66 peratus, Cina (38.13 %), India (12.11 %) dan lain-lain kaum (0.10 %) yang diwakilinya, pasti menjadi 'tiket' berharga kepada calon baru UMNO di DUN berkenaan.

Apa yang lebih penting diharapkan semoga PRK kali ke-14 selepas PRU 2008 ini berlangsung dengan lebih 'tenang' dan beretika, setenang namanya iaitu DUN Tenang. Politik 'monyet' di hutan diharap tidak digunakan oleh parti dan pemimpin parti yang berkempen pada PRK itu nanti.

Mungkin inilah masa terbaik bagi semua pihak bahawa kempen politik di Malaysia tidak lagi perlu menggunakan pendekatan 'maki hamun' tetapi menawan hati pengundi dengan kebijaksanaan, visi dan misi parti serta calon yang bertanding.

Sebenarnya, rakyat sudah muak dengan maki hamun dan kenyataan sensitif yang sering melukakan dan mengguris 'hati' pihak lain.

Lebih murni andai PRK itu nanti berlangsung secara aman tanpa ada laporan atau aduan daripada sesiapa yang mendakwa dikasari atau disakiti pihak lain. Hindari aksi tendang terajang dan tumbuk menumbuk yang beberapa kali tercetus pada PRK dan PRU sebelum ini.

Peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjarakkan lebih jauh serta mengehadkan jumlah penyokong yang bersama-sama mengiringi calon pilihan parti masing-masing pada hari penamaan calon juga amat dihargai untuk mengurangkan risiko 'pertembungan' para penyokong parti-parti yang bertanding.

Isu serta kenyataan yang berbaur perkauman dan sensitif juga harus dipantau supaya ia tidak akan mencetuskan perasaan marah dan bertikam lidah antara pemimpin dan penyokong.

Usahlah dibebani lagi tugas pihak keselamatan dengan tindakan tidak bertanggungjawab serta pergaduhan yang mungkin mengakibatkan kecederaan.

PRK DUN Tenang ini juga sebenarnya medan 'ujian' bagi UMNO dan BN serta pakatan pembangkang untuk menilai sokongan rakyat terhadap parti mereka pada masa ini.

Walaupun ia tidak akan mencerminkan keadaan secara keseluruhannya, namun keputusannya nanti bakal memberi bayangan kepada parti yang bertanding mengetahui sejauh mana sokongan rakyat kepada mereka.

Faktor calon yang akan dipilih juga menjadi tumpuan kerana pengundi pasti akan membandingkan calon pilihan dengan Allahyarham Sulaiman yang dilihat telah meninggalkan legasi perkhidmatan baik kepada penduduk yang diwakilinya.

Justeru, UMNO harus meneliti siapa calon yang paling sesuai yang diterima oleh penduduk di DUN Tenang jika ingin terus mengekalkan kerusi tersebut. Seperti ingatan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diminta mengulas PRK di DUN berkenaan baru-baru ini, misi UMNO dan BN bukan sahaja untuk mempertahankan kerusi berkenaan, tetapi juga meningkatkan sokongan rakyat kepada BN.

Justeru, strategi yang digunakan harus bertepatan dan mampu mencapai misi tersebut selain calon anak tempatan yang mempunyai rekod perkhidmatan dan diterima penduduk setempat. Andai tersilap pilih, mungkin pakatan pembangkang mampu mencuri satu kerusi di Johor yang menjadi benteng ampuh UMNO dan BN selama ini.

BN kini memenangi 50 kerusi DUN di Johor pada PRU 2008, manakala DAP meraih empat dan Pas dua kerusi. Persoalannya, adakah UMNO akan ditentang satu lawan satu oleh pakatan pembangkang atau ada calon Bebas yang ingin mencuba nasib kerana suara calon Bebas masih belum 'bergema' dalam DUN Johor.

Jawapannya, hanya bakal terjawab pada hari penamaan calon pada 22 Januari ini. Namun, andai ada calon Bebas yang 'menyelit', ia hanya dilihat sebagai 'gangguan' pada pengundian yang ditetapkan pada 30 Januari ini. Adalah lebih baik membiarkan pertandingan dua penjuru di DUN Tenang antara UMNO dan Pas untuk menguji parti dan calon mana yang lebih diterima pengundi.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Belia dan patriotisme

Posted:

Belia dan patriotisme

Belia dan patriotisme

Oleh AZNAN BAKAR
pengarang@utusan.com.my

TAHUN 2010 bakal berakhir dan 2011 akan menjelma. Tentunya banyak perkara yang belum dilunaskan dan banyak juga yang masih berada di takuk lama. Isu-isu mengenai belia juga banyak mewarnai 2010. Daripada berita kejayaan hingga kepada pelbagai masalah yang membabitkan golongan itu.

Yang paling sinonim dengan mereka ialah gejala sosial. Sama ada dadah, bohsia, rempit, ragut dan seks luar nikah. Ia banyak membabitkan golongan belia.

Kewujudan semua masalah itu banyak berkaitan dengan ketiadaan jati diri. Satu lagi isu yang sering dibangkitkan ialah nilai patriotisme yang dikatakan semakin menipis dalam kalangan belia.

Belia dikatakan lebih suka mengejar kebendaan dan perkara yang berkaitan hiburan sehingga mereka lupa kepada nilai patriotisme. Ini menyebabkan mereka mudah terjerumus ke dalam pelbagai kancah masalah. Patriotisme adalah dari akar perkataan Inggeris 'patriot'. Ia berasal dari bahasa Greek iaitu 'patriotes' yang bermakna rakan senegara.

Secara umumnya patriotisme boleh dirujuk sebagai perasaan bangga dan cinta kepada negara dan sedia berkorban deminya.

Ia bersifat rohani, rasa cinta yang bersungguh-sungguh dan mempertahankan setiap simbol yang berkaitan dengan negara.

"Biarpun, kayu ukur patriotisme sangat subjektif, namun ia tetap boleh dilihat menerusi sikap kebanggaan individu menjadi warganegara sesebuah negara.

"Riak balas individu jika negara diperlekehkan dan membetulkan keadaan sekiranya berlaku salah laku dalam negara," kata Naib Presiden MAYC Kebangsaan, Budiman Mohd. Zohdi.

Kefahaman patriotisme adalah berbeza antara setiap individu dengan individu lain. Ia bergantung kepada bagaimana mereka dibesarkan dan pengalaman hidup yang dilalui. Jika ditanya kepada pejuang kemerdekaan dan para belia masa kini, tentunya akan berlaku pertembungan pendapat dari segi penghayatan patriotisme.

Sebab itu kata Budiman, makna patriotisme iaitu kecintaan kepada negara tidak akan berubah sampai bila-bila. Katanya, apa yang berbeza ialah pendekatan untuk menunjukkan rasa kecintaan tersebut. Apa pun cabaran pada 2011 amat mencabar rakyat negara ini termasuk masyarakat belia.

Pertembungan ekonomi Amerika Syarikat dan China dijangka akan memburukkan keadaan ekonomi dunia. Malaysia juga akan menerima tempiasnya. Penembusan jalur lebar yang semakin meningkat menyebabkan maklumat akan sampai ke setiap jendela biarpun tanpa dipinta.

Maklumat-maklumat ini jika gagal diurus dengan sempurna boleh menghakis identiti bangsa dan negara. Aliran maklumat sama ada yang bermanfaat mahupun yang negatif tidak mampu disekat.

Ini kesan daripada globalisasi yang mana ia telah mengubah trend kehidupan menjadi gaya hidup sejagat. Golongan yang menguasai media dan satelit akan menentukan corak kehidupan orang lain. Golongan pemilik itu yang akan menentukan perkara yang bakal dijadikan rujukan dalam hidup. Jika bahan siaran televisyen dari Amerika Syarikat, Hong Kong dan Indonesia yang menjadi rujukan rakyat negara ini, maka sudah tentu budaya masyarakat kita akan mengikut acuan budaya popular dari negara terbabit.

Maklumat-maklumat yang dihidangkan oleh negara tersebut menjadi model utama dalam proses sosialisasi masyarakat negara ini.

Sebab itu kata Budiman, semangat patriotisme mesti dipupuk dan disuburkan. Hanya melalui pemupukan semangat itu dalam kalangan generasi belia, sedikit sebanyak dapat dijadikan benteng bagi menghadapi ancaman budaya luar.

"Hanya dengan semangat ini ia akan menjadi benteng yang kekal untuk mencintai negara dan mempertahankan identiti diri," katanya.

Budiman memberitahu, Indeks Belia Malaysia (2008) yang dibentuk dari sejumlah 4,673 sampel yang berumur dari 15 hingga 40 tahun menunjukkan skor petunjuk Patriotik meningkat dari 68.2 pada tahun 2006 kepada 69.4 pada tahun 2008.

"Walaupun ada peningkatan terhadap skor tersebut, tetapi jika tidak dipelihara oleh generasi kini, tidak mustahil akan menyebabkan negara dijajah lagi walaupun dalam situasi yang berbeza," katanya. Penjajahan itu boleh berlaku melalui kemasukan doktrin pemikiran luar yang mempengaruhi belia yang mahukan ketidakstabilan politik berlaku dalam negara.

Ini dapat dilihat melalui sikap belia yang sanggup membakar Jalur Gemilang, tidak menghormati lagu Negaraku dan menonjolkan Malayan People's Anti Japanese Army (MPAJA) sebagai ikon patriotisme mereka.Doktrin luar itu yang menyebabkan belia kita sanggup memburukkan Malaysia di negara luar.

Sebab itu kata Budiman, kita tidak boleh alpa kerana ia adalah petanda kepada penghakisan nilai patriotisme. "Keadaan menjadi semakin sulit apabila tindakan ini disokong oleh individu-individu tertentu demi kepentingan politik kepartian mereka.

"Senario ini dijangka akan berterusan jika yang melakukan kesalahan tidak rasa bersalah kerana tidak didakwa, bahkan mencipta keegoan kerana disokong oleh puak yang berkepentingan," ujarnya. Untuk memastikan belia mempunyai benteng dan tidak terpengaruh dengan doktrin luar yang boleh melenyapkan nilai mereka, perlu ada proses untuk menyuburkan semangat dan nilai patriotisme.

Ini merupakan satu proses kehidupan yang panjang. Sama ada secara langsung atau tidak. Melalui pendidikan formal dan tidak formal.

"Pelan Strategik Patriotisme Negara yang menyeluruh dan komprehensif mesti diperkenalkan. "Ia bermatlamat agar semua rakyat negara ini mempunyai roh patriotisme dalam diri, memahami makna patriotisme dan menterjemahkan dalam tindakan.

"Penambahbaikan kurikulum pendidikan, kefahaman pemilik media cetak, elektronik dan sosial akan membantu meningkatkan semangat patriotisme," jelas Budiman. Selain itu, kepelbagaian masyarakat yang unik di negara ini mesti diurus dengan baik dan mengambil kira supaya semangat patriotisme dirasai dengan menyeluruh.

Untuk itu kata Budiman, gagasan 1Malaysia merupakan satu jenama nasional yang mesti disokong. Identiti etnik tidak boleh dibiarkan menjadi punca yang memecahbelahkan perpaduan hingga mengganggu gugat kestabilan negara. Malaysia adalah tanah tumpah darah setiap rakyatnya tanpa mengira kaum.

"Pepatah lama memperingatkan di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Nasionalis Allahyarham Dr. Burhanuddin Al Helmi pernah mengingatkan 'di atas runtuhan kota Melaka, ki ta dirikan jiwa merdeka'.

"Ahli Falsafah Rom pula mengungkapkan 'ubi panis, ibi patria' yang maksudnya di mana ada roti, di sanalah negaraku," ujarnya.

Seperti kata Budiman, tidak salah jika para belia menjadikan agenda menyuburkan semangat patriotisme sebagai azam utama tahun 2011.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan