Utusan Online - Dalam Negeri |
MAS, AirAsia perlu cari kaedah menang-menang Posted: MAS, AirAsia perlu cari kaedah menang-menangKUALA LUMPUR 24 Dis. - Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) dan AirAsia Bhd. perlu merumuskan satu formula menang-menang dalam usaha kedua-dua syarikat itu memulakan kerjasama strategik supaya dapat bersaing di peringkat global. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MAS dan AirAsia perlu memulakan kerjasama strategik itu walaupun kedua-duanya adalah syarikat penerbangan yang bersaing khususnya dalam menawarkan tambang murah dan tambang sederhana. Bagaimanapun menurut beliau, terserah kepada pihak pengurusan kedua-dua syarikat penerbangan berkenaan bagi mengadakan perbincangan antara mereka. ''Kerajaan tidak mengatakan ia mesti kerana kita tahu dalam soal ini ia melibatkan satu bentuk perniagaan dan elemen persaingan yang sihat amat kita galakkan. ''Namun, saya sedar AirAsia masih belum berpuas hati kerana terdapat laluan-laluan yang dipohon tidak mendapat kerjasama daripada MAS,'' katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program 'Mendidik Demi Malaysia' di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai saranan pelbagai pihak supaya MAS dan AirAsia mengadakan lebih banyak kerjasama dalam usaha memajukan industri penerbangan di negara ini. Muhyiddin berkata, perkara itu adalah antara kemungkinan yang boleh dibincangkan dan jika ia dapat diselesaikan, kedua-dua syarikat berkenaan boleh maju ke hadapan. Mengenai isu pembangunan nuklear beliau menjelaskan, perkara itu masih belum diputuskan dan program itu bukan untuk dilaksanakan serta-merta. ''Ini merupakan satu inisiatif baru dan kita perlu mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak. Mungkin kita juga perlu mendalami secara dekat lagi berdasarkan pengalaman negara-negara yang telah berjaya memulakan projek sebegini,'' ujarnya. |
Posted: Wujud campur tangan politik?Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA KUALA LUMPUR 24 Dis. – Langkah Johor Corporation (JCorp) ingin menjual QSR Brands Bhd. dan anak syarikatnya KFC Holdings (M) Bhd. dipercayai bukan berorientasikan penyelesaian strategik sebaliknya, kerana tunduk kepada desakan ahli politik tertentu yang mempunyai kepentingan tersembunyi. Pakar ekonomi, Dr. Hamzaid Yahya ketika mendedahkan perkara itu berkata, beliau percaya ada pihak tertentu berselindung di sebalik langkah menyelesaikan masalah liabiliti JCorp bagi mengaut keuntungan peribadi, dengan mendesak pengurusan baru konglomerat tersebut menjual QSR Brands dan KFC Holdings. "Seseorang yang bijak dalam perniagaan tidak akan dan tidak mudah untuk melepaskan 'business cash' yang dijana oleh QSR Brands serta KFC Holdings biar pun dengan alasan ingin menyelesaikan masalah liabiliti. Inilah perniagaan yang tiada hutang selain menghasilkan keuntungan setiap hari kepada JCorp. "Melainkan terdapat campur tangan politik dalam JCorp. Saya percaya perkara ini berlaku, kerana pihak terbabit hanya mahu duit semata-mata tanpa mengira keuntungan jangka panjang kepada syarikat berkenaan, sedangkan QSR Brands serta KFC Holdings adalah 'permata' yang tidak patut dilepaskan. "Cubaan campur tangan ini wujud sejak dahulu lagi tetapi di bawah pengurusan Tan Sri Muhammad Ali Hashim (bekas Pengerusi dan Ketua Eksekutif), beliau menentang campur tangan tersebut tetapi pengurusan baru JCorp dilihat tidak mempunyai keberanian dan karismatik sepertinya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan JCorp mahu melupuskan QSR Brands serta KFC Holdings yang semakin hangat didebatkan sehingga pelbagai pihak mendesak supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan bagi menjamin kepentingan orang Melayu. Kisah mengenai JCorp mula menarik perhatian apabila menerima tiga cadangan pengambilan alih daripada pihak luar tetapi semua cadangan itu ditolak sehingga kemuncaknya, Muhammad Ali bakal disingkirkan menjelang mesyuarat agung luar biasa konglomerat itu Januari ini. Mengulas lanjut, Hamzaid berkata, langkah JCorp mahu menjual QSR Brands serta KFC Holdings hanya penyelesaian jangka pendek dan tidak mengambil kira kepentingan strategik sedangkan, syarikat berkenaan di bawah pengurusan terdahulu sudah melebar sayap perniagaan sehingga ke India dan Myammar. "Saya fikir kalau sudah terdesak sangat JCorp mahu menjual dan kalau itulah satu-satunya penyelesaian terbaik yang boleh difikirkan...Biarlah Khazanah Nasional (syarikat milik kerajaan) yang mengambil alih, sekurang-kurangnya kepentingan Melayu terjaga. "Kerana saya cukup yakin, jika QSR Brands serta KFC Holdings terlepas ke tangan bukan Melayu, terlalu sukar bagi kita untuk mengambilnya semula kerana bagi mereka yang bebas daripada campur tangan politik, perniagaan ini mempunyai kepentingan strategik yang terlalu tinggi nilainya untuk dilepaskan," katanya. Ditanya apakah beliau percaya bahawa QSR Brands dan KFC Holdings akan dilupuskan, Hamzaid berkata, penjualan itu akan berlaku kerana tegasnya, pengurusan baru JCorp tidak mempunyai keberanian seperti mana yang ditunjukkan Muhammad Ali selama 30 tahun tokoh berkenaan mentadbir syarikat itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan