Utusan Online - Dalam Negeri |
Posted: Penjualan QSR, KFCH dibantahOleh SYUKRI SHAARI KUALA LUMPUR 26 Dis. - Penganalisis ekonomi tidak bersetuju dengan langkah Johor Corporation (JCorp) mahu menjual QSR Brands Bhd. (QSR) dan KFC Holdings Bhd. (KFCH) kerana ia akan memberi kesan negatif kepada pelaburan bumiputera. Pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, QSR serta KFCH merupakan satu cabang pelaburan bumiputera dalam bidang perniagaan. Menurutnya, ia perlu terus diterajui golongan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan ekuiti bumiputera. Tambah beliau, memang tidak dinafikan JCorp akan mendapat keuntungan daripada penjualan tersebut tetapi ia hanya untuk tempoh yang singkat. "Buat apa mereka mahu menjual kedua-duanya sedangkan keuntungan dijana QSR serta KFCH adalah jauh lebih baik selain dapat mengukuhkan kedudukan syarikat bagi tempoh jangka panjang. "Lagipun, kedua-duanya merupakan wakil bumiputera dalam bidang perniagaan. Ia juga merupakan pelaburan terbaik bumiputera dalam bidang korporat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini. Beliau mengulas mengenai kemelut yang dihadapi JCorp dan usaha syarikat itu untuk menjual QSR serta KFCH. Pensyarah ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Hussin Baharuddin pula berkata, JCorp tidak perlu menjual kedua-duanya tetapi perlu menambahkan sedikit inovasi kepada penghasilan produk oleh QSR dan KFCH. Katanya, tiada sebab untuk menjual kedua-duanya melainkan ia memberi beban kepada JCorp. "Bumiputera akan rugi besar sekiranya JCorp berkeras mahu menjual QSR serta KFCH kerana jelas sekali ia membantu menjana keuntungan syarikat sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi bumiputera," jelasnya. Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizuddin Nooh pula berkata, kemelut tersebut perlu diselesaikan segera kerana khuatir ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu itu untuk kepentingan peribadi. Justeru, beliau berharap JCorp dapat mempertimbangkan semula rancangan untuk menjual QSR dan KFCH kerana ia akan memberi banyak kesan negatif kepada bumiputera. |
Posted: DPIM sedia tubuh konsortiumKUALA LUMPUR 26 Dis. - Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) sedia menubuhkan sebuah konsortium untuk membeli saham QSR Brands Bhd. (QSR) dan KFC Holdings Bhd. (KFCH) sekiranya Johor Corporation (JCorp) berkeras mahu menjual kedua-dua syarikat tersebut. Setiausaha Agung DPIM, Dr. Ridhuan Tee Abdullah berkata, langkah itu terpaksa dilakukan supaya kedua-dua syarikat berkenaan terus berada di bawah pemilikan orang Melayu dan Islam di negara ini. Beliau berkata, antara langkah yang bakal diambil pihak konsortium ialah mendapatkan kerjasama dengan syarikat milik kerajaan (GLC) yang berasaskan Islam seperti Lembaga Tabung Haji (TH). "Selain TH, kami juga akan cuba dapatkan bantuan institusi kewangan Islam seperti Bank Islam atau Bank Muamalat, selain ahli korporat Islam yang berjaya. "Selain itu, semua ahli DPIM memberi komitmen yang amat tinggi untuk mengumpul dana mereka sendiri bagi tujuan ini. "Bagi kami, tiada yang lebih besar selain berjihad memastikan hak perniagaan milik Islam terpelihara," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini. Sebelum ini, DPIM meminta campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menyelamatkan QSR dan KFCH daripada dijual oleh JCorp bagi melindungi kepentingan strategik milik orang Melayu di negara ini. Kisah mengenai JCorp mula menarik perhatian apabila menerima cadangan pengambilalihan daripada pihak luar, tetapi semua cadangan itu ditolak dan kemuncaknya Pengerusi QSR serta KFCH, Tan Sri Muhammad Ali Hashim bakal disingkirkan menjelang mesyuarat agung luar biasa konglomerat itu Januari ini. Ridhuan Tee berkata, DPIM terpaksa bangkit mempertahankan QSR dan KFCH daripada jatuh ke tangan orang bukan Islam kerana ia amat berkaitan dengan soal penyediaan makanan halal serta pemeliharaan makanan daripada sumber yang was-was. Beliau berkata, ia bukan sahaja melibatkan di kalangan umat Islam di negara ini, malah turut membabitkan beberapa negara luar. "Ini kerana, KFCH berjaya mengembangkan sayap perniagaannya di India, Kemboja, Brunei dan Singapura," katanya. Mengulas isu sama, Pengarah Biro Ekonomi DPIM, Mohammad Sahar Mat Din berkata, pihaknya akan berusaha mengumpul dana melalui konsortium yang bakal ditubuhkan itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan