Isnin, 27 Disember 2010

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Rakan Aminulrasyid hanya calar

Posted:

Rakan Aminulrasyid hanya calar

Rakan Aminulrasyid hanya calar

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 27 Dis. - Rakan yang berada di dalam kereta bersama Aminulrasyid Amzah pada malam remaja berusia 15 tahun itu mati ditembak, disahkan hanya mengalami cedera ringan dengan beberapa kesan calar pada bahagian badan.

Pegawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Abd. Halim Ismail, 53, berkata, pemeriksaan dibuat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang selepas Mohd. Azamuddin Omar, 15, mengadu dipukul oleh beberapa anggota polis pada malam kejadian.

''Saya membawa Mohd. Azamuddin ke HTAR pada pukul 2.45 pagi, 27 April lalu sebab dia mendakwa dipukul oleh anggota polis pada malam kejadian.

''Hasil pemeriksaan doktor mendapati tiada kecederaan dalaman. Cuma ada kesan calar-calar sahaja,'' kata saksi pendakwaan ke-38 ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 dekat sini antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.

Jenain dibicara mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mohd. Azamuddin dalam keterangan di mahkamah sebelum ini mendakwa ditendang di bahagian kepala dan dipukul oleh beberapa anggota polis sebelum berjaya meloloskan diri.

Kejadian itu didakwa berlaku selepas kereta Proton Iswara BET 5023 yang dipandu Aminulrasyid terbabas dan melanggar tembok pagar sebuah rumah di tempat kejadian.

Abd. Halim yang bertugas di Cawangan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkata, dia mengetahui bahawa Mohd. Azamuddin adalah budak lelaki yang berjaya meloloskan diri berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh remaja itu pada malam Aminulrasyid dikebumikan.

Hasil soal siasat terhadap anak kepada seorang sarjan polis itu, dia dibawa ke rumah Zubir Salleh iaitu rakan Mohd. Azamuddin yang bertindak menyembunyikan baju dan seluar remaja itu.

''Bagaimanapun pakaian dipakai Mohd. Azamuddin pada malam kejadian ditemui di dalam longkang berhampiran rumah Zubir telah pun dicuci,'' jelasnya.

Dalam keterangan hari ini, Abd. Halim turut mengaku mengambil alih siasatan kes itu daripada Asisten Supritendan (ASP) Ahmad Fauzi Mohamed Zin hanya selepas 12 jam kejadian tembakan itu berlaku.

Terdahulu, Ahmad Fauzi mengesahkan menemui sebilah parang di bawah tempat duduk penumpang hadapan kereta Proton Iswara pada malam kejadian.

Saksi bagaimanapun mengaku tidak membuat sebarang siasatan lanjut terhadap parang tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar bersambung esok.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Suami isteri pecah amanah dipenjara, sebat

Posted:

Suami isteri pecah amanah dipenjara, sebat

Suami isteri pecah amanah dipenjara, sebat

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Sepasang suami isteri, masing-masing dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah RM424,389.53, lebih 12 tahun lalu.

Hakim Azwarinda Affandi menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Hew Kun Loon, 38, dan isteri, Chong Siu Ling, 43, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes itu.

Hakim tersebut turut menetapkan hukuman sebatan tiga kali ke atas Kun Loon.

Bagaimanapun, Azwarinda membenarkan permohonan peguam bela Peter Siew yang mewakili kedua-dua tertuduh untuk menggantung pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Wang jaminan terhadap setiap tertuduh turut dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM25,000.

Siu Ling didakwa melakukan pecah amanah terhadap 18 keping cek syarikat TP Indah Sdn. Bhd. semasa dia memegang jawatan setiausaha di syarikat terbabit dengan memindahkan wang kepunyaan syarikat itu ke dalam akaun milik suaminya.

Wang RM424,389.53 itu dipindahkan ke dalam dua buah akaun bank iaitu Bank Oriental (kini dikenali sebagai EON Bank) di Taman Cheras Indah, di sini dan Public Bank di Bukit Beruntung, Rawang.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 8 pagi dan 5 petang, 10 September 1998 dan 8 Jun 2000 di premis pejabat tersebut di nombor 21A, Tingkat 1, Jalan Emas, Taman Emas, Batu 9, Cheras di sini.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun, sebatan dan denda.

Sementara itu, Kun Loon yang merupakan seorang jurujual pula didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan isterinya dalam melakukan kesalahan terbabit.

Dia didakwa mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 10 kanun tersebut yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan.

Pasangan yang menetap di Rawang itu ditangkap pada 7 Jun 2001, iaitu dua hari selepas pemilik syarikat, Ng Chai Fatt membuat laporan polis.

Mereka didakwa di mahkamah buat pertama kali pada 2 Ogos 2002.

Terdahulu, Siew memohon hukuman ringan dikenakan ke atas anak guamnya atas alasan pasangan tersebut mempunyai tiga anak berusia antara empat dan 11 tahun yang memerlukan penjagaan rapi.

Selain itu, katanya, kedua-dua tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa, Asisten Supritendan Dr. A. Vasu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kerana kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh-tertuduh telah menyebabkan pemilik syarikat mengalami kerugian.

''Walaupun pihak pendakwaan bersimpati dengan tertuduh tetapi undang-undang harus dipelihara,'' katanya.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, sebanyak 10 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan