Utusan Online - Mahkamah |
Posted: Suami isteri dihukum matiOleh ZABRY MOHAMAD
PULAU PINANG 29 Dis. – Sepasang suami isteri dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah, dua tahun lalu. Hakim Nurmala Salim menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Shahrizal Said, 33, dan Zarimah Yusoff, 30, setelah kedua-duanya gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan. Semasa keputusan dibacakan, Zarimah yang merupakan suri rumah serta suaminya seorang peniaga, kelihatan tenang. Keputusan itu bagaimanapun membuatkan suasana bertukar pilu apabila ahli keluarga pasangan dari Alor Setar, Kedah itu yang memenuhi galeri awam tidak dapat menahan kesedihan mereka. Kedua-dua tertuduh disabitkan bersalah mengedar dan memiliki heroin seberat 91.86 gram, 73.76 gram monoacetylmorphines dan 148.6 gram methamphetamine di rumah mereka di Blok 5-6-18, Desa Riang, Batu Uban di sini pada pukul 3.45 petang, 3 Februari 2008. Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori. Dalam penghakimannya, hakim mendapati Timbalan Pendakwa Raya, K. Prem berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap suami isteri terbabit. "Mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh bersalah bagi kesalahan mengedar dadah. "Oleh kerana di bawah undang-undang di negara ini, hanya ada satu hukuman iaitu hukuman mandatori maka kedua-dua tertuduh digantung sampai mati," katanya. Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, G. Ravi Shankar. Semasa prosiding membela diri, Shahrizal memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi manakala isterinya memberi keterangan secara bertulis tanpa mengangkat sumpah. | ||
Dua wanita mengandung antara enam didakwa edar dadah Posted: Dua wanita mengandung antara enam didakwa edar dadahMELAKA 29 Dis. - Dua wanita yang sedang mengandung antara enam individu yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dan memiliki dadah di sebuah rumah, pertengahan bulan ini. Nurrizah Zainal, 27, yang sedang sarat mengandung lapan bulan dan rakannya, Nur Asikin Abd. Rahman, 24, yang mengandung empat bulan bersama empat lelaki lain, menghadapi tiga pertuduhan setiap seorang. Lelaki-lelaki tersebut terdiri daripada Mohd. Shafie Salleh, 24; Mohd. Rizal Ismail, 31; Mohd. Fazrin Muslin Md. Ghazali, 22; dan adik kepada Nurrizah, Noorfazry Zainal, 19. Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 207.2 gram dan methamphetamine seberat 66.7 gram. Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah bernombor 214, Lorong Singa 6, Taman Sin Hoe, Bukit Baru di sini pada pukul 9 malam, 17 Disember lalu. Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Kesemua tertuduh juga menghadapi tuduhan ketiga iaitu memiliki dadah jenis nimetazepam seberat 16 gram pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Bagi tuduhan tersebut, dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada setiap tertuduh dan tiada sebarang jaminan ditawarkan oleh pendakwaan kerana kes itu melibatkan hukuman mati. Majistret Mohd. Fairuz Johari menetapkan 1 Februari ini untuk sebutan semula kes tersebut sementara menunggu laporan kimia. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haslida Isamail. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan