Khamis, 30 Disember 2010

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


'Sukan perlu sokongan berterusan'

Posted: 30 Dec 2010 01:49 PM PST

Nasional

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat Malaysia bersama-sama terus menyokong pasukan sukan negara dengan rasa bangga, bukan saja ketika mereka mengecapi kemenangan, tetapi ketika berhadapan kekecewaan.

"Ahli sukan negara baik lelaki atau wanita amat memerlukan sokongan kita. Dalam pada itu, saya berharap kita bergembira menikmati cuti umum hari ini untuk raikan kejayaan kita dan seterusnya menyambut ketibaan tahun baru yang diharapkan akan lebih berjaya.

"Dua belas hari lalu, saya berkesempatan duduk bersama rakyat di Jalan Bukit Bintang untuk menikmati kegiatan masa lapang kegemaran kita, iaitu menonton perlawanan bola sepak. "Ketika itu saya berasakan diri saya bukan hanya seorang Perdana Menteri, tetapi seorang peminat sukan bola sepak. Kita akan menyaksikan satu perubahan besar kepada bola sepak Malaysia, ini dikuatkan lagi oleh barisan pemain muda malam tadi (kelmarin) ," kata Perdana Menteri dalam blog 1Malaysia, semalam.

Najib berkata, pemain pasukan kebangsaan mempamerkan bahawa disiplin, kerja berpasukan dan kegigihan adalah ramuan untuk mencapai kejayaan.

"Jika kita terus berusaha berteraskan semua nilai itu, kita mampu melonjakkan bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi. Tahniah kepada pasukan jurulatih dan Harimau Malaya atas kejayaan hebat ini. Kita sudah menikmati beberapa kejayaan penting dalam bidang sukan tahun ini, termasuk pencapaian cemerlang dalam Sukan Komanwel 2010 di New Delhi dan Sukan Asia di Guangzhou, China.

"Dengan kejayaan yang begitu sukar dicapai dalam bola sepak, menjadikan tahun ini begitu sukar dilupakan bagi sukan Malaysia. Semangat 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dipamerkan dengan penuh kebanggaan bukan saja oleh pemain di gelanggang, malah jutaan penyokong yang memberikan sorakan semangat untuk pasukan Malaysia menempa kejayaan," katanya.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

MTUC perlu bebas pengaruh parti politik

Posted: 30 Dec 2010 01:48 PM PST

Nasional

Pendekatan guna pentas demonstrasi tak lagi relevan

KUALA LUMPUR: Kekalahan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan jawatan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) kelmarin dilihat sebagai petanda awal dasar dan program transformasi kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak mula diterima rakyat khususnya golongan pekerja.

Keputusan pemilihan yang tidak memihak kepada Ketua PKR Cabang Kelana Jaya, Syed Shahir Syed Mohamud apabila kalah kepada bekas timbalan presiden kongres, Mohd Khalid Atan dengan majoriti 42 undi itu juga membuktikan kaedah dan pendekatan menggunakan pentas demonstrasi dan piket bagi memenuhi tuntutan ahli kesatuan tidak lagi relevan. Bagaimanapun MTUC yang menaungi 260 kesatuan sekerja dengan keahlian lebih 500,000 orang perlu menonjol sebagai badan bukan kerajaan (NGO) bebas daripada mana-mana pengaruh parti politik jika mahu dilihat sebagai pertubuhan memperjuangkan kepentingan dan nasib golongan pekerja.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, berkata perubahan kepemimpinan itu bertujuan memperingatkan kepemimpinan baru bahawa kepemimpinan lama lebih mengutamakan nilai politik sehingga membelakangkan isu dan kepentingan pekerja.

Beliau yakin kepemimpinan kerajaan BN semakin mendapat kepercayaan dan keyakinan di kalangan pekerja dan peluang yang diberikan itu seharusnya digunakan sepenuhnya oleh kerajaan untuk meningkatkan perancangan dan dasar supaya sokongan daripada golongan berkenaan akan berterusan.

"Kerajaan harus menggunakan peluang kerana peluang tidak datang dua kali," kata Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
Kelmarin, Syed Shahir yang menyandang jawatan presiden sejak 2004 mendapat 213 undi, manakala Mohd Khalid yang buat pertama kali bertanding jawatan Presiden MTUC menerima 255 undi.

Pensyarah Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Samsul Adabi Mamat, berkata keputusan pemilihan kongres memberi impak kepada politik semasa apabila reputasi pakatan pembangkang terutama PKR mula menurun sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, keputusan itu juga menjadi petunjuk kepada perubahan minda rakyat, sekali gus memberi ruang kerajaan untuk memperkasakan sokongan terhadap kerajaan melalui dasar yang lebih mesra kepada pekerja.

"Apa yang berlaku ketika ini membuka ruang kepada kerajaan melakukan usaha pemulihan kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan," katanya.

Penganalisis politik dari USM, Dr Mohd Zaini Abu Bakar, berkata kemungkinan ahli mahu melihat MTUC berubah dan melalui anjakan paradigma selain memerlukan kepemimpinan yang selari dengan dasar kerajaan.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan