Utusan Online - Selatan |
Lebih 6.6j rokok tidak sah dimusnah Posted: Lebih 6.6j rokok tidak sah dimusnahOleh RIZANIZAM ABDUL HAMID JASIN 30 Dis. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri telah memusnahkan lebih 6.6 juta batang rokok tidak sah bernilai RM630,541.80 sepanjang tahun ini bermula Januari sehingga semalam. Pengarahnya, Datuk Mohd. Nasir Said, berkata, kegiatan menyeludup itu juga telah mengakibatkan kerajaan kerugian ke atas cukai tembakau kira-kira RM2.9 juta. Beliau berkata, dalam tempoh sama, pihaknya berjaya mengesan 56 kes penyeludupan rokok tidak sah hasil pemeriksaan ke atas 212 premis di negeri ini sepanjang tahun ini. "Daripada jumlah kes itu, kita telah menangkap 53 pemilik premis tersebut untuk siasatan. "Hasilnya, kita juga telah menyita lebih 1.4 juta kotak rokok tidak sah bernilai RM2.8 juta tidak termasuk cukai sebanyak RM11.6 juta," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran Kempen Mencegah Penjualan Rokok Tidak Sah di pekarangan Masjid Kampung Kesang Luar, di sini hari ini. Majlis perasmian disempurnakan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah yang turut menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 100 golongan miskin termasuk warga emas, ibu tunggal dan anak yatim. Menurut Mohd. Nasir, kesemua rokok yang dirampas itu tidak sah kerana dibawa masuk ke negara ini tanpa mempunyai label setem, tidak membayar cukai dan tidak ada ciri keselamatan. "Situasi ini amat membimbangkan pihak Kastam kerana telah mengakibatkan kehilangan hasil pendapatan cukai negara," tambahnya. Menurut beliau, mereka terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai rokok dirampas dan tidak lebih 20 kali nilai tersebut atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya. Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak empat pesalah telah didakwa dan dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967. "Ia termasuk salah seorang mereka telah didenda RM2.6 juta atau empat bulan penjara di Majistret Alor Gajah pada Oktober lalu," katanya. Mohd. Nasir pada masa sama berkata, Kastam negeri itu telah membayar saguhati sebanyak RM184,711.60 kepada kepada pemberi maklumat sehingga membawa kepada penyitaan barangan belum lulus Kastam dalam tempoh berkenaan. Menurutnya, daripada jumlah itu, seorang daripada pemberi maklumat menerima saguhati tertinggi iaitu sebanyak RM40,000. | ||
Pameran Artifak Warisan tampilkan 2,000 artifak China dan Islam Posted: Pameran Artifak Warisan tampilkan 2,000 artifak China dan Islam
MELAKA 30 Dis. - Bagi pencinta sejarah, khususnya berkaitan tamadun China dan Islam, 'Pameran Artifak Warisan' yang kini berlangsung di Balai Sheikh Al-Hadi, Bastion House di sini adalah suatu yang harus dikunjungi. Menampilkan 2,000 artifak termasuk yang tertua berusia antara 4,700 dan 2,900 tahun sebelum Masehi iaitu koleksi patung jed dari zaman Hongshanshou, pameran itu bermula sejak Selasa lepas dan berakhir 15 Jun depan. Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Khamis Abas berkata, bagaimanapun hanya 300 artifak dipamerkan pada satu-satu masa. "Kita gilirkan artifak sebulan sekali untuk dipamerkan," katanya pada sidang media mengenai pameran itu di sini hari ini. Khamis berkata, turut dipamerkan ialah patung "terracotta" atau tanah liat yang dipercayai berusia 210 tahun sebelum Masehi iaitu semasa era Maharaja Qin Shi Huang. Juga dipamerkan barangan porselin tinggalan Dinasti Ming (1368- 1644) dan barangan gangsa dari Dinasti Zhou yang berusia lebih 2,000 tahun, katanya. Katanya, artifak itu dipinjamkan oleh sebuah keluarga dari Kuala Ketil, Kedah yang mewarisi kira-kira 8,000 artifak China dan Islam daripada nenek moyang mereka. Bagaimanapun kata beliau, tidak semua artifak itu akan dipamerkan kerana faktor keselamatan. "Antara artifak yang Perzim tidak dapat pamerkan ialah satu set cop mohor maharaja dari Dinasti Ming diperbuat daripada jed dan set itu bernilai AS$100 juta, serta artifak al-Quran yang diukir daripada emas bernilai AS$24 juta," katanya. Pameran dibuka kepada pengunjung dari 9 pagi hingga 6 petang, manakala tiket dijual pada harga RM12 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak. Sementara itu mengulas isu berlainan, Khamis berkata, Perzim mensasarkan 800,000 orang mengunjungi 22 muzium kendaliannya. "Semalam kita sudah capai 700,000 pengunjung untuk tahun ini. Setakat ini kita berjaya menambah kira-kira 15 peratus pengunjung setiap tahun," katanya. Tahun lepas muzium kendalian Perzim menerima 677,875 pengunjung yang mana Muzium Samudera mencatat jumlah teramai iaitu 367,522 pelawat. Khamis berkata, Perzim juga akan melancarkan sebuah lagi muzium bertempat di Pulau Besar, pada 15 Jan ini. Selain itu katanya, Perzim juga akan membangunkan Muzium Hang Tuah dan Rumah Lima Bersaudara menerusi projek Perkampungan Hang Tuah di Duyong. Kedua-dua projek Perzim itu dijangka siap pada awal 2012, katanya. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan