Selasa, 28 Disember 2010

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Sentral: Curi pasir bawah jejambat

Posted: 27 Dec 2010 01:06 PM PST

Wilayah

TENGKU SHAIFFULIAZAN (kiri) menunjukkan kegiatan mengorek pasir secara haram di bawah jejambat di  Sungai Damansara yang menjejaskan struktur jejambat susur keluar  Tol Bukit Jelutong.

TENGKU SHAIFFULIAZAN (kiri) menunjukkan kegiatan mengorek pasir secara haram di bawah jejambat di Sungai Damansara yang menjejaskan struktur jejambat susur keluar Tol Bukit Jelutong.

Kegiatan korek pasir di Sungai Damansara jejas struktur tiang

SHAH ALAM: Sebuah jawatankuasa bertindak yang mewakili pengusaha pasir Melayu di Selangor mendakwa wujud kegiatan mengorek pasir secara haram di Sungai Damansara yang terletak di bawah jejambat susur keluar Tol Bukit Jelutong dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berdekatan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di sini.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Tengku Shaiffuliazan Zainal Abidin, mendakwa aktiviti itu dilakukan lebih sebulan lalu tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta badan berkanun berkaitan. Lebih membimbangkan, beliau mendakwa kegiatan itu boleh memberi kesan kepada struktur jejambat berkenaan, termasuk mungkin mengakibatkan masalah keretakan, sekali gus membahayakan ribuan pengguna yang melalui laluan berkenaan setiap hari.

"Tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak bertanggungjawab bagi mengelak tragedi," katanya yang meninjau lokasi itu bersama media, baru-baru ini.

Tengku Shaiffuliazan mendakwa, sungai terbabit yang dulu bersih dan deras alirannya kini semakin cetek serta keruh akibat aktiviti pengambilan pasir sehingga menjejaskan alam sekitar.

"Kerajaan negeri perlu bertindak segera dan jangan hanya memejam mata apabila timbul isu membabitkan alam sekitar di negeri ini. Siasat siapa dalangnya.
"Ke mana perginya peraturan perlombongan pasir. Kalau betul kerajaan negeri telus dan serius membanteras kecurian pasir, perkara seperti ini tidak akan berlaku, apatah lagi ia dijalankan betul-betul di bawah jejambat ini," katanya.

Ditanya kemungkinan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) terbabit dalam aktiviti berkenaan, beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menyiasatnya selain tidak mengamalkan sikap pilih kasih berhubung isu terbabit.

Sementara itu, tinjauan pada jam 3 petang baru-baru ini mendapati kegiatan mengorek pasir itu sudah dihentikan, dipercayai kehadiran pihak media sudah terlebih dulu dihidu.

Bagaimanapun, ada tiga longgokan pasir setiap satunya setinggi kira-kira lima meter, selain satu mesin mengorek pasir di tebing sungai di bawah jejambat yang mempunyai kira-kira 30 tiang itu.

Difahamkan, jentera itu mampu mengorek pasir sehingga mencecah kedalaman 20 meter.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan