Utusan Online - Dalam Negeri |
Posted: Sekat kumpulan seks songsangOleh MUZDALIFAH MUSTAPHA KUALA LUMPUR 25 Dis. – Kerajaan diminta mengambil pendekatan atau tindakan yang lebih serius dalam memantau kegiatan kumpulan pengamal seks songsang yang semakin bebas dan berani di negara ini. Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia, Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, sudah tiba masanya bahagian penguat kuasa agama menyekat semua aktiviti kumpulan terbabit dengan memantau kelab malam yang diwujudkan khusus untuk golongan tersebut. Menurut beliau, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor harus menjadi penggerak dalam menangani gejala itu ekoran kegiatan songsang itu lebih terkenal dan banyak di kawasan Lembah Klang. "Kerajaan perlu bertindak segera, jangan biarkan perkara ini merebak baru mahu mengambil tindakan, kita bimbang ia akan menjadi lebih parah. Lebih baik ambil tindakan sekarang bagi menyelamatkan keadaan. "Persatuan sedia membantu pihak kerajaan dalam menangani gejala ini, kita pernah terlibat memantau perkara ini dan turun ke kawasan 'panas' untuk secara sukarela menjadi kaunselor kepada golongan itu," katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini. Baru-baru ini, laman web Seksualiti Merdeka menghasilkan sebuah projek video bertajuk It Gets Better In Malaysia: Memberi harapan untuk lesbian, gay, biseksual, transeksual (LGBT) yang telah mencetuskan kontroversi terutama menerusi salah satu videonya iaitu seorang lelaki Melayu berumur 32 tahun secara terbuka mengaku beliau seorang gay. Mohd. Roslan berkata, hasil sesi dialog dan kaunseling oleh persatuan bersama golongan terbabit, pihaknya dimaklumkan oleh golongan itu bahawa belum pernah ada NGO atau pihak lain yang mendekati atau cuba membantu mereka. Sehubungan itu, beliau berharap, kerajaan dapat melakukan sesuatu yang boleh membawa kepada kesan positif terhadap golongan tersebut. Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhd. Razak Idris turut menggesa kerajaan untuk bertindak segera menangani perkara itu kerana merasakan institusi sosial di negara ini semakin rapuh dan lemah. Kata beliau, ABIM mencadangkan satu program pendidikan kesedaran tentang bahaya gejala itu mengikut perspektif hukum Islam diperkenalkan dalam masyarakat hari ini agar mereka tidak mudah terjebak dengan kegiatan itu. "Kegiatan songsang itu harus ditentang, jelas melanggar batas syariah dan perundangan Islam, tambahan pula sesetengah daripada kumpulan itu semakin berani dan berbangga dengan aktiviti mereka," ujarnya. Sementara itu, Ketua Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Nor Azman Amat pula berpendapat, selain kerajaan, NGO berkaitan perlu mendekati golongan itu sebagai kumpulan yang memerlukan bantuan. Kata beliau, hukuman bukan jalan penyelesaian untuk menghentikan perbuatan songsang golongan itu sebaliknya isi hati mereka perlu difahami terlebih dahulu sebelum tindakan seterusnya diambil. "Walaupun negara kita ada jabatan yang bertanggungjawab menguatkuasakan segala perkara atau perbuatan yang salah tetapi persoalannya sejauh mana ketegasan pelaksanaan penguatkuasaan itu," katanya. |
Larang logo 1Malaysia nafi hak asasi manusia Posted: Larang logo 1Malaysia nafi hak asasi manusiaKUALA LUMPUR 25 Dis. - Tindakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor melarang penggunaan logo 1Malaysia pada papan tanda dan iklan di negeri itu telah menafikan aspek hak asasi manusia. Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Muhammed Sha'ani Abdullah (gambar) berkata, mana- mana pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh melarang penggunaan logo 1Malaysia oleh orang ramai kerana adalah menjadi hak rakyat untuk menyokong konsep itu secara terbuka. "Logo 1Malaysia boleh digunakan oleh sesiapa sahaja kerana ia tidak melanggar undang-undang atau menyalahi moral jika digunakan pada papan tanda dan iklan. "Tiada unsur propaganda atau paksaan untuk menggunakan logo tersebut dan adalah menjadi hak rakyat jika hendak gunakannya," katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini. Muhammed Sha'ani mengulas tindakan Kerajaan PKR Selangor yang melarang penggunaan logo 1Malaysia atas alasan ia bermesejkan politik. Beliau mengesyorkan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan arahan kerajaan negeri itu supaya melaporkan perkara itu kepada Suhakam untuk tindakan selanjutnya. Pensyarah Geografi Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali pula berkata, Kerajaan PKR Selangor tidak perlu khuatir pengaruh mereka akan terhakis kerana logo 1Malaysia. Jelasnya, banyak risalah serta logo diedarkan pada setiap pilihan raya umum atau kecil untuk mengumpan pengundi, tetapi akhirnya calon yang berprestasi tinggi dan memenuhi manifesto parti akan dipilih rakyat. Mana-mana parti politik, katanya, memerlukan perpaduan rakyat untuk membina negara dan kerana itu gagasan 1Malaysia perlu disokong oleh rakyat tidak mengira kaum, agama dan ideologi politik. "Oleh kerana takut kepada logo 1Malaysia, Kerajaan PKR Selangor telah mengarahkan peniaga-peniaga menurunkannya dari papan tanda dan iklan tanpa memikirkan kesannya," ujarnya. Presiden MIC, Datuk G. Palanivel pula berkata, PKR tidak boleh mengatakan 1Malaysia adalah slogan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana tidak terdapat sebarang lambang parti politik pada logo tersebut. "Saya berpendapat pihak pembangkang sengaja tidak mahu faham tentang nilai murni yang ingin ditanamkan kepada rakyat di sebalik konsep dan logo 1Malaysia itu," katanya. Menurut Palanivel, sepatutnya pihak pembangkang menyokong slogan dan polisi yang baik untuk rakyat dan negara, bukannya menjauhkan diri daripadanya. Parti pembangkang, katanya, khuatir logo itu akan mengurangkan pengaruh di samping menggugat kedudukan mereka. Menurutnya, sekumpulan peniaga berketurunan India yang terlibat dengan arahan menurunkan logo 1Malaysia di premis mereka akan menemui beliau minggu depan untuk membincangkan perkara itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan