Utusan Online - Dalam Negeri |
2.6 juta pengunjung lawat muzium di seluruh negara Posted: 2.6 juta pengunjung lawat muzium di seluruh negara
PUTRAJAYA 30 Dis. - Seramai 2.6 juta orang mengunjungi 21 buah muzium di bawah seliaan Jabatan Muzium sepanjang tahun ini. Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Ibrahim Ismail berkata, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan 100,000 orang berbanding tahun lepas. "Muzium Negara mencatatkan jumlah pengunjung paling tinggi iaitu satu juta orang dengan separuh daripadanya ialah pengunjung tempatan manakala selebihnya pelancong asing," katanya. Terdahulu, beliau menerima kunjungan daripada bekas pekerja lombong Sungai Lembing di Muzium Putrajaya di sini hari ini. Ibrahim menambah, dalam meningkatkan jumlah kunjungan pelawat ke muzium, pihaknya berusaha keras mempelbagaikan aktiviti dan pameran untuk dijadikan daya tarikan. Beliau berkata, antara inisiatif tersebut adalah menjalin kerjasama pintar dengan institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan individu perseorangan dalam mendapatkan artifak serta barang sejarah. "Kerjasama seperti ini bukan sahaja menjimatkan kos perbelanjaan malah dapat memberi maklumat baru kepada pengunjung," katanya. Selain itu, katanya, dalam masa terdekat, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi pelancongan untuk menarik para pelancong terutamanya dari luar negara melawat muzium. "Kerjasama ini penting bagi membolehkan pengusaha-pengusaha agensi itu meletakkan muzium antara tempat yang perlu dilawati oleh para pelancong," katanya. | ||
Majikan swasta diminta bayar cuti bergaji Posted: Majikan swasta diminta bayar cuti bergajiKUALA LUMPUR 30 Dis. - Semua majikan diminta memberi cuti bergaji kepada pekerja esok berikutan pengisytiharan cuti umum bagi meraikan kejayaan skuad bola sepak Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, majikan hendaklah memberi cuti kelepasan am sebagai cuti wajib tambahan kepada pekerjanya sebagaimana seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 60D(1)(b) Akta Pekerjaan 1955. "Namun jika majikan masih memerlukan pekerja untuk bekerja pada hari tersebut atas keperluan operasi maka pekerja berkenaan hendaklah dibayar gaji mengikut peruntukan Akta Pekerjaan 1955," katanya. Beliau ditemui selepas menyaksikan percubaan dua adik-beradik mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records dengan melakukan tekan tubi paling banyak dan angkat berat kanak-kanak menggunakan jari di sini hari ini. Semalam, Perdana Menteri mengisytiharkan esok cuti umum bertujuan memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia merayakan kejayaan pasukan bola sepak negara menjuarai Piala Suzuki AFF 2010. Tambah Subramaniam, jika majikan gagal memberi cuti umum atau membayar mengikut kadar cuti umum, para pekerja boleh membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja. "Majikan boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan